ASYIK GESA ANAK2 TUN ISYTIHAR SUMBER KAYA HANYA KERJA BUANG MASA, PM PATUT SEGERA DAKWA MEREKA
31 July 2025
Dalam isu kekayaan anak-anak Tun Mahathir Mohamad, Perdana Menteri sebaiknya berhenti daripada terus membuat gesaan terbuka agar mereka mengisytiharkan kekayaan yang dimiliki dan seterusnya menyerahkan kembali kekayaan dimiliki kepada kerajaan.
Entah untuk kali yang ke berapa, ketika di Indonesia baru-baru ini, Anwar Ibrahim sekali lagi membuat gesaan yang sama.
Menurut beliau, anak-anak bekas Perdana Menteri itu perlu menjelaskan sumber kekayaan masing-masing dan membayar semula wang kepada kerajaan.
Dalam temu bual bersama wartawan Indonesia, Najwa Shihab di Jakarta, Anwar berkata, pendedahan kekayaan luar biasa oleh kedua-dua anak Tun Mahathir menimbulkan persoalan yang perlu dijawab, khususnya kerana ia membabitkan jumlah yang besar.
Gesaan seperti itu, biar seribu kali lagi pun dilakukan, ia tidak akan berjaya dan hanya kerja buang masa kerana tiada mana-mana orang sedia berbuat demikian.
Seperti seseorang yang diperkatakan ramai kononnya didakwa melakukan sesuatu kesalahan, tidak mungkin mereka sedia mengakuinya secara sukarela.
Mereka hanya akan mengaku jika ditunjukkan bukti-bukti yang tidak mampu dielak lagi dan selepas itu barulah boleh dibawa ke muka pengadilan.
Begitu juga dalam kes kekayaan anak-anak Tun Mahathir, apa yang kerajaan patut lakukan ialah dakwa mereka ke mahkamah jika sudah mempunyai cukup bukti.
Tak perlu bising-bising lagi sama ada di di dalam dan luar negara kerana Anwar kini adalah individu paling berkuasa di negara ini.
Dulu sebelum ada kuasa bolehlah membuat gesaan seperti itu.
Lagi pula, bukankah dua anak Tun Mahathir iaitu Mirzan dan Mokhzani telah pun selesai melakukan pengisytiharan harta kepada SPRM pada awal tahun ini?
Kedua-duanya mengisytiharkan harta bagi membantu siasatan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki berkata pada 21 Januari lalu dipetik sebagai berkata, kedua-dua mereka telah selesai membuat pengisytiharan harta termasuk pegangan aset, saham dan sebagainya selepas notis dikeluarkan oleh SPRM.
Azam seterusnya berkata, beliau berpuas hati dengan pengisytiharan kedua-dua anak Tun Mahathir itu.
Dalam pengisytiharan itu, Azam menjelaskan, Mokhzani mempunyai jumlah aset keseluruhan kira-kira RM1 bilion, antaranya aset peribadi berjumlah RM360 juta selain beberapa aset, pegangan saham dan liabiliti yang ditanggung.
“Bagi Mirzan pula, beliau mempunyai keseluruhan harta berjumlah RM246.2 juta, termasuk aset peribadi sebanyak RM120 juta, saham, liabiliti yang ditanggung dan lain-lain aset,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
Kenapa tidak digunakan saja hasil siasatan dan pengisytiharan kepada SPRM itu untuk mendakwa anak-anak Tun Mahathir di mahkamah?
Soalnya ada bukti atau tidak kekayaan mereka itu diraih secara haram?
Kalau ada bukti, dakwalah segera di mahkamah untuk ditentukan bersalah atau tidak.
Jika tiada bukti, elok tutup sajalah cerita itu dan jangan dijadikan bahan sembang lagi.
Negara kita kan ada undang-undang? – ShahbudinHusin 31July2025.
https://shahbudindotcom.net/2025/07/gesa-anak2-tun-isytihar-sumber-kaya-hanya-kerja-buang-masa-pm-patut-segera-dakwa-mereka/
No comments:
Post a Comment