Timbalan Presiden PKR : Azmin, Khalid ditolak akar umbi? SIRI 3

Timbalan Presiden PKR : Azmin, Khalid ditolak akar umbi?


Tidak banyak yang dapat dirumuskan dalam beberapa minggu awal selepas pencalonan jawatan tertinggi PKR dibuat pada 29 Mac lalu.

Selain menerima pencalonan terbanyak bagi kerusi Timbalan Presiden, pencalonan kali ini juga menyaksikan beberapa puak dalam PKR cuba menentukan hala tuju parti itu selepas Mahkamah Persekutuan bersidang memutuskan nasib Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim, seawal bulan Jun depan.

Kali terakhir kerusi timbalan presiden dipertandingkan dengan calon melebihi dua orang adalah pada 2010 lalu, apabila Naib Presiden ketika itu Mustafa Kamil Ayub dan bintang baharu PKR Zaid Ibrahim mencabar Azmin Ali.

Pemilihan dimenangi Azmin selepas dua bulan kempen yang memenatkan. Namun kali ini kerusi timbalan dicabar oleh lima pemimpin. Sesuatu yang asing dalam parti politik tanah air. Umno tidak membenarkan kerusi Presiden dan Timbalannya dipertandingkan. MCA yang agak bebas hanya membenarkan satu lawan satu. PAS paling hebat pun tiga penjuru. Belum ada parti membenarkan pertandingan enam penjuru bagi jawatan sepenting itu.

Strategi belakang tabir

Tentu sekali pemilihan kali ini mempunyai strategi belakang tabir yang kompleks. Secara umumnya mungkin kelihatan demokrasi berkembang biak dalam PKR namun secara halusnya terdapat perancangan tertentu untuk meletakkan pemimpin yang disukai menerajui parti.

Terdapat dakwaan beberapa pemerhati politik pemilihan kali ini dirancang agar Azmin Ali tidak berkuasa sekiranya Anwar didapati bersalah dan dimasukkan semula ke dalam penjara. Dakwa sumber tertentu Azmin dilihat tidak memainkan peranan k politk sebagaimana Anwar yang disenangi oleh sekalian ahli parti.

Corak politik Azmin lebih kepada puak yang rapat dengannya dan kurang mesra dengan ahli-ahli biasa. Azmin juga didakwa mengamalkan kepimpinan yang kurang toleran terhadap pelbagai rencam kerenah ahli dan tidak senang dikritik. PKR akan menjadi parti yang elit sekiranya Azmin memegang jawatan Presiden.

Barangkali itu juga sebabnya Anwar dan Azizah bertanding jawatan presiden. Azmin tidak akan mencabar Anwar tetapi akan mencabar Wan Azizah. Anwar menghantar borang pencalonan terlebih dahulu agar Azmin berundur. Kemudian Azizah menghantar pencalonan.

Akta pertubuhan

Pada ketika yang sesuai Anwar yang sukar melepaskan diri daripada Akta Pertubuhan yang melarang seseorang disabitkan hukuman penjara lebih setahun memimpin sesebuah parti akan menarik diri dan mengekalkan Wan Azizah sebagai presiden.

Banyak penganalisis politik meramalkan taktik menarik diri juga akan berlaku dalam persaingan kerusi Timbalan. Sekurang-kurangnya dua calon yang tidak dikenali diramal menarik diri ketika kempen bermula. Selepas itu, proses penarikan diri akan melibatkan YB Batu Tian Chua, satu-satunya pencabar Azmin dari era Reformasi.

Kemasukan mengejut setiausaha agung PKR Saifudin Nasution memang merancakkan persaingan tetapi sebenarnya beliau adalah pemain utama dalam pemilihan kali ini. Pada hari pengundian persaingan hanya akan berlegar di sekitar Azmin, Saifudin dan Khalid Ibrahim.

Saifudin didakwa adalah orang pilihan Anwar sekiranya tokoh itu kembali mendekam di penjara. Bagaimanapun, langkah Saifudin agak sukar apabila Khalid turut bertanding. Sekurang-kurangnya undi PKR selangor tidak akan memihak kepadanya. Selangor mencatat 20 peratus keahlian PKR dan tertinggi di seluruh negara.

Khalid Ibrahim dijangka akan mendapat undi terbanyak dari Selangor sekiranya beliau mampu menyenangkan hati ahli parti dan tidak kedekut meluluskan dana kerajaan negeri dalam tempoh dua bulan ini.

Azmin pula  mempunyai simpanan tetap, PKR Sabah banyak memberi sokongan kepadanya pada 2010. Namun agak rumit apabila bekas sekutu Anwar dalam BN Datuk Lajim Ukin menjadi MPP Sabah. Kemungkinan undi Sabah akan berpecah kepada Saifudin atas arahan Anwar.

Pengaruh saifudin

Kekuatan Saifudin di sebelah utara Semenanjung; Kedah, Perlis dan Perak. Ketika ini persaingan dilihat seimbang antara Saifudin dan Azmin. Bagaimanapun Azmin yang telah lama memimpin PKR dan mempunyai banyak sokongan akar umbi dilihat mempunyai kelebihan mempertahankan jawatan biar pun dengan majoriti yang kecil.

Namun semua itu akan berubah jika Anwar memberi isyarat untuk memilih Saifudin menggantikan Azmin. Perancangan untuk meletakkan Saifudin bukanlah diatur secara spontan tetapi setelah melihat tahap sokongan di negeri-negeri.

Tokoh yang dijangka kalah teruk adalah Khalid Ibrahim yang tidak mempunyai sokongan menyeluruh kecuali di Selangor. Sekiranya Khalid kalah teruk dalam pemilihan kali ini maka jalan terbuka lebih luas untuk menyingkirkannya dari kerusi MB Selangor.

Seseorang yang tidak popular dalam parti pasti akan digantikan. Azmin pula tidak berupaya mendesak jawatan MB diberikan kepadanya sebagaimana sebelum ini sekiranya tewas dalam pemilihan. Maka Wan Azizah akan mudah mengisi kekosongan.

Bagaimanapun keadaan akan lebih rumit jika Azmin berjaya mempertahankan jawatan dan inginkan kerusi MB. Kini, terdapat pemikiran jalan tengah yang menolak Azmin dan Khalid dalam PKR dan menaikkan muka baharu, Saifudin. Hanya dengan Saifudin krisis yang berlarukan sejak 2010 akan selesai. Pemikiran  Jalan Tengah ini semakin menguasai ahli PKR terutama di Semenanjung.