Dr Rani: SPR kotor dan jijik

Dr Rani: SPR kotor dan jijik


SHAH ALAM 17 MAC : Tindakan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menukar kawasan mengundi tanpa pengetahuan pengundi berkenaan merupakan satu tindakan yang jijik dan kotor yang bertentangan dengan nilai, etika dan prinsip demokrasi.

Demikian ujar Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr. Abdul Rani Osman ketika dihubungi untuk mengulas isu terkini tindakan SPR menukar alamat kawasan mengundi Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ke Lembah Pantai di bawah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Inilah salah satu yang kita perjuangkan dalam Kempen Bersih. Seharusnya juga SPR ini berada di bawah Parlimen supaya kita boleh pantau apa saja tindakannya.

“Tetapi sayangnya di Malaysia, SPR berada di bawah Jabatan Perdana Menteri yang mana memaksa mereka untuk akur akan kehendak pimpinan-pimpinan Barisan Nasional,” ulas Dr. Rani yang merupakan Adun Meru.

Selain itu, Dr. Rani turut menyatakan isu terbaru yang melibatkan Abdul Khalid ini juga membuktikan segala kata-kata pimpinan Pakatan Rakyat sebelum ini terhadap kredibiliti SPR ada benarnya.

“Ternyata SPR itu tidak bebas daripada telunjuk Kerajaan Pusat dan ini membolehkan mereka untuk melakukan apa sahaja sesuka hati mereka tanpa tertakluk kepada undang-undang.

“Ini juga menunjukkan bahawa mereka terdesak hingga sanggup melakukan apa sahaja untuk meraih kemenangan secara tidak bermoral dalam Pilihanraya yang akan datang ini,” kata Dr. Rani sambil menambah permainan SPR ini pernah diamalkan di Kelantan pada tahun 1999 yang hampir menumbangkan Kerajaan PAS.

Sehubungan itu, Dr. Rani menyeru rakan Pakatan Rakyat untuk menumpukan juga perhatian terhadap isu sebegini selain mempergiatkan ceramah-ceramah umum bagi menghadapi Pilihanraya Umum 13 nanti.

“Kita khuatir perkara yang sama akan berulang kembali seperti yang berlaku di Kelantan dan Terengganu juga suatu masa dulu yang jatuh dengan kehadiran lebih 70,000 pengundi luar,” ujarnya.

No comments: