Orang-orang
lama juga ada berpesan, dunia politik ini untuk mereka yang tebal kulit
mukanya. Ia hanya sesuai untuk mereka yang boleh berpura-pura, sanggup
buang kawan dan sentiasa terbuka untuk berbaik dengan musuh.
Yang
banyak pengalaman pula ada berkata, kalau dalam matematik, dua darab
dua bersamaan empat, tetapi dalam politik jawapannya boleh jadi lain
daripada angka itu.
Begitulah
selalunya perjalanan politik. Paling kerap berlaku ialah kawan bertukar
jadi lawan dan lawan bertukar jadi kawan. Dua orang yang bergaduh boleh
berbaik bila musuh yang dihadapi adalah orang yang sama.
Dalam
perseteruan antara Najib Razak dengan Anwar Ibrahim sejak
bertahun-tahun sebelum ini serta berdasarkan rentetan peristiwa antara
keduanya, barangkali di luar pemikiran semua orang tentang kemungkinan
kedua-duanya boleh bersatu dan bekerjasama.
Apatah
lagi penyokong Anwar dan Najib juga sama-sama agresif menyerang,
mencerca dan memaki-hamun kedua-dua pemimpin itu. Jika penyokong Najib
membuat serangan dengan antaranya berkaitan dakwaan liwat dan
mengedarkan video seks, penyokong Anwar pula membalasnya dengan menuduh
Najib sebagai "pembunuh" dalam kes Altantuya, dikawal Rosmah dan banyak
lagi.
Tetapi
perkembangan mutakhir ini semakin memperlihatkan Najib dan Anwar bakal
bersatu dan saling "cium mulut" antara satu sama lain. Puncanya tidak
lain kerana kedua-duanya sudah mempunyai musuh yang sama - Mahathir dan
Daim.
Media
arus perdana yang dulunya melanyak Anwar dan parti pembangkang
habis-habisan, terutama dalam isu liwat dan video seks, kini tiba-tiba
memberi ruang seluas-luasnya kepada PKR dan Ketua Pembangkang itu
mengenai isu rasuah melibatkan Daim Zainuddin. Tindakan media arus
perdana ini secara logiknya tentulah mendapat lampu hijau daripada Najib
terlebih dahulu.
Dengan
Anwar pantas menyambut sedia menyerahkan bukti yang dimilikinya
mengenai kekayaan Daim dan sekali lagi publisiti meluas diberikan oleh
media arus perdana, ia umpama salam dan "kenyit mata" Najib sudah pun
disahut dengan mesra dan penuh makna oleh Ketua Pembangkang itu.
Beberapa
pemimpin UMNO juga turut mengkritik Mahathir melalui akhbar arus
perdana sedangkan selama ini mereka hanya diam mengenai kritikan bekas
Perdana Menteri itu terhadap Najib.
Blog
dan pengamal media sosial pro Najib kini lebih terbuka dan berani
menyerang Mahathir serta Daim, termasuk mengungkit isu-isu lama semasa
keduanya menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dahulu.
Dalam
masa yang sama, serangan media pro Najib kepada Anwar agak reda dan
berkurangan sejak kebelakangan ini. Mahathir dan Daim lebih dimusuhi
berbanding Anwar.
Sementara
Mahathir dan Daim saling bergilir menyerang Najib dengan pelbagai isu
kelemahan dalam kerajaan, Anwar pula hanya berdiam saja. Meskipun ada
juga pemimpin pembangkang lain turut bercakap soal 1MDB misalnya, tetapi
Anwar nampaknya lebih berminat tumpang sekaki dalam isu melibatkan Daim
daripada turut menyerang Najib.
Dalam
percaturan kuasa dan kepentingan peribadi, walaupun bergasak bagai nak
runtuh dunia, realitinya tidak mustahil Najib dan Anwar boleh berbaik
dan menukar hubungan lawan menjadi kawan. Selain musuh yang sama, mereka
juga ada kepentingan masing-masing yang boleh dijadikan tawar-menawar.
Musa
Hitam dan Tengku Razaleigh pernah bersama untuk menentang Mahathir
setelah bermusuh sekian lama dalam UMNO. Mahathir dan Ku Li yang
bermusuh boleh berbaik dan Musa Hitam yang dipecat juga boleh kembali
menyokong Mahathir. Anwar yang selama bertahun-tahun memusuhi Pas dan
DAP, segera menggamit mereka sebagai rakannya sebaik dipecat daripada
UMNO dan kerajaan.
Semuanya dengan mudah boleh berubah apabila kepentingan atau musuh menjadi sama.
Dalam
realiti sekarang, Najib hanya ingin terus berkuasa di Seri Perdana
tetapi berdasarkan keputusan PRU 13 lalu, halangannya kini lebih sukar
kerana tiada lagi sokongan daripada Mahathir dan Daim.
Anwar
pula hidup mati politiknya bergantung kepada keputusan Mahkamah
Persekutuan berhubung kes liwatnya yang dijangka diketahui tidak lama
lagi. Sementara Najib masih menghitung-hitung untung rugi antara
membebas atau memenjara, Anwar tentulah lebih suka dibebaskan berbanding
memimpin perjuangan daripada dalam penjara.
Di
ketika yang sama, Anwar juga diketahui masih ghairah untuk kembali
menggenggam kuasa. Jika Najib sedia berkongsi kuasa dan memastikannya
tidak ke penjara, tambahan pula Mahathir dan Daim sudah jadi musuh
bersama, membalasnya dengan sokongan bukanlah masalah besar bagi Anwar.
Dengan
serangan Mahathir dan Daim yang kian berterusan ini, Najib juga mungkin
terfikir beliau akan kehilangan sama-sekali talian hayatnya jika Anwar
berada di dalam penjara. Najib juga tahu hanya Anwar yang sesuai untuk
membantunya menghadapi serangan Mahathir dan Daim ini.
Jika
kerjasama atau "cium mulut" itu dapat diwujudkan, mungkin dengan cara
Anwar bersama penyokongnya menyertai UMNO atau bekerjasama antara parti
dengan PKR, Najib tentunya berasakan peluangnya mengekalkan kuasa
menjadi lebih cerah lagi. Ini kerana selain undi Melayu kekal dalam
genggaman melalui UMNO, perolehan undi bukan Melayu, undi bandar, separa
bandar dan golongan muda kepada kerajaan boleh diperbaiki lagi dengan
bantuan Anwar dan PKR.
Selain
dibebaskan daripada hukuman penjara, Anwar dan pasukannya juga akan
diberikan beberapa jawatan penting dalam kerajaan. Anwar mungkin
diberikan jawatan Timbalan Perdana Menteri semula manakala yang lain
akan dijadikan menteri atau timbalan menteri dalam kerajaan baru itu
nanti.
Meski
tidak kesampaian untuk menjadi Perdana Menteri, tetapi kembali sebagai
Timbalan Perdana Menteri dan kemudian berjaya meletakkan orang-orang
kanannya dalam kerajaan, termasuk Nurul Izzah, Rafizi, Shamsul Iskandar
dan lain-lain, ia tetap merupakan kejayaan besar bagi Anwar.
Lagi
pula dengan PR yang kian berpecah, terutama hubungan Pas dengan DAP
yang sentiasa berbalah, ditambah dengan golongan ulama dalam Pas juga
sukar diramal kehendaknya, harapan Anwar untuk berkuasa melalui gabungan
itu turut kian kabur kebelakangan ini.
Berbaik
dan bergabung bukan saja pilihan terbaik untuk Anwar, tetapi juga
sesuatu yang sukar ditolak oleh Najib demi masa depan politiknya.
Kawan
jadi lawan, lawan jadi kawan dan dua darab dua tidak semestinya empat
adalah antara hukum politik yang dihalalkan demi kepentingan
masing-masing. Hukum yang sama juga, jika menjadi kenyataan, akan
menyaksikan penyokong Najib mencium tangan Anwar dan penyokong Anwar
mencium tangan Najib. (SH 20/01/2015)