Friday, March 20, 2015

UCAPAN PERBAHASAN ENAKMEN JENAYAH SYARIAH 2015 DI SIDANG DUN KELANTAN


Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Sidang editorial dan rakan media sekalian.

Bersama-sama ini disertakan kenyataan rasmi saya untuk sebaran media.

Terima kasih.

--------------------------------------------------------


UCAPAN PERBAHASAN ENAKMEN JENAYAH SYARIAH 2015 DI SIDANG DUN KELANTAN


أَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُونَ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللّهِ حُكْمًا لِّقَوْمٍ يُوقِنُونَ (5:50)
5:50 Apakah hukum Jahiliah yang menjadi pilihan mereka, dan hukum siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang benar-benar yakin?

Mengikut skrin sidang DUN saya dijadual berucap petang semalam, tetapi dalam perjalanan sidang ditangguhkan awal. Namun begitu saya ucap terima kasih atas kesempatan berucapa pagi ini.

Dalam Persidangan DUN pada Oktober 2013, saya telah bangkitkan pentingnya langkahan diambil untuk mempastikan Enakmen Jenayah Syariah II melihat sinar pelaksanaan dan tidak hanya menjadi momokan menjelang pilihanraya.

Sidang kali ini, kita akan meluluskan sekali lagi penjelmaan semula Enakmen yang telah diluluskan pada tarikh bersejarah 1993, dengan beberapa pindaan, kerana sebab-sebab teknikal yang tertentu.
Enakmen 2015 disekalikan dengan beberapa pindaan dari Enakmen asal 1993.

Pindaan untuk penambahbaikan ini sekali gus membuktikan dari segi pengkanunan, ia terbuka bagi pembaikan dari masa ke semasa.
Dari segi kedaulatan dan hakimiyyah Allah mengenai hukum bagi kesalahan kesalahan yang telah ditentukan, tidak ragu lagi semua orang beriman wajib menjunjung dan berhukum dengannya.

Bagi setiap Muslim yang benar-benar ingin mengikuti tuntutan agama Islam, mereka mempunyai hak untuk dihukum dan berhukum mengikut hukum agama mereka.

Pada hemat saya,ia selari dengan amalan demokrasi negara kita dan demokratik dari segi kebebasan beragama yang dijamin oleh Perlembagaan.

Tuan Speaker,
Berdasarkan kenyataan-kenyataan akhbar pemimpin-pemimpin Kerajaan Negeri dalam isu ini, harapan untuk melihat fasa pelaksanaan Enakmen ini sudah semakin hampir;

PERTAMA: 
Jawatankuasa Teknikal Bersama antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat telah ditubuhkan. Saya difahamkan, pada 15 Disember 2014 Majlis Mesyuarat Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia yang dipengerusikan sendiri oleh YAB Perdana Menteri, telah bersetuju untuk meminda akta 355 menjadikan hukuman rotan dinaikkan ke 100 rotan, ini adalah selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatkan Kuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil Persekutuan yang telah diadakan pada 2 hingga 4 November 2014 dalam mesyuarat sama menteri diputuskan untuk membawa pindaan akta 355 di Parlimen.

KEDUA:
Kerajaan Negeri yakin ia akan mula dilaksanakan pada tahun 2015 ini
Persiapan untuk pelaksanaan termasuk senarai hakim telah pun disiapkan
Bahagian Empat Enakmen ini memperuntukkan penubuhan Mahkamah Bicara Syariah Khas dan Mahkamah Rayuan Syariah Khas.

Saya yakin Kerajaan Negeri telah pun mendapatkan waran perjawatan dari JPA, waran dari Perbendaharaan dan budget perjawatan bagi kesemua Hakim-Hakim yang akan dilantik dan semua jawatan pegawai pelaksana yang lain di semua peringkat.

Saya juga yakin bahawa Kerajaan Negeri telah pun mempersiapkan semua Enakmen sokongan seperti Enakmen Acara Jenayah Syariah dll.
Begitu juga kaedah-kaedah. Misalnya bagi jadual II, III dan IV berkait diyah, saya yakin kaedah-kaedahnya telah pun disiapkan.
Hukuman-hukuman telah dinyatakan. Dari segi kaedah, misalnya bagi yang telah diputuskan membayar diyah tetapi akhirnya tidak membayar diyah berkenaan, adakah hartanya boleh disitakan?
Ianya saya yakin, telah pun disiapkan sepenuhnya.

Tuan Speaker,
Bagi majoriti rakyat Kelantan yang telah mengundi parti pemerintah hari ini, mereka tidak lagi mahu melihat larian setempat dalam pelaksanaan Enakmen ini.
Kerajaan Negeri telah, melalui kenyataan akhbar, memberikan sedikit gambaran laluan politik, perundangan dan proses lain menuju pelaksanaan Enakmen ini.
Ada masanya, proses ke hadapan selepas Enakmen ini diluluskan disebut melalui Bill Persendirian Ahli Parlimen untuk meminda Perkara 76 (A1).

Pada ketika yang lain, langkah seterusnya dikatakan untuk membawa pindaan Akta Jenayah Syariah 355 di Parlimen sama ada melalui;
satu, Menteri akan mencadangkan pindaan Akta Jenayah Syariah 355 dengan menaikkan hukuman rotan mengikut hukum syara’ kepada seratus rotan bagi membolehkan sekurang-kurangnya empat kesalahan syariah di bawah Enakmen ini dilaksanakan.

Ia membuka jalan sebagai permulaan.
Ia menepati kaedah fiqah, apa yang mampu dilaksanakan, dilaksanakan dan yang lain belum boleh dilaksanakan, di kemudiankan tanpa meninggalkan kesemuanya atas alasan menunggu dilaksanakan kesemua sekali sekali gus. 

Dua,: wakil Kerajaan Negeri yang menjadi Ahli Dewan Rakyat membawa Bil Persendirian mencadangkan pindaan Akta 355 dengan tujuan yang sama seperti di atas, tetapi bukan dibawa oleh Menteri.

Tuan Speaker,
Saya difahamkan, tujuan asal Jawatankuasa Teknikal Bersama ditubuhkan ialah untuk antara lain memutuskan samada laluan 76 (A1) atau Akta 355 lebih sesuai untuk dilalui.

Saya difahamkan Menteri berkenaan memberi faham kepada wakil Kerajaan Negeri bahawa Kerajaan Pusat lebih bersetuju dengan laluan pindaan Akta 355 dengan menaikkan hukuman rotan kepada seratus rotan.
Pindaan itu akan dibawa oleh Menteri.

Jika ia dibawa oleh Menteri, tentulah dengan kuasa whip yang ada, semua Ahli Parlimen dari parti Kerajaan baik MCA, MIC, Gerakan dan wakil dari Sabah dan Sarawak wajib menyokong dan ini memudahkan kelulusan walaupun pindaan seperti itu hanya memerlukan simple majority.

Ia juga tidak menakutkan sesetengah pihak di luar dari batasan sepatutnya kerana empat kesalahan yang akan terlibat adalah lebih berbentuk kesalahan syariah seratus peratus dan tidak melibatkan kuasa-kuasa dan kesalahan di bawah Kanun Kesalahan Jenayah atau Penal Code, kecuali kesalahan liwat.
Begitu juga dengan bentuk hukuman iaitu rotan yang telah pun ada dalam sistem perundangan Malaysia kecuali bilangannya sahaja yang ditambah.

Kebelakangan ini, saya mendengar, Kerajaan Pusat hanya bersetuju meningkatkan bilangan rotan hanya menjadi 39 rotan, menjadikan kesemua empat kesalahan yang dijanjikan boleh dilaksanakan menerusi Enakmen ini tetap tidak dapat dilaksanakan.

Kedua, saya difahamkan Menteri mencadangkan Ahli Parlimen PAS dan bukannya Menteri membawakan usul pindaan Akta 355 denagn alasan-alasan tertentu yang tidak berbangkit pada permulaan Jawatankuasa Teknikal Bersama hendak ditubuhkan dahulu.

Jika ini berlaku, apa jaminan ia akan mendapat sokongan Ahli Parlimen BN?

Ia juga menambahkan perlunya pelbagai pihak memberikan sokongan terhadap usul itu nanti bagi mempastikan kejayaannya dan bukan hanya satu percubaan yang sia-sia.

Di sinilah letaknya keperluan berbahasa dengan elok dan bijaksana dengan semua pihak.
Jika cubaan berasaskan Bil Persendirian untuk meminda Akta 355 akan gagal, apa tah lagi pindaan Perkara 76 (A) yang memerlukan majoriti dua pertiga?

Tuan Speaker,

Aspek kedudukan nas syarak yang wajib diimani oleh semua orang Islam sudah tentu tidak boleh dipertikaikan lagi.
Kerana itulah Parti Islam ditubuhkan dan kita semua mendokongnya. Kerana itulah Enakmen 1993 terlahir sejak sesetengah ADUN pada hari ini belum lagi menjadi ADUN atau terlibat dengan kerajaan. 
Kita berterima kasih kepada al Marhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat semasa menjadi menteri besar telah menorakai usaha ini sehingga diwujudkan enakmen yang dibentang pindaan hari ini.

Aspek pengkanunan pula, ia terbuka untuk perbincangan, penelitian dan penambahbaikan dari semasa ke semasa, seperti yang berlaku kepada Enakmen ini sendiri.

Aspek laluan menuju pelaksanaan adalah aspek ketiga yang terpaksa diambil kira dengan penuh teliti. Sudah tentu pertimbangan politik juga wujud dalam aspek ini.

Saya yakin majoriti rakyat Kelantan yang telah mengundi PAS berkali-kali, ingin melihat pelaksanaan Enakmen ini diangkat penuh bijaksana, cermat dan berjaya. Bukan semata-mata kehebohan-kehebohan dan cabar mencabar melebihi keperluan sebenar tetapi akhirnya terbantut.
Semangat permuafakatan lebih memudahkan laluan berbanding dilihat menonjolkan keangkuhan dan kesombongan.

Saya juga yakin bahawa kita semua mengangkat agenda ini untuk mendapat keredhaan Allah dan bukannya dijadikan satu bola politik semata-mata dalam apa jua cara dan bentuk.

Saya yakin, rakyat Malaysia, jika berbahasa dengan bahasa yang lunak dan tidak sengaja bertujuan menakut-nakutkan, akan mengizinkan ummat Islam khususnya rakyat Kelantan di mana majoriti mereka beragama Islam dan telah melalui proses demokrasi yang diamalkan oleh negara kita, mendapat hak demokratik beramal dengan Islam anutan mereka sepenuhnya.

Apa lagi, bagi empat kesalahan jenayah syariah permulaan seperti telah saya sebutkan, bentuk hukumannya telah sedia ada dalam sistem perundangan negara kita.

وَهُوَ اللَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ لَهُ الْحَمْدُ فِي الْأُولَى وَالْآخِرَةِ وَلَهُ الْحُكْمُ وَإِلَيْهِ تُرْجَعُونَ (28:70)
28:70 Dan Dialah Allah, tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, bagi-Nyalah segala puji di dunia dan di akhirat, dan bagi-Nyalah segala penentuan dan hanya kepada-Nyalah kamu dikembalikan.

Saya berdoa, usaha kita diberkati.

Husam Musa
ADUN Salor
19 Mac 2015
Sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan.
Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers