Tsunami Jepun : Angka Korban Dijangka Terus Meningkat







Ditulis oleh nurul fahimah abdul malik


JEPUN 11 MAC : Setakat ini seramai 60 terkorban manakala 39 hilang dalam kejadian gempa bumi dan tsunami melanda Jepun yang terburuk dalam jangkamasa lebih 100 tahun. Namun angka ini dijangka akan meningkat kerana usaha mencari dan menyelamat masih berjalan.

Dalam kejadian pada kira-kira 2.46 petang tadi waktu Jepun, gempa bumi dengan kekuatan 8.9 skala richter menggegarkan negara menyebabkan tsunami dianggarkan setinggi sepuluh meter.

Mengikut laporan Agensi Atom Antarabangsa, empat buah rektor nuklear di negara itu dihentikan operasinya serta merta berikutan gempa kuat itu.

Keadaan itu juga dilaporkan menyebabkan kebakaran dan tanah runtuh. Pusat penapisan di Chiba berhampiran Tokyo juga dilaporkan sedang terbakar.

Sementara itu lebih 50 buah negara mengeluarkan amaran tsunami sebagai langkah berjaga-jaga.

Di Rusia pihak berkuasa melaporkan lebih 11,000 dipindahkan daripada kawasan persisir pantai.

Sementara itu Penerbangan Malaysia Airlines (MAS) ke Lapangan Terbang Narita dan Lapangan Terbang Haneda di Tokyo hari ini tergendala berikutan gempa bumi kuat yang melanda perairan timur laut Jepun.

Bagaimanapun, penerbangan MH52 ke Lapangan Terbang Kansai di Osaka malam ini akan diteruskan mengikut jadual pada 11.50 malam.

Pengurus Perhubungan Awam MAS Su Wong berkata penerbangan MH70 pagi ini dariKuala Lumpur ke Narita telah pun dilencongkan ke Taipei.

Semua penumpang dan anak kapal MAS di lapangan terbang yang terjejas di Jepun berada dalam keadaan selamat, kata beliau menerusi satu kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan yang sama, Pengarah Operasi MAS Kapten Azharuddin Osman berkata syarikat penerbangan itu telah menerima notifikasi daripada pihak berkuasa

Lapangan terbang untuk menggantung semua penerbangan keluar dan masuk di Lapangan Terbang Narita serta Lapangan Terbang Haneda.

Bilik Operasi Wisma Putra [Gempa Bumi Di Jepun]: 03-88874570, 03-88892746, 019-2784566, 03-88892830, 03-88892380,03-88884770

No comments: