
Netizen meminta agar semua pihak membantu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesan empat anak Daim yang notis terhadap mereka dikeluarkan pada 27 Februari 2026 berhubung perkara itu.
KUALA LUMPUR, 28 Feb – Orang ramai menyokong tindakan pihak berkuasa mengesan tiga daripada empat anak bekas menteri kabinet, Daim Zainuddin yang dipercayai melarikan diri ke luar negara.
Menurut respon yang disiarkan di media sosial, mereka turut meminta agar semua pihak membantu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang telah mengeluarkan notis pada Jumaat berhubung perkara itu.
“Semalam loyar tudoh Kerajaan bohong. Rupa2nya sudah siang2 lari luar negara apabila komplot gagal dan maklumat bocor. Buru mereka sehingga dapat!,” kata Ratz Ratz.

Sopiee Salleh pula menulis, “mungkin ketiga2 anak arwah daim telah ke luar negara berjumpa pihak editor blomberg utk burukkan krjaan malaysia madani di pentas dunia yg 1 lgi berada di samping ibunya menutup perbuatan jahatnya di mata rakyat malaysia,” katanya.
Netizen hangat mengulas perkembangan tiga daripada empat anak bekas menteri kewangan Allahyarham Daim Zainuddin yang dipercayai kini berada di luar negara, susulan laporan terkini daripada pihak berkuasa.
Terdahulu dalam penjelasannya, SPRM mengeluarkan Notis Kesan Individu terhadap empat anak Daim semalam, berikutan kegagalan individu terbabit memberi maklum balas dan ketidakpatuhan terhadap dua notis rasmi yang telah diserahkan sebelum ini.

SPRM dalam kenyataannya memaklumkan pada 13 Februari lepas, Notis Menghadiri Pemeriksaan di bawah Seksyen 30(1)(a) Akta SPRM 2009 telah diserahkan melalui firma guaman Tetuan Zharif Nizamuddin dan SPRM menerima permohonan lanjutan masa daripada pihak peguam pada 16 Februari.
“Sehubungan itu, SPRM telah memberi kata putus untuk penama-penama hadir ke pejabat SPRM pada 11 Mac ini tetapi sehingga 26 Feb lepas tiada maklum balas diterima dan usaha menghubungi penama juga tidak berjaya, peguam turut memaklumkan anak guam mereka berada di luar negara dan menghadapi masalah untuk berhubung dengan mereka.
“Enam kertas siasatan turut dibuka terhadap Toh Puan Na’imah Abdul Khalid, Josephine Premla Sivaretnam dan empat anak Allahyarham Tun Daim iaitu Asnida, Md Wira Dani, Muhammed Amir Zainuddin dan Muhammed Amin Zainuddin. Kesemua mereka disiasat kerana gagal mengisytiharkan aset secara menyeluruh,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, rekod Jabatan Imigresen (JIM) menurut Ketua Pengarahnya Datuk Zakaria Shaaban berkata tiga individu terbabit dikesan meninggalkan Malaysia pada akhir Januari dan awal bulan ini.
Bagaimanapun, dia enggan mendedahkan butiran lanjut berhubung perkara itu dengan alasan siasatan berterusan oleh agensi antirasuah berkaitan tiga beradik tersebut.
“Ya, saya sahkan mereka sudah pun keluar dari Malaysia kecuali seorang yang buat masa ini tiada rekod pergerakan keluar dari negara.
“Lokasi keberadaan mereka tidak dapat didedahkan memandangkan siasatan dijalankan oleh SPRM,“ kata Zakaria seperti dipetik media tempatan hari ini.











