Umno Tuduh DAP Kerana Nak Tutup Skandal Fidlot



SHAH ALAM 4 DIS : Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menyatakan adalah mustahil bagi wakil parti itu dilantik sebagai Perdana Menteri sekiranya Pakatan Rakyat menguasai Putrajaya selepas Pilihanraya ke 13.

Ini disebabkan parti itu bertanding kerusi Parlimen dengan jumlah yang paling kecil antara rakan-rakannya gagasannya, Parti Keadilan Rakyat dan PAS.

Lim berkata demikian apabila menjawab tuduhan Umno yang DAP mengkudakan PKR dan PAS bagi mencapai hasratnya untuk pemimpinnya menjadi Perdana Menteri.

Tuduhan tersebut dibuat di perhimpunan agung Umno yang berlangsung minggu lepas.

Lim menyifatkan tuduhan itu sebagai usaha terdesak Umno untuk mendapatkan sokongan rakyat.

Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, pendekatan Umno memainkan isu perkauman itu adalah bagi menimbulkan rasa kurang senang dan kebencian rakyat terutamanya orang Melayu kepada DAP dan Pakatan.

Beliau berkata, dengan memainkan isu seperti itu Umno sebagai parti utama Barisan Nasional (BN) berharap kerjasama erat di antara DAP, PKR dan PAS dapat dihancurkan.

"Umno mainkan isu perkauman dengan sengaja mengkritik DAP, menyatakan DAP akan mahu menjadi Perdana Menteri kalau Pakatan Rakyat menang (PRU ke 13).

"Sungguhpun DAP telah mengatakan bahawa ini tidak benar sama sekali. Tapi saya rasa mengapa nak tujukan kepada DAP bila di antara ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat, DAP bertanding kerusi Parlimen paling kecil," katanya di sini hari ini.

Dalam PRU ke 12 pada 2008, DAP bertanding 47 kerusi Parlimen berbanding PKR (97) dan PAS (66).

Lim berkata, sebelum ini DAP telah menyatakan orang Melayu tetap akan dilantik menjadi Perdana Menteri jika PR membentuk kerajaan persekutuan.

Maka dengan itu, katanya, tuduhan Umno juga adalah cubaan mengalihkan isu rasuah dan salah guna kuasa melibatkan pemimpin Umno seperti di dalam kes Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC).

"Mereka cuba tutup isu rasuah sungguhpun pemimpin-pemimpin Barisan Nasional seperti (Tan Sri) Muhyiddin (Yassin) nak tutup skandal lembu dan kondo yang melibatkan keluarga seorang menteri.

Saya rasa semua rakyat Malaysia tidak bersetuju dan tidak berpuashati dengan skandal ini. Sungguhpun RM250 juta pinjaman telah diberikan, kita tak yakin ia akan dipulangkan. Pergi bela lembu akhirnya beli kondo. Satu dunia tiada tempat macam Malaysia nak bela lembu kena pergi kondominium," katanya lagi.

Menurutnya, pendedahan isu NFC meletakkan Umno dalam keadaan makin sukar terutama dalam menghadapi PRU ke 13 ini.

No comments: