MAHATHIR KATA ORANG UMNO BODOH BODOH SEBAB NAJIB TAK BOLEH DISINGKIR

Umno jadi penghalang pengganti Najib, kata Dr M

Ramai pemimpin berkebolehan ganti Datuk Seri Najib Razak tetapi Umno jadi penghalang usaha itu, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. – Gambar fail The Malaysian Insider, 8 Disember, 2014.Ramai pemimpin berkebolehan ganti Datuk Seri Najib Razak tetapi Umno jadi penghalang usaha itu, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. – Gambar fail The Malaysian Insider, 8 Disember, 2014.























Ramai pemimpin yang berkebolehan menggantikan kepimpinan Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri namun Umno menjadi penghalang kepada usaha itu, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas perdana menteri itu berkata usaha kemasukan pemimpin baharu ke dalam Umno terhalang ekoran kepimpinan parti itu yang lebih gemar mempertahankan kedudukan sebagaimana yang terlihat di Selangor.
“Sebenarnya ramai, ramai yang layak. Tetapi Umno tak bagi masuk. Umno tak bagi masuk dalam Umno pasal masing-masing jaga tempat dia, kalau masuk orang yang lebih layak daripada dia, dia tak dapat tempat.


“Sebab itu (contohnya) kita cari dalam Umno di Selangor. Selangor ini penuh dengan orang Melayu yang bijak-bijak belaka, yang pandai, yang berjaya tetapi tak boleh masuk Umno. (Kena) cantas, tak boleh. Pasal dia nak jaga tempat dia.

“Ha! (kalau orang itu) masuk, (dia) tak boleh jadi ketua bahagianlah, (dia) tak jadi calonlah, tak dapat jadi datuklah. Jadi pasal masing-masing fikir tentang kepentingan diri. Sebab itu kita cari siapa nak ganti (pemimpin tertinggi) oh tak ada kononnya,” katanya dalam satu wawancara bersama Sinar Harian minggu lalu.
Dr Mahathir berkata perkara itu sebenarnya boleh dielakkan kerana ramai lagi pemimpin di Selangor yang berkebolehan dan berkeupayaan datang dari seluruh negara.

Beliau berkata, kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum yang lalu juga bukanlah didorong kerana kepimpinan Najib sebaliknya pengundi parti itu takut kepada pemimpin Pakatan Rakyat (PR).

Katanya, pengundi BN bimbang jika Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya menerajui negara maka Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang akan dilantik menjadi timbalan perdana menteri. 
“Orang yang sokong BN (dalam PRU13) hari itu bukan kerana BN, bukan kerana kepimpinan Datuk Seri Najib (tetapi) kerana takut kepada Anwar. Kalau (kemenangan) dapat (kepada) Anwar, dia (pengundi) nampak Kit Siang nanti mai sama, jadi timbalan perdana menteri lepas itu (menteri) dalam negeri, nanti orang kena tangkap, itu yang (mereka) tolak.

“Tapi kalau Azmin naik, dan Anwar masuk dalam (penjara), mungkin fikiran rakyat akan bertukar. (Mereka) tak takut pada Azmin, (mereka) takut Anwar. Anwar kalau dah masuk, (kena) kurung, takut kepada Anwar itu sudah hilang,” katanya merujuk kepada Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali.

Mengulas mengenai konsep wasatiyyah (kesederhanaan) yang dipromosikan Najib, Dr Mahathir berkata Islam sendiri dilengkapi ciri itu namun tidak dipraktikkan umatnya.

Katanya, Al-Quran sendiri jelas menyeru umatnya agar melakukan pentadbiran yang baik, menerima keberadaan orang bukan Islam dan tidak memaksa golongan itu.

“Tetapi yang berlaku sekarang ialah penganut agama Islam ini keterlaluan, lebih daripada yang disuruh oleh agama. Benda yang dilarang agama pun mereka buat dengan nama agama.

“Umpamanya, dia bunuh orang Islam atas nama Islam. Itu tak kena. Itu bukan Islam.Jadi ini penyelewengan. Bukan agama itu tidak sederhana. Agama itu sudah pun sederhana, tak payah disederhanakan.


“Tuhan dah tunjuk kepada kita dalam Al-Quran, dalam hadis, kita adalah agama yang sederhana,”katanya kepada Sinar Harian. – 8 Disember, 2014.