KEADILAN cabar Musa Aman dedah penyumbang RM40 juta

KEADILAN cabar Musa Aman dedah penyumbang RM40 juta

KUALA LUMPUR 28 November: KEADILAN cabar Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman mendedahkan siapa penyumbang wang RM40 juta kepadanya jika benar beliau bersih dan tidak terlibat dalam skandal rasuah itu.
Pengarah Strateginya, Rafizi Ramli mendesak Musa agar memberitahu apa hubungan penderma atau penyumbang tersebut dengan beliau dan Umno.
Katanya, Musa perlu jelaskan apa kontrak-kontrak atau konsesi yang pernah diberikan kepada penderma atau penyumbang itu dan dedahkan di mana wang itu disimpan dan atas nama siapa.
“Saya percaya maklumat-maklumat di atas bukan sahaja dituntut oleh rakyat Malaysia, malah turut ditanya oleh pimpinan Umno sendiri.
“Apabila Umno BN menyerang pimpinan KEADILAN bersabit sumbangan (termasuklah isu bas jelajah Merdeka Rakyat dan penggunaan jet peribadi), mereka terbabit dengan segera mengisytiharkan butiran penyumbang, supaya rakyat dapat menilai sendiri sama ada berlaku unsur salah guna kuasa.
“Sikap yang sama perlulah juga ditunjukkan oleh Datuk Seri Musa Aman, jika beliau benar-benar yakin tidak ada unsur rasuah dan salah guna kuasa di dalam kes sumbangan RM40 juta kepada beliau/Umno seperti yang didakwanya.
“Kegagalan beliau berterus terang akan terus memanjangkan kes ini dan saya akan terus menumpukan perhatian untuk mendapatkan maklumat dan bukti baru untuk dibentangkan kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan.
Rafizi menegaskan, Suruhanjaya Bebas Menentang Rasuah Hong Kong (ICAC) belum membersihkan nama Musa.
Menurutnya, surat ICAC hanya menyatakan tidak mahu meneruskan siasatan ke atas Musa, bukan bukti beliau telah bersih.
“ICAC hanya tidak mempunyai cukup bukti kerana tidak mendapat kerjasama kerajaan Malaysia dan KEADILAN akan bantu ICAC untuk dapatkan bukti itu,” kata Rafizi.
Beliau merujuk laporan The Malaysian Insider bertajuk “ICAC Letter Shows Musa Aman Cleared of Graft Last December” semalam.
Laporan itu memetik kenyataan Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan, bagi pihak Musa bahawa kes tersebut telah ditutup oleh ICAC Hong Kong berdasarkan satu surat yang dihantar secara peribadi kepada Musa.
Berdasarkan laporan tersebut, Rafizi menegaskan beberapa fakta termasuk surat yang diutuskan oleh ICAC itu sekali-kali tidak menyatakan bahawa Musa dibersihkan dari tuduhan rasuah, atau membayangkan bahawa ICAC yakin Musa bersih dari rasuah seperti yang cuba diuar-uarkan oleh Umno BN.
Beliau berkata, surat itu hanya memaklumkan bahawa berdasarkan maklumat-maklumat yang ICAC perolehi setakat itu, ICAC mengambil keputusan untuk tidak meneruskan siasatan terhadap Musa.
“Jika Datuk Seri Musa Aman tidak bersetuju dengan fakta-fakta ini, wajarlah beliau mendedahkan kandungan keseluruhan surat tersebut, bukannya menggunakan Datuk Abdul Rahman Dahlan untuk menyampaikan secara lisan sahaja kepada wartawan,” tegasnya.
Menurut Rafizi lagi, keputusan ICAC untuk tidak meneruskan siasatan berdasarkan maklumat-maklumat yang mereka perolehi setakat itu menimbulkan lebih banyak persoalan.
Katanya, ia juga menguatkan pandangan beberapa pihak bahawa ICAC tidak mendapat kerjasama penuh dari pihak berkuasa Malaysia untuk meneruskan siasatan kerana mereka tidak mempunyai kuasa menyiasat dan mengumpulkan bukti.
Oleh yang demikian, kata Rafizi, mereka bergantung sepenuhnya kepada Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mendapatkan bukti.
“Kenyataan Ketua Pendakwaraya Hong Kong, Kevin Zevros baru-baru ini bahawa pihak berkuasa Hong Kong mengambil keputusan untuk menghentikan siasatan berdasarkan maklumat pihak berkuasa Malaysia mengesahkan bahawa ‘tangan’ ICAC terikat dari meneruskan siasatan,” katanya.
Rafizi menegaskan pendiriannya, bahawa surat yang disebut oleh Abdul Rahman itu tidak membersihkan nama Musa, sebaliknya menguatkan pandangan bahawa ICAC terpaksa menghentikan siasatan kerana tidak mendapat kerjasama pihak berkuasa Malaysia.
“Sebab itu, saya tidak sedikit pun merasa tergugat dengan ancaman tindakan undang-undang seperti yang disebut oleh Datuk Abdul Rahman. Saya yakin saya hanya menjalankan tanggungjawab sebagai seorang rakyat dan bersedia untuk mempertahankan kes yang saya bawa di mahkamah pada bila-bila masa,” katanya.
“Persoalannya, apakah Datuk Seri Musa Aman bersedia untuk bertemu di mahkamah dan mendedahkan butiran penderma-penderma beliau di mahkamah seperti mana bersedianya saya?” soal Rafizi.
Jelas Rafizi, beliau bersama pasukan KEADILAN iaitu Ahli Parlimen (MP) Selayang, William Leong, Hee Loy Sian (MP Petaling Jaya Selatan) dan Chang Lih Kang (Adun Teja) sedang giat mengumpul bukti termasuk penyata-penyata kewangan dan urusniaga di Hong Kong untuk dilaporkan kepada ICAC agar siasatan baru dibuka, seperti persetujuan dengan ICAC baru-baru ini.
“Rombongan kami akan menemui ICAC pada 11 Disember ini dalam kunjungan yang kedua,” jelas Rafizi.

No comments: