Himpunan Hijau kedua 14 April

Himpunan Hijau kedua 14 April

Anis Nazri, 17 Mac 2012

KUALA LUMPUR, 17 Mac: Solidariti Semalaysia Himpunan Hijau merancang satu himpunan besar-besaran di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak bagi membantah projek memproses nadir bumi Lynas di Kuantan, Pahang, 14 April ini.

Himpunan yang diadakan secara serentak itu akan bermula selepas solat Jumaat, mengikut lokasi-lokasi yang akan ditetapkan kelak.

Namun, himpunan utamanya akan diadakan di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam, di mana sebelum itu para peserta akan berarak dari Masjid Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS Pusat, Zulkefly Mohamad Omar, berkata tujuan himpunan itu diadakan bagi menunjukkan komitmen rakyat di seluruh negara bahawa isu Lynas bukan merupakan isu rakyat Pahang semata-mata.

Bercakap kepada Harakahdaily, hari ini, lokasi perhimpunan bagi negeri-negeri lain akan diumumkan kemudian selepas membuat perbincangan lanjut dengan NGO-NGO anti Lynas di peringkat negeri masing-masing.

Dalam pada itu, beliau melahirkan kekesalan apabila terdapat beberapa pemimpin BN yang mengatakan isu Lynas ini merupakan isu penduduk Pahang dan orang Cina.

"Pandangan saya, isu ini bukan hanya melibatkan penduduk Pahang, dan juga masyarakat Cina tetapi turut membabitkan seluruh rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum.

"Ia soal kesihatan rakyat, dan ada kes menunjukkan projek seumpama ini memberi kesan kepada rakyat seperti di Bukit Merah, Perak dan beberapa kawasan lain di seluruh negara," tegas beliau ketika dihubungi.

Dalam pada itu, beliau turut meminta orang ramai turun beramai-ramai bagi menyertai himpunan aman tersebut sebagai satu langkah sokongan terhadap usaha membantah pembinaan Lynas dan projek-projek lan seumpamanya di negara ini.

Pada 26 Feb lalu, satu himpunan besar-besaran berjaya diadakan di Padang MPK, Kuantan dengan penyertaan puluhan ribu rakyat yang terdiri dari pelbagai kaum.

Selain di Kuantan, bantahan tersebut juga diadakan serentak di Pulau Pinang, Sarawak, Perak dan Kuala Lumpur.

No comments: