BANGI 13 MAC : Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menyuntik semangat baru dalam kebangkitan gerakan mahasiswa dengan menggesa mereka untuk mendokong perjuangan membela rakyat yang tertindas akibat dasar- dasar kerajaan yang zalim.
Berucap kepada 300 wakil persatuan mahasiswa dari seluruh negara, Anwar menegaskan keperluan menghidupkan semula obor perjuangan mahasiswa tahun 70an untuk mempertahankan hak penduduk miskin dan mereka yang teraniaya serta menolak politik perkauman.
"Tahun 70-an itu kita ungkapkan Gerakan Mahasiswa sebagai suara, denyut nadi majoriti rakyat. Kita ada merasakan tanggungjawab terhadap masyarakat majoriti, melihat kepincangan yang masyarakat ada. Maka Mahasiswa dan generasi muda dikaitkan dengan idealisme perjuangan murni dan bukan mahu diheret ke politik kepartian atau perkauman," kata Anwar.
Beliau berkata demikian dalam ucap tama pada Kongres Gerakan Mahasiswa Nasional ke 2 di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor malam tadi.
Kongres yang dianjurkan Kumpulan Pro-Mahasiswa dan Solidariti Mahasiswa Malaysia ini mengumpulkan wakil dari 14 Insitusi Pengajian Tinggi tempatan bagi membincangkan hala tuju gerakan mahasiswa.
Keputusan pemilihan pilihanraya kampus yang banyak memihak kepada calon Pro-Mahasiswa baru-baru ini menguatkan desakan supaya kerajaan UMNO BN memansuhkan Akta Universiti dan Kolej yang mengharamkan pembabitkan pelajar dalam politik nasional.
Anwar berkata dengan kelebihan intelektual yang ada pada mereka, mahasiswa tidak lagi boleh berdiam diri terhadap segala kepincangan di sekeliling mereka yang memberi kesan kepada rakyat.
"Saya yakin sebab kita tak ada pilihan sebab kita nak keluarga kita, yang kerani, guru, petani diberi layanan sebagai rakyat yang berhak dan merdeka. Orang melayu Cina India Kadazan. Adakah mungkin? Mungkin adakah saya yakin? ya, saya yakin. Di Mesir lebih susah, tapi kalau tercetus ledakan semangat rakyat ia boleh berlaku," kata Anwar.
Anwar yang juga Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat membidas Kerajaan Persekutuan kerana cuba menutup suara mahasiswa menerusi AUKU.
Beliau berkata mahasiswa dan rakyat tidak akan memilih tunjuk perasaan jalanan seperti di Mesir untuk menumbangkang kerajaan, namun kezaliman pemerintah di Malaysia, tegas Anwar akan memakan parti itu sendiri.
"Apakah kita pilih cara di Mesir, tidak. Kita pilih cara undang-undang cara aman, termasuk parti. Cara pilihan raya. Tapi nak beri amaran kepada Datuk Seri Najib, jangan perbodohkan rakyat. Jangan guna media (dan) SPR, Undi pos dicurah dari langit. Rakyat akan bangkit menentang kezaliman ini," tegas beliau disambut tepukan gemuruh mahasiswa.