Kenaikan kos sara hidup jejas kenaikan gaji dan bonus, kata DAP

Kenaikan kos sara hidup jejas kenaikan gaji dan bonus, kata DAP

December 30, 2013
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng (gambar) mendakwa tindakan kerajaan menaikkan kos sara hidup termasuk membiarkan korupsi menyebabkan negara bukan sahaja berdepan inflasi bahkan  terpaksa menerima hakikat bahawa ia akan menjejaskan peluang kenaikan gaji dan bonus kepada 14.4 juta pekerja pada tahun 2014.
Ahli Parlimen Bagan itu berkata, kenaikan harga tol, tarif elektrik dan sebagainya memberikan kesan negatif hingga mengakibatkan inflasi.
Menurut Lim, biarpun  berlakunya kenaikan gaji dan bonus namun ia tidak seiring peningkatan kos yang akhirnya menyebabkan kehidupan rakyat Malaysia semakin sukar."Berdasarkan kajian Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), ia mendedahkan daripada 257 buah syarikat yang mempunyai lebih daripada 13,000 majikan, pekerja berjawatan eksekutif boleh menjangkakan kenaikan sebanyak 5.63% secara puratanya dan 5.65% bagi bukan eksekutif," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Memburukkan lagi keadaan, korupsi yang semakin kronik di negara ini juga menyumbang kepada kesengsaraan rakyat apabila ia telah merencatkan penjanaan ekonomi negara.

Beliau berkata, penyelewengan itu menyebabkan negara kehilangan wang berjumlah RM1.2 trilion pada 2012 sepertimana yang dinyatakan dalam laporan Kewangan Global Intergriti (GFI).
"Kenyataan Menteri Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low menafikan hakikat aliran keluar wang haram sebagai hanya RM1 bilion daripada rasuah dan RM34 bilion bagi jenayah membuktikan beliau telah hilang kredibiliti setelah menjadi menteri," katanya.

Lim turut menyelar pelaksanaan polisi gaji minimum pada 2014 yang meletakkan kadar RM900 di Semenanjung Malaysia dan RM800 untuk Sabah dan Sarawak.

Bagaimanapun polisi tersebut akhirnya telah menyamakan gaji yang diterima pekerja asing dan tempatan.
Tambahan pula kata Ketua Menteri Pulau Pinang itu, Malaysia mengalami kerugian akibat pekerja asing yang menghantar duit pulang ke negara asal.

"Ini berikutan jumlah yang diberitahu Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan, menyatakan kiriman wang ke luar negara meningkat sekali ganda iaitu daripada RM10 bilion pada 2009 kepada RM20 bilion.
"Dan angka tersebut dijangka naik apabila gaji minimun dilaksanakan dan pertambahan itu amat membimbangkan," katanya.

Beliau pada masa yang sama berkata, rakyat Malaysia membuat keputusan betul menolak kepimpinan kerajaan BN dengan memberi peluang Pakatan Rakyat (PR) meraih undi popular sebanyak 51% berbanding BN yang hanya memperoleh 47%.

Tindakan menaikkan harga barang dan perkhidmatan sekaligus meningkatkan kos sara hidup telah menghancurkan kepercayaan yang diberikan olej  47% pengundi BN.
Lim turut membidas kerajaan BN yang berterusan membiarkan gejala rasuah dan kroni parti tersebut mengaut keuntungan hasil negara.

"Apakah etika kuasa dan justifikasi kerajaan persekutuan apabila bertindak menaikkan kos sara hidup walhal mereka enggan melaksanakan pembidaan tender secara terbuka dan kompetitif malah tidak mahu mendedahkan berapa aset yang dimiliki.

"Di manakah moralnya apabila kerajaan BN dilihat tidak mempunyai kemahuan politik memerangi rasuah membiarkan kroni dan keluarga BN terus mencuri duit rakyat ketika rakyat sedang bergelut dengan kenaikan harga dan hutang sebanyak 83.5 % daripada hasil Keluaran Kasar Dalam Negara (KDNK) yang merupakan antara kedua tertinggi di Asia?" soalnya. – 30 Disember, 2013.

No comments: