Sunday, March 30, 2014

MUHYIDDIN; NI APA CRITA? Pendidikan negara: Apa yang tidak kena? – Nazil Ismail


Rencana

Pendidikan negara: Apa yang tidak kena? – Nazil Ismail

March 30, 2014
Tersentap seketika membaca komen daripada pakar ekonomi Bank Dunia Dr Frederico Gil Sander di dalam satu majlis anjuran Pemandu di Damansara yang memberitahu mutu pendidikan di Malaysia jatuh merudum berdasarkan Program Penilaian Antarabangsa Pelajar (PISA) lebih membimbangkan daripada kejatuhan kewangan. Tambah beliau, mutu pendidikan di Malaysia lebih teruk daripada Vietnam dengan menduduki tangga ke-52 daripada 65 negara yang terlibat.


Apa yang berlaku kepada pendidikan kita sehingga dikritik tajam dan pedas oleh masyarakat luar? Adakah ini satu persepsi buruk yang direka atau fakta yang nyata? Pelbagai persoalan menerjah kotak fikiran yang menunggu jawapan segera.

Memetik kata-kata Nelson Mandela:“Education is the most powerful weapon which you can use to change the world”.

Dasar pendidikan di Malaysia bermula selepas tarikh kemerdekaan. Bermula dengan laporan Barnes yang mensasarkan pendidikan Malaysia menjadi alat perpaduan kaum dengan mengangkat Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Selepas itu dasar pendidikan terus mengalami evolusi dan transformasi sejajar dengan kehendak semasa.

Pada 1983, antara perubahan penting pendidikan negara dengan pelaksanaan KBSR bermatlamat perpaduan dan peningkatan penguasaan 3M (menulis, membaca dan mengira) di kalangan pelajar. Diikuti dengan dasar KBSM yang menggabungkan antara ilmu dan sahsiah diri pelajar di samping pendidikan kemahiran terus diperkasakan. Ini untuk memenuhi keperluan semasa perancangan kemajuan negara.
Namun, beberapa permasalahan timbul melanda pendidikan negara. Pengenalan Dasar Penswastaan yang tidak terkawal mengakibatkan tumbuhnya kolej dan sekolah pendidikan yang lebih bermatlamatkan keuntungan daripada pembinaan insan. Sekolah dan universiti tumbuh begitu subur bagaikan cendawan selepas hujan. Sehinggakan graduan lepasan institusi melebihi keperluan dan membuka masalah pengangguran di kalangan siswazah. Seolah-olah pembinaan sekolah ini dibuat tanpa kajian kehendak pasaran, dibina untuk mengaut kekayaan hasil dari pada yuran pengajian pelajar.

Bertambah derita pelajar apabila terpaksa "mengongkong biawak" hutang selepas graduasi. Sudahlah tiada pekerjaan yang diharapkan, dikejar pula oleh pengutip hutang tanpa kasihan. Betapa ramai graduan pelbagai bidang khususnya guru menjadi siswazah penganggur. Inilah akibat daripada ketamakan pihak pembuat dasar yang meletakkan keuntungan mengatasi kebajikan rakyat.

Pengenalan pembelajaran Sains dan Matematik di dalam bahasa Inggeris merupakan satu lagi malapetaka kepada sistem pendidikan negara. Bahasa Malaysia yang diangkat menjadi instrumen penyatu rakyat negara Malaysia ini seolah diketepikan. Tanpa sebab yang konkrit, dasar ini ingin diteruskan walaupun mendapat tentangan daripada cendekiawan bahasa, guru dan NGO yang melihat nasib bangsa Malaysia menjadi taruhan disebabkan oleh keras kepala pemerintah dan kedegilan mereka. Ini mengundang demostrasi jalanan yang bersaiz mega menempelak pelaksanaan dasar ini. Jutaan wang pembayar cukai dibazirkan untuk persediaan dasar pengajaran bahasa Inggeris ini. Apa hasilnya sekarang? Generasi hari ini terpaksa mencuci kotoran yang ditinggalkan oleh orang terdahulu.

Kini heboh pula program baru Pentaksiran Berasaskan Sekolah(PBS). Sepintas lalu nampak matlamatnya murni, meningkatkan sistem pendidikan Malaysia setaraf dunia. Penilaian pencapaian murid berdasarkan pemerhatian guru kepada murid tanpa lagi merujuk kepada markah peperiksaan. Lebih melihat bakat dan penguasaan pelajaran pelajar.

Di peringkat pelaksanaan PBS mendapat tentangan hebat daripada warga pendidik. Guru dikatakan dibebani oleh kerja-kerja "pejabat" sehingga mengabai kerja hakiki guru iaitu mendidik generasi muda. Sehingga kini, perdebatan pelaksanaan PBS ini panas diforumkan. Sang menteri mengatakan guru tidak terbeban, dibuat penambahbaikan sehingga 80% kerja dikurangkan. Di kalangan guru, menyuarakan hanya guru sahaja yang memahami beban PBS ini.

Melihat konflik yang melanda pendidikan negara, kita amat khuatir dan bimbang tentang generasi masa depan negara. Masa terus berlalu tanpa menunggu kita. Pencapaian pendidikan yang terus merosot amat merisaukan. Generasi bagaimanakah yang akan menggantikan kepimpinan negara di masa depan?

Kita amat mengharapkan golongan pemerintah dan cendeakawan pendidik dapat berbincang dan duduk bersama untuk merangka pelan pendidikan terbaik negara. Bukannya hendak menunjuk kuasa dan ego keras kepala. Demi kebaikan negara dan anak cucu kita. Sudah-sudahlah bercakaran, ini bukan masa untuk berkata nista. Ini masa untuk bermuhasabah dan mengatur kerja demi negara tercinta. – 30 Mac, 2014.

* Dr Nazil Nuhairi Ismail ialah Pengerusi Persatuan Profesional Islam (Promis).
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider. 
Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers