Pimpinan PR Selangor Muafakat Selesai Isu Kontroversi Secara Berhemah

SHAH ALAM , 10 NOV: Pimpinan Pakatan Rakyat Selangor mengamalkan prinsip kesepakatan dan muafakat dalam menyelesaikan sesuatu isu kontroversi dan sensitif di negeri ini demi kesejateraan rakyat keseluruhan.

Justeru, pimpinan Pakatan Rakyat yang ditemui TVSelangor semasa waktu rehat sidang DUN Selangor menolak dakwaan ketua pembangkang Datuk Satim Diman yang mendakwa tidak wujud persefahaman dalam polisi Pakatan Rakyat di negeri ini.

Sebelum ini, beberapa isu sensitif dan kontroversi seperti isu pengharaman penjualan arak secara terbuka dan pemeriksaan gereja DUMC dicanang oleh sesetengah pihak untuk kepentingan politik sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati dan rasa tidak senang.

ADUN Meru Dr Abdul Rani Osman berkata, perbezaan pandangan yang dilontarkan Pakatan merupakan suatu perkara biasa kerana akhirnya semua pimpinan mempunyai cara dan penyelasaian yang tuntas terhadap isu tersebut.

"Bila bercakap berkenaan polisi, kita perlu kembali kepada keputusan Syura iaitu pandangan Pakatan secara keseluruhan," Dr Rani berkata ketika ditemui di luar Dewan Undangan Negeri.

"Dan tidak timbul soal perpecahan dalam pakatan rakyat. Memang wujud perbezaan pandangan tetapi apabila untuk mencapai satu keputusan ini yang akan dikeluarkan oleh Menteri Besar dan sebagainya, dan tidak ada masalah dan tidak wujud apa-apa perpecahan," katanya yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor.

Semasa perbahasan pembentangan Bajet Selangor 2012, Satim mendakwa perbezaan politik di antara parti Pakatan menyebabkan berlaku konflik dalam pembentukan dasar kerajaan negeri.

 Adun Batu Caves, Amiruddin Shaari berkata perbezaan pandangan dan pendapat dalam sesebuah kerajaan adalah satu perkara yang biasa,tetapi Pakatan mengambil pandangan dengan mengamalkan prinsip secara muafakat dengan berbincang secara baik bagi menyelesaikan sesuatu isu sensitif demi kesejahteraan semua pihak.

"Pembangkang Selangor (BN) hanya membangkitkan isu-isu basi , dan dalam isu DUMC tidak wujud sebarang pertentangan berkenaan polisi Pakatan Rakyat sebab kita akan memastikan kesemua pihak akan mendapat haknya.

Sementara itu, Exco Selangor, Teresa Kok berkata tidak wujud masalah dalam perbezaan pandangan di kalangan pimpinan Pakatan Rakyat kerana muafakat yang wujud adalah untuk mencari penyelesaian dalam sesuatu isu sensitif.

"Bagi saya ini suatu perkara yang biasa perbezaan pandangan di kalangan pimpinan kerana ketiga-tiga parti mewakili pengundi daripada kalangan yang berbeza dan kawasan berlainan antara orang Islam dan bukan, jadi pandangan mereka yang diberikan atas sesuatu isu itu juga berlainan.

"Dan masing-masing menyuarakan keperihatinan mereka terhadap beberapa isu seperti DUMC , JAIS dan sebagainya. Tetapi akhirnya kesemuanya ada jalan penyelesaian dan tidak wujud lagi isu itu." katanya.