Pas paranoid: Dulu kutuk DAP, sekarang hentam PKR punca perpecahan

Oleh:    PUKUL CANANG

Mungkin tiada pihak yang akan bersekutu dengan Pas selepas menantu Presiden Hadi Awang, Zaharudin Mohamad mengecam Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli sebagai kurang ajar apabila menyokong penubuhan platform Gerakan Harapan Baharu yang dikepalai Mat Sabu.
 


Ahli Majlis Syura Ulama itu marah kerana Rafizi menyokong GHB walaupun ahlinya masih belum meninggalkan Pas.

“Selagi Gerakan Harapan Baru belum keluar PAS dan belum bercerai rasmi, maka kenyataan Rafizi saya anggap campur tangan dan kurang ajar," kata Zaharudin dalam akaun  facebooknya.


 

Menurut logik, tiada istilah kurang ajar dalam hubungan bekas ahli Pakatan Rakyat apabila Majlis Syura Ulama Pas awal Julai lalu menerima keputusan Muktamar Pas ke 61 untuk ‘menceraikan’ DAP. Sehubungan itu PR secara rasminya terbubar.
 

Sekali dibubarkan DAP ketika memutuskan kesemua hubungan dengan Pas; kali ini Pas pula mengambil jalan serupa. Oleh kerana PR telah pun bubar maka parti-parti di dalamnya bebas untuk memilih sekutu. Pas bebas untuk bekerjasama dengan siapa pun malah bergabung di dalam BN. Maka PKR juga bebas untuk menyokong kumpulan serpihan Pas.

Jadi broker kuasa

Mengapakah seorang yang berilmu agama seperti Zaharuddin tidak mampu memahami logik tersebut? Menuduh Rafizi kurang ajar samalah seperti menyerang PKR yang akan mengundang serangan balas daripada parti itu.

Tindakan Zaharudin semakin pelik apabila cuba memainkan peranan sebagai broker kuasa dan menyifatkan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali adalah pro Pas. Katanya, pandangan Rafizi berbeza dengan Menteri Besar Selangor .

"Berdasarkan Kajang Move, saya tidak nampak ini keputusan PKR atau Rafizi sendiri kerana itu adalah game kumpulan Rafizi yang di’mastermind’kan dan diwarnai Rahim Ghouse, seorang tegar IRC.

"Sebab itu kenyataan mereka sering tidak sehaluan dengan Azmin dan lain-lain," tulis Zaharudin.

Walaupun hanya di Facebook namun tindakan Zaharuddin ini kelihatan melampau. Sebagai pegawai agama di sebuah anak syarikat kerajaan negeri Selangor, beliau tidak wajar berperi laku sedemikian. Krisis Pas tiada kena mengena dengan PKR.

Sebelum ini Pas menuduh Dap cuba menguasai parti itu. Masalah Pas berpunca dari dalam dan bukan dari mana-mana parti sekutu. Pas sedang diisolasi oleh sekumpulan penasihat Hadi yang kurang cerdik. Mereka cuba menjadikan Pas seperti Umno yang  dominan dalam kerajaan.

Umno dikenali oleh ahli komponen BN sebagai pembuli dan semua keputusannya wajib dituruti. Pas dengan 1.3 juta keahlian juga mahu PKR dan DAP mengikut kehendak mereka.

Sedangkan hakikatnya Pas tidak mempunyai kualiti pemimpin yang mampu mencerna masalah negara. Pas menekan lahirnya tokoh seperti Rafizi atau Tony Pua dalam parti itu. Manakala pemimpin yang mampu menggerakkan massa seperti Mat Sabu, Husam atau Mujahid bukanlah dalam kalangan ulama.

Ulama pula mendengki golongan profesional. Lalu timbullah tuduhan sebagainya didakwa Zaharuddin kononnya puak profesional telah dihasut PKR untuk menghijack Pas.

Tiada bukti

Kononnya pemimpin PKR Rafizi dan Dr Rahim Ghouse yang pernah menganggotai Islamic Representative Council (IRC) - ditubuhkan di United Kingdom oleh pelajar Malaysia yang berbeza pandangan dengan PAS - bertanggungjawab menghuru-harakan parti itu.

Tuduhan mengarut tanpa bukti dan mentaliti bersangka buruk terhadap rakan gabungan itu adalah sebab utama pemimpin profesional meninggalkan Pas.

Siapakah yang akan berkawan dengan Pas selepas ini? Parti yang tidak stabil dan dibarisi oleh sekumpulan pemimpin yang paranoid. Semua orang tidak boleh dipercayai dan tidak mempunyai keperibadian suci seperti mereka.

Sehinggakan sikap tidak bermusuh Azmin yang memberi peluang kepada exco Pas untuk terus berada dalam kerajaan Selangor pun dianggap sebagai pro Hadi dan anti DAP. Malah kumpulan ustaz muda Pas bertindak lebih jauh dan kini mencuba untuk  memecahkan PKR kepada dua, antara puak Rafizi dan Azmin. Dengan harapan puak Azmin menghijack PKR dan mengumumkan Pakatan Rakyat Baharu dibentuk antara PKR dan Pas

Jika beginilah sikap Pas maka bukan sahaja DAP dan PKR akan menjauhi mereka malah rakyat pun tidak akan mendekati parti itu. Sikap adu domba Pas sama buruk dengan Umno walaupun ditadbir kalangan ustaz.

Semakin biul

Mereka sanggup memfitnah PKR menjadi punca Pas berpecah. Sedangkan Mat Sabu dan rakan-rakan beliau tidaklah sebodoh yang disangka Zaharudin. Mat Sabu telah berjuang dalam Pas dan berkali-kali ditahan ISA ketika Zaharudin masih lagi berhingus.

Rafizi juga masih di sekolah rendah ketika Mat Sabu mula melawan kerajaan BN. Adakah seorang tokoh yang berwibawa seperti itu dengan mudah dihasut Rafizi dan Dr Rahim Ghouse? Malah ketika Anwar dalam Umno, Mat Sabu adalah penentang tegar Anwar.

Tokoh yang telah teruji dengan ISA tidak akan beralih arah atau termakan hasutan oleh sekumpulan anak muda dari PKR. Sebaliknya jika Zaharuddin yang diISAkan maka berkemungkinan besar beliau tidak akan bersama Pas  hari ini, malah mungkin tidak mahu menjadi menantu Hadi Awang.

Sesungguhnya perpecahan Pas hari ini adalah kerana golongan pejuang sejati dicampak keluar dan parti itu dipimpin oleh golongan ustaz manja tetapi cuba menunjuk pandai. Kelemahan Hadi yang tidak mengikuti perkembangan politik – seperti kata bekas penasihatnya – cuba digunakan oleh ustaz muda ini demi kepentingan mereka.

Hadi pada awal 2000 menerima nasihat daripada Mustafa Ali, ustaz Abu Bakar Chik, ustaz Haron Taib dan beberapa orang lain yang mahir dalam sepak terajang politik. Namun apabila Zaharuddin mula mendapat kedudukan penting dalam Pas, dapat dilihat Hadi mula enggan mengikut landasan perjuangan yang dirintis oleh para penasihat terdahulu.

Hadi melanggar dasar yang diasaskan oleh Fadzil Noor dan Nik Aziz demi mendengar kata-kata ustaz muda berkenaan . Hadi sanggup berbaik-baik dengan Umno hanya kerana golongan ustaz itu mahu jalan pintas ke puncak kuasa.

Masuk perangkap

Puak profesional yang rata-rata lebih 20 tahun  pengalaman melawan Umno sedar ustaz muda telah masuk perangkap. Mereka tidak akan berjaya dalam apa jua kerjasama dengan parti sekular yang merampas hak rakyat menjadi milik peribadi. Oleh kerana itu profesional meninggalkan perjuangan Pas yang kelihatan semakin sia-sia.

Hanya takdir dan waktu akan memperlihatkan kepada rakyat siapakah yang berjaya dan puak manakah yang terkena. Kalau ustaz muda terkena, Umno enggan meluluskan Hudud di parlimen, maka imej Pas akan tercalar teruk dan parti itu akan runtuh.

Jika demikian, maka para ustaz inilah yang terlebih dahulu akan terbang keluar; berniaga, bekerja dengan kerajaan, menjadi pendakwah bebas dan sebagainya. Pas akan terbiar. Jika dahulu wujud puak Mat Sabu yang tekun bekerja, selepas ini Pas akan merudum kerana puak ulama sibuk dengan urusan keluarga masing-masing.

No comments: