KONFLIK DALAMAN UMNO BELUM SELESAI

http://buletinonline.net/images/stories/berita29/drsyedazman.jpgKUALA TERENGGANU – Konflik dalaman UMNO Terengganu tidak pernah selesai walaupun ia sudah berlarutan sejak dua tahun lalu, kata Pengerusi Lajnah Antarabangsa Pas Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi.

Dr Syed Azman berkata, ia dapat dibuktikan dengan ketidakhadiran empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Parlimen Setiu ketika Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO bahagian berkenaan, Jumaat lalu.

Beliau berkata, keadaan itu sebenarnya menimbulkan keresahan dalam hati rakyat, apatah lagi dua daripada wakil rakyat itu turut memegang jawatan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).

“Pas tidak mahu campur tangan dalam konflik UMNO, tapi masalah itu sebenarnya akan membantutkan usaha pentadbiran dan pembangunan negeri Terengganu sendiri,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam.

Jumaat lalu, kesemua ADUN Setiu tidak hadir ke majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Setiu yang dihadiri Tan Sri Muhyiddin Yassin, sekali gus menimbulkan kekecewaan dalam hati Timbalan Perdana Menteri.

Empat ADUN berkenaan adalah Asha’ari Idris (Langkap) yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Setiu, Abdul Halim Jusoh (Permaisuri) yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian, Khazan Che Mat (Batu Rakit, Ketua Pemuda UMNO Bahagian) dan Ramlan Ali (Jabi).

Mengulas lanjut, Dr Syed Azman yang juga ADUN Batu Burok berkata, beliau tidak nampak kemelut yang berlaku kepada UMNO Terengganu akan dapat diselesaikan kerana perkara itu sudah lama berlaku.

Beliau berkata, sikap yang ditunjukkan wakil rakyat UMNO itu tidak membawa kebaikan, sebaliknya banyak merugikan rakyat yang mahukan pentadbiran sempurna demi kesejahteraan bersama.

“Memang dari luaran kita nampak seolah-olah (kemelut) selesai, tapi semua orang termasuk dalam kalangan orang politik dan kakitangan kerajaan sendiri maklum bahawa masalah ini masih berlarutan,” katanya.

No comments: