PM Najib dalam kesunyian
Jika benar kumpulan Muhyiddin
yang disokong oleh pihak yang berpengaruh dalam UMNO untuk mengenepikan Najib
sebelum pilihanraya ia sudah terlambat dan tidak mempunyai masa lagi. Najib
pula sepatutnya menumpukan masa dan perhatian beliau terhadap lawan beliau di
dalam partinya sendiri. Saya selalu berkata musuh Najib sebenarnya bukannya
parti pembangkang tetapi musuh beliau yang lebih besar ialah dari dalam UMNO
itu sendiri.
Bagi Najib menyalahkan
pembangkang yang menjadikan isu lawatannya ke Gaza sebagai lawatan yang membuang masa dan
‘counter productive’ jika dipandang dari sudut hendak menaikkan imej BN dalam
pilihanraya nanti itu adalah tidak tepat. Ianya di perbesarkan oleh mereka
dalam UMNO sendiri. Anwar Ibrahim bukan orangnya yang membesarkan isu itu.
Yang menjadikan isu tentang
lawatan itu adalah Presiden Palestin sendiri yang menegur Najib yang tidak
betul cara melakukan lawatan ke Gaza
itu kerana ia dilihat seperti masuk campur di dalam hal ehwal Palestin itu.
Mahmud Abbas telah menempelak Najib kerana Najib menampakkan dirinya sebagai
memihak kepada satu dari dua pihak Palestin yang berbeza itu.
Mahmud Abbas adalah Presiden yang
diletakkan oleh masyarakat antarabangsa sedangkan Hamas merupakan pihak yang
memenangi pilihanraya tetapi tidak di iktiraf oleh banyak pihak di dunia ini
dan menguasai Gaza
dengan Ismail Hanieh sebagai Perdana Menteri nya. Anwar hanya memberikan
pandangan yang Najib tidak membuat ‘homework’ sebelum melakukan lawatan itu.
Oleh yang demikian lawatan yang sepatutnya memberikan lonjakkan untuk Najib
nyata telah menjadi isu besar yag negatif bagi kerajaan dan dirinya sendiri.
Najib terpaksa membela dirinya
sendiri dan tidak ada dikalangan mereka dalam kabinet serta partinya yang
mempertahankan beliau. Malahan ramai di antara pemimpin UMNO dan kerajaan
sendiri memberikan komen yang tidak baik untuk Najib dibelakang dan tidak
langsung memberikan kenyataan untuk membela Perdana Menteri yang kian hari kian
lemah itu. Selalunya UMNO akan mempertahankan pemimpin utamanya dengan kuat
walau sebesar mana pun kesalahan pemimpin mereka. Mahathir dahulu telah
melakukan banyak kesilapan besar tetapi setiap peringkat UMNO memberikan
kenyataan tegas berdiri di belakang beliau dalam apa pun keadaannya.
Puluhan kali saya sebut dalam
blog ini bahawa UMNO akan menghadapi perpecahan yang amat serius dan parti itu
akan tersungkur dengan sendirinya. Jika parti yang tidak bersatu menghadapi
musuh yang sedang kuat ia tidak akan mendapat kejayaan. Itulah sebabnya saya
selalu memberikan pandangan banyak tahun dahulu yang UMNO akhirnya akan menjatuhkan
diri mereka sendiri tanpa payah ditolak oleh pihak pembangkang. UMNO itu
sekarang nampak gah dan besar serta garang, tetapi pada hakikatnya UMNO itu
hanyalah sebagai satu ‘paper tiger’ sahaja yang tidak akan membawa apa-apa
‘consequence’ yang positif untuknya.
Tindakan ramai rakyat memilih
untuk memberikan dukungan terhadap parti-parti ‘alternative’ adalah satu
tindakan yang ‘natural’ dan kemahuan rakyat untuk berubah itu pun memangnya
sudah sampai masa dan waktunya untuk dilakukan. Kita mesti ingat UMNO tidak
boleh mengharapkan tuah datang selalu. Kadangkala ia terpaksa menghadapi
kenyataan yang masa untuk ia di ketepikan itu sememangnya sudah sepatutnya
sampai, malahan ia sepatutnya berlaku sepuluh tahun dahulu lagi.
Cerita kemahuan sebahagian dari
pemimpin UMNO untuk Muhyiddin mengambilalih kepimpinan UMNO sebelum pilihanraya
itu sudah nyata benar. Tetapi jika pun Muhyiddin berjaya dengan sokongan
Mahathir dan yang lain-lain untuk mengambilalih kepimpinan dari Najib,
persoalannya adakah ia memberikan apa-apa perbezaan kepada UMNO.
Bagi pendapat ramai UMNO akan
lebih buruk lagi keadaannya kerana bukan semua yang mahukan Najib berhenti,
apatah lagi Najib baru sahaja mengambilalih kepimpinan dari Abdullah Badawi
yang di benci Mahathir itu. Jika pun Muhyiddin mengambil alih apa baiknya
kerana beliau itu adalah dari acuan yang sama sahaja dan beliau tidak sunyi
dari kesalahan yang besar yang belum di sebut oeh rakyat lagi. Pendeknya yang
diturunkan dan yang dinaikan sama sahaja.
Bagi rakyat untuk memihak kepada
satu dari dua pihak dalam UMNO ini, merupakan risiko yang bukan kecil. Risiko
nya ialah ketidakstabilan kerajaan itu. Yang menang tidak mendapat semua dan
yang kalah tidak akan hilang kesemuanya. Oleh itu adalah tidak bijak bagi
rakyat untuk memberikan sokongan kepada UMNO kerana kedua-dua pihak itu akan
membawa musibah kepada negara dan kerajaan.
Adalah molek bagi rakyat meninggalkan
sahaja UMNO itu dengan masalah yang mereka wujudkan sendiri dan kita berikan tumpuan
kepada pihak alternatif yang lebih serius untuk mencari dan melakukan perbezaan
terhadap rakyat dan negara.
Rakyat mahukan ‘ambience’ politik
yang berbeza kerana rakyat rindukan suasana dalam mana mereka tidak payah berdiskusi
tentang politik di mana-mana lagi. Rakyat mahukan ketenteraman suasana untuk
terus hidup tanpa gangguan fikiran dan permasalahan yang berlaku terlalu banyak
di hadapan mata mereka sendiri.
Dalam keadaan sekarang semakin
hari semakin menyakinkan yang UMNO sudah mula tidak relevan untuk menjadi parti
pemerintah yang baik lagi. UMNO seolah-olah sudah begitu usang untuk
mendapatkan keyakinan rakyat ramai.