PKR MASIH KUKUH. RAKYAT YANG MEMILIH HARUS MENDESAK WAKIL MEREKA KOSONGKAN KERUSI DAN ADAKAN PILIHANRAYA .

KUALA LUMPUR : Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Nasution Ismail berkata, tidak ada pergolakan dalam parti itu walaupun beberapa pemimpinnya sudah keluar parti kerana kecewa dengan kepimpinan tertinggi PKR.

Sebaliknya, kata beliau, apa yang berlaku adalah satu penambahbaikan kepada parti itu kerana mereka yang mengisytiharkan keluar parti sebenarnya terdiri daripada kalangan anggota yang bermasalah.

"Hakikatnya tiga yang keluar parti itu adalah kalangan yang sedang dihadapkan ke lembaga disiplin parti dan rakyat boleh menilai siapa mereka.

"Tidak berlaku pergolakan dalaman parti dan PKR masih kukuh," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Saifudin Nasution yang dipetik bernama berkata demikian bagi mengulas tindakan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim, bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin dan terbaru, Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng yang mengumumkan keluar PKR.

Zahrain dan Tan kini menjadi wakil rakyat Bebas manakala Mohammad Fairus mengumumkan menyertai Umno.

Saifudin Nasution juga menafikan dakwaan bekas Setiausaha Agung PKR, Datuk Salehuddin Hashim, kononnya lebih 10 Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR bakal keluar parti dan menjadi wakil rakyat Bebas.

"Sesiapa pun boleh mendakwa 10 atau 15 anggota Parlimen dan ADUN akan keluar parti dan saya tidak percaya keadaan seperti itu akan berlaku," katanya.

Beliau berkata, 500,000 anggota parti itu di seluruh negara akan tetap setia dengan PKR.


Sementara itu pula

Yang Dipertua PAS Kawasan Batu, Haji Ishak Surin ketika menegaskan perkara ini menyeru semua pengundi Pakatan Rakyat di kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang terbabit dengan wakil rakyat melompat parti agar membuat laporan polis, bahawa mereka dikhianati dan dimungkiri oleh ahli Yang Berhormat berkenaan, tidak kekal dalam parti-parti Pakatan Rakyat, sebaliknya mengkhianati parti dan undi rakyat.

Katanya, tekanan ini juga bertujuan untuk mencabar mereka meletak jawatan dan mengosongkan kerusi berkenaan agar satu pilihan raya kecil diadakan bagi membolehkan pengundi memilih wakil rakyat baru.

Tegas beliau lagi, usaha begini patut dipandang serius sebagai tekanan dan asakan untuk menghalang mereka yang ingin melompat parti, kerana kemarahan pengundi yang ditipu oleh ahli Yang Berhormat berkenaan penting untuk membentuk politik baru yang anti wakil rakyat pengkhianat.

“Macam mana nak mewakili rakyat kalau mereka sudah mungkir, khianat. Tidak mungkin seorang yang khianat boleh amanah, jujur dan dedikasi dalam menjalankan tugas mereka. Apatah lagi, bergerak secara bebas tanpa diawasi oleh sesiapapun,” tegas Ishak ketika ditemui selepas menyerahkan memorandum PAS Kawasan Batu membantah Draf KL 2020 kepada Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub pada program ceramah 'Menggempur Garuda DrafKL 2020' di Pasti Kampung Padang Balang, dekat sini.

Selain Salahuddin, turut berceramah, Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Klang, Shaari Sungip.

Mengulas lanjut, Ishak mencabar mana-mana pengkhianat rakyat yang kini bergelar ahli Yang Berhormat 'bebas' mengosongkan kerusi yang dimenangi atas tiket Pakatan Rakyat dan bertanding semula dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti, jika mereka benar-benar hebat dan jaguh rakyat.

Katanya, mereka yang melompat, benar-benar berkepentingan diri sendiri tanpa menghiraukan maruah dan perjuangan yang selama ini dilaungkan untuk rakyat, sebaliknya mudah 'mengalah' dengan pelbagai pujukan.

“Inikah yang dikatakan perjuangan. Rakyat mahu Pakatan Rakyat lebih berhati-hati memilih calon pada pilihan raya akan datang agar wakil rakyat pengkhianat tidak muncul lagi selepas ini,” tegas beliau.

Sehingga kini, menurut Ishak, empat kawasan Parlimen - Bayan Baru, Nibong Tebal, Pasir Mas dan Bagan Serai serta lima Dun iaitu Changkat Jering, Jelapang, Behrang, Lunas dan Pelabuhan Klang, masing-masing wakil rakyatnya telah mengkhianati pengundi mereka.