Sunday, September 6, 2015

Tidak mustahil bentuk kerajaan baru di Sabah pada PRU14

IMG_1976

“Ayuh lakarkan perubahan kerajaan di Sabah”. Demikian seru Pemangku Pengerusi DAP Kebangsaan Tan Kok Wai dalam ucapannya meminta rakyat Sabah memberi mandat kepada DAP dalam Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.
Beliau berkata demikian di hadapan kira-kira 300 orang penduduk sekitar Keningau dalam majlis Sambutan Hari Kemerdekaan Sabah ke-52 dan pelancaran replika Batu Sumpah di pekan Keningau disusuli pelancaran Program “Land For The Landless”.
Menurut Kok Wai, tiada yang mustahil untuk menukar kerajaan UMNO-BN di Sabah memandangkan parti pemerintah itu semakin tidak popular di Sabah akibat pelbagai isu yang melanda termasuk isu hak Orang Asal.
“Pada Pilihan Raya Umum 2008, BN mendapat 61 peratus undi majoriti. Tetapi pada Pilihan Raya Umum ke 13 yang lalu, BN hanya dapat 55 peratus,” ujar beliau.
Ahli Parlimen Cheras itu menegaskan, rakyat Sabah harus berani melakukan perubahan memandangkan kerajaan sedia ada semakin menindas dan bersikap tidak adil terutamanya terhadap masyarakat Orang Asal.
“Segala jaminan kerajaan Malaysia di Batu Sumpah mesti dipatuhi. Tetapi adakah kerajaan laksanakan dan pelihara apa yang mereka jaminkan kepada anda semua?” soalnya.
Di kesempatan itu beliau membidas sikap kerajaan BN yang gagal mengurus pentadbiran dan ekonomi negara dengan baik sehingga wujud banyak masalah akibat gejala rasuah, kronisma dan penyelewengan dana awam.
“Jadi pada hari kemerdekaan Sabah yang ke-52 ini, kita harus sehati sejiwa bersatu jayakan Sabah dan jayakan Malaysia.
“Kita harus sehati sejiwa tumbangkan BN!” kata beliau disambut tepukan gemuruh hadirin.
Majlis ini merupakan inisiatif DAP Sabah melalui Majlis Perundingan Orang Asal Anak Negeri DAP Sabah yang diketuai Dr. Edwin Bosi yang juga ADUN Kapayan.
Dalam ucapannya Dr Edwin mempersoalkan kemampuan kerajaan untuk mempertahankan hak adat Orang Asal di Sabah.
“Bagaimana kita nak pertahankan hak adat kalau kerajaan tidak prihatin?” soalnya.
Kata beliau, program dan kempen yang dilancarkan ini merupakan satu komitmen parti untuk memperjuangkan hak Orang Asal yang telah lama didak dipedulikan.
“Kami berjanji bila DAP membentuk kerajaan kita akan hormati segala jaminan yang telah diberikan kerajaan sebelum ini,” ujar beliau yang juga Setiausaha DAP Sabah.
Pengerusi DAP Sabah Jimmy Wong Sze Phin pula menegaskan komitmen parti untuk memperjuangkan kepentingan autonomi Sabah.
“Saya ingin tekankan Sabah asalnya bukan merupakan negeri. Tetapi Sabah adalah rakan kongsi Malaya yang membentuk Malaysia. DAP berjuang supaya autonomi Sabah dikembalikan,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Kinabalu itu berkata, selain memperjuangkan autonomi Sabah, DAP bukanlah sebuah parti perkauman seperti yang digembar-gemburkan media arus perdana.
“Saya ingin tegaskan bahawa DAP perjuangkan kebebasan beragama dan berbudaya di Sabah seperti termaktub di Batu Sumpah. DAP percaya, rakyat Malaysia khususnya di Sabah boleh hidup aman damai walaupun berbeza budaya dan agama,” ujar beliau. – Roketkini.
Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers