Kes pembunuhan Altantuya: Pengakuan Deepak bukti akuan sumpah kedua PI Bala tak sah

Kes pembunuhan Altantuya: Pengakuan Deepak bukti akuan sumpah kedua PI Bala tak sah

Merujuk kepada laporan Harakah mengenai pengakuan Deepak Jaikishan yang membantu keluarga Datuk Seri Najib Razak untuk memujuk penyiasat bebas P Balasubramaniam (PI Bala) menukar akuan bersumpahnya, menjadi bukti bahawa akuan bersumpah kedua PI Bala jatuh tidak sah.
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mendesak kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaaribuu dibuka semula dengan mengambil kira akuan bersumpah pertama PI Bala, setelah akuan bersumpah kedua PI Bala didapati telah dipengaruhi oleh keluarga Najib Razak.
Berikutan tindakan PI Bala mengubah pengakuan bersumpah, Deepak sendiri mengaku ia dilakukan demi menolong keluarga Najib. Ini bukti yang cukup untuk memanggil Najib ke kandang saksi. Pengakuan bersumpah PI Bala yang pertama yang menyebut keterlibatan Najib dalam kes pembunuhan Altantuya wajib dirujuk.
SAMM melihat kes pembunuhan Altantuya menerbitkan sudut persoalan yang pelbagai, apatah lagi ia berkait rapat dengan skandal Scorpene yang disifatkan sebagai ‘bapak’ kepada semua kes jenayah di Malaysia. Skandal pembunuhan Altantuya dan skandal pembelian kapal selam Scorpene yang terkait ini harus dirungkai dan rakyat harus tahu.
Demi memastikan rakyat celik dalam isu ini, pelbagai usaha dilakukan oleh SAMM termasuklah jelajah sesi taklimat penerangan di setiap negeri, ceramah pencerahan dan SAMM juga akan melancarkan buku bertajuk ‘Antara Dua Razak, Dua Scorpene dan Satu Mongolia’ pada bulan hadapan.
Akhir sekali, SAMM seru supaya rakyat menolak kepimpinan Najib Razak yang tercalit skandal Altantuya dan Scorpene, dan hanya selepas Bn ditumbangkan barulah kebenaran akan terungkai kerana ketika itu tiada lagi imuniti undang-undang terhadap VIP dan VVIP negara.
Badrul Hisham Shaharin
Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia

No comments: