Sunday, September 6, 2015

Kg. Mutiara bukan isu perkauman, ia antara tuan tanah dan penduduk

PAS PULAK JADI BATU API???



 
ZAIRIL Khir Johari (duduk, kanan) bersama-sama Pengerusi Parti Amanah Negara (PAN) Pulau Pinang, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa (duduk, tengah), Pegawai Penerangan Kerajaan Negeri, Zahar Zainol (berdiri, dua dari kiri) serta pemimpin Kerajaan Negeri lain meneliti dokumentasi perjuangan penduduk Kampung Mutiara di sini baru-baru ini.

ISU pengusiran penduduk asal oleh tuan tanah bukan tragedi baru di Pulau Pinang, malah telah banyak berlalu sejak sebelum tahun 2008 lagi.

Namun, isu pengusiran penduduk dari Kampung Mutiara di Batu Ferringhi tiba-tiba menjadi perhatian banyak pihak, belakangan ini.

Lebih malang, Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng digambarkan seakan langsung tidak membantu mereka yang berkenaan, rata-rata Melayu.

Isu pengusiran penduduk dari Kampung Mutiara akhirnya digambarkan sebagai suatu lagi kisah penindasan Melayu di Pulau Pinang, di beberapa media arus perdana.

Fotojurnalis, ZAINULFAQAR YAACOB berpeluang mewawancara Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari, iaitu individu yang terlibat secara langsung dengan isu berbangkit tersebut di pejabatnya baru-baru ini.

“Selalunya isu seperti ini membabitkan tiga pihak, iaitu penduduk, tuan tanah dan pemaju. Kadang-kadang, tuan tanah dan pemaju adalah pihak yang sama.

“Dalam isu Kampung Mutiara ini, sebenarnya melibatkan dua pihak, iaitu tuan tanah dan penduduk sahaja. Tidak ada pemaju yang terlibat. Jika ada pemaju yang terlibat, maka Kerajaan Negeri boleh meletakkan syarat-syarat perancangan pembangunan. Dalam kes ini, tiada permohonan perancangan dibuat.

“Ini bererti bahawa kes Kampung Mutiara sebenarnya tidak melibatkan Kerajaan Negeri. Di sini, wakil rakyat dan Kerajaan Negeri hanya memainkan peranan pemudahcara untuk memastikan kebajikan penduduk terbela.

“Bagaimana pihak ketiga seperti Kerajaan Negeri umpamanya boleh digambarkan oleh pihak tertentu cuba mengusir Melayu dari Kampung Mutiara, sedangkan langkah pengusiran penduduk terbabit dibuat oleh tuan tanah di Mahkamah,” tanya Zairil.

Zairil merupakan anak bekas Menteri Pendidikan, Allahyarham Tan Sri Mohd. Khir Johari yang berkhidmat di bawah tiga perdana menteri terdahulu, Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan Tun Hussein Onn.

Zairil merupakan graduan Universiti Multimedia, sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana di University 0f London.

Sekembalinya ke tanah air, Zairil sempat membina industri makanan berasaskan coklat sendiri, sebelum terus ke arena politik sepenuh masa pada tahun 2010.

Beliau dipilih menjadi Ahli Parlimen Bukit Bendera selepas Pilihan Raya Umum Ke-13, pada 5 Mac 2013.

Walaupun dihambat oleh kerja-kerja politik, beliau memainkan peranan penting dalam Penang Institude (PI), iaitu agensi Kerajaan Negeri yang tidak berasaskan politik.

Beliau pernah menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PI mulai Mac 2012 hingga Mac 2014, kemudian ditaklif sebagai Pengarah Eksekutif di institusi sama mulai Mac 2014 hingga kini.

Kes Kampung Mutiara merupakan antara isu-isu yang dikaji dari segi politik ekonomi dan impak sosial oleh pasukannya di IP.

“Penduduk Kampung Mutiara di Batu Feringghi telah menetap di kawasan Batu Ferringhi tersebut sejak 50 tahun dahulu lagi, namun bukan di tanah yang terbabit. Mereka telah dipindahkan ke situ pada lewat tahun 1980an ke awal 1990an apabila Hotel Parkroyal dibangunkan. Tanah yang mereka duduki sekarang pula telah dibeli pada tahun 1991 oleh pemilik kini.

“Tuan tanah telah memulakan tindakan mahkamah pada tahun 2007, dan berjaya mendapatkan penghakiman mahkamah pada 3 Julai 2012, perintah (dikeluarkan) pada 3 Julai 2012, perintah bertarikh 20 April 2015, writ milikan bertarikh 25 Jun 2015, dan akhirnya, notis keluar bertarikh 9 Julai (2015) baru-baru ini.


PAMPASAN
Zairil berkata Kerajaan Negeri bukanlah anti pembangunan, jauh lagilah mahu menafikan hak tuan tanah.

Tetapi, katanya, tuntutan-tuntutan penduduk asal Kampung Mutiara yang munasabah perlu diambil kira.

Mengambil contoh lain, pemajuan 803 pangsapuri mampu milik yang dibenarkan oleh Kerajaan Negeri melalui tuan tanah Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dekat Sandiland Foreshore di tengah-tengah Bandaraya George Town pada bulan Julai lepas, kerana Tanjung Villa Developement Sdn. Bhd. selaku pemaju bersetuju memberikan pampasan berupa “rumah ganti rumah” secara percuma kepada 54 pemilik rumah asal di atas tanah tersebut.

Lagi satu contoh adalah Kampung Chetty yang terletak bersebelahan Kampung Mutiara, di mana penduduk telah diberi pampasan "rumah ganti rumah" oleh pemaju juga.

“Bagaimana boleh beberapa pemimpin PAS menuduh Kerajaan Negeri langsung tidak membela penduduk asal dan lebih mementingkan pemaju, walhal Kerajaan Negeri hari ini terang-terang membela penduduk Kampung Mutiara.

“Saya konsisten dengan garis panduan oleh Kerajaan Negeri, iaitu tidak akan meluluskan sebarang permohonan pelan pembangunan (merancang), jika tuntutan penduduk asal di atas satu-satu tanah langsung tidak diambil kira,” jelas beliau lagi, sambil menegaskan bahawa isu Kampung Mutiara bukan isu perkauman.

Tambah beliau, Pengerusi Umno Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail sendiri sependapat dengan komitmen Kerajaan Negeri mempertahankan hak penduduk kampung tersebut.

“Sepertimana yang dinyatakan oleh Datuk Ahmad Ismail (Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera), isu Kampung Mutiara bukannya isu politik dan tidak seharusnya diputar belitkan oleh sesiapa pun,” kata Zairil.

Bagaimanapun, Zairil melahirkan rasa kesal dengan dolak-dalih beberapa pemimpin tertentu PAS yang didakwa mengfitnah, kononnya Kerajaan Negeri langsung tidak membantu penduduk kampung berkenaan.

“Kerajaan Negeri difitnah Pas, walaupun usaha diiktiraf Umno,” kata Zairil lagi.

KETERBUKAAN
Bagi Zairil, pergelutan isu membabitkan penduduk telah sampai berjaya menemukan titik persefahaman, apabila beliau sendiri dihubungi oleh tuan tanah baru-baru ini.

Katanya, Kerajaan Negeri senantiasa terbuka dan senantiasa mencari jalan agar hak mana-mana pihak berwajib tidak dinafikan dalam isu Kampung Mutiara ini.

“Datuk Ahmad Ismail sendiri beberapa kali menegaskan kepada media bahawa isu Kampung Mutiara ini bukan isu politik, dan Kerajaan Negeri komited mempertahankan hak penduduk.

“Memang sebelum ini tuan tanah langsung tidak pernah berbincang dengan saya atau Kerajaan Negeri.

“Tetapi, baru hubungi saya untuk berunding apabila dalam kenyataan saya bersama-sama Y.B. Teh Yee Cheu (ADUN Tanjong Bunga) baru-baru ini menegaskan tiada sebarang pembangunan akan diluluskan atas tanah ini jika tiada pampasan yang munasabah untuk penduduk,” jelas beliau lagi.

Katanya lagi, Ahmad sendiri memberi komitmen untuk berbincang dengan Kerajaan Pusat agar tanah tersebut boleh ditebus demi kepentingan penduduk asal terbabit.

“Sangat baik usaha JKP (agensi persekutuan), kalau betul JKP mahu membeli tanah Kampung Mutiara itu.

“Isu Kampung Mutiara ini bukan isu politik, jadi sesiapapun tampil untuk membantu penduduk asal di kampung tersebut, Kerajaan Negeri akan terima dengan hati yang terbuka,” jelas Zairil lagi.

Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers