Yang Tersurat Dan Tersirat Di Sebalik Ucapan Ku Li Di Parlimen


Secara umumnya ucapan Tengku Razaleigh Hamzah di Parlimen  semalam diterima baik oleh banyak pihak dan menggambarkan keprihatinannya kepada masalah yang sedang dihadapi rakyat ketika ini.

Ucapannya yang antara lain mengingatkan mengenai sumpah Ahli Parlimen untuk berkhidmat kepada rakyat, gesaan mengisytiharkan harta bagi menteri, timbalan menteri dan Ahli Parlimen kepada sebuah badan bebas dan saranan menangguhkan perlaksanaan cukai GST, tidak lain merupakan reaksinya yang jujur, bukan saja berdasarkan pengalamannya tetapi juga keadaan semasa dalam negara.

Walaupun ada yang mengkritik Ku Li atas ucapannya termasuk mengatakan ia hanya retorik, sudah terlambat, melabelnya sebagai ahli politik lama yang ketinggalan zaman dan ada juga memberi gambaran seolah-olah beliau tidak memahami GST, hakikatnya beliau berani memberikan pandangan serta tegurannya.

Sama ada kerajaan mahu menerima atau mengabaikan saja semua teguran itu, yang penting Ku Li telah melaksanakan tanggungjawabnya untuk memperbaiki lagi imej kerajaan di mata rakyat.

Berkenaan pengisytiharan harta yang disarankannya kepada sebuah badan bebas yang dipilih oleh Parlimen, ia akan membantu menaikkan imej kerajaan berbanding amalan sekarang di mana para anggota pentadbiran kerajaan hanya membuat pengisytiharan kepada Perdana Menteri saja.

Tetapi dalam konteks amalan yang ada sekarang, Perdana Menteri mengisytiharkan hartanya kepada siapa?

Dengan adanya sebuah badan bebas yang diwujudkan itu, semua anggota pentadbiran kerajaan serta Ahli Parlimen, baik daripada kerajaan mahupun pembangkang diwajibkan mengisytiharkan harta masing-masing dan ini secara langsung membantu kewibawaan dan ketelusan sebagaimana yang diinginkan oleh rakyat masa kini.

Begitu juga dengan perlaksanaan GST dan ke mana wang cukai itu bakal disalurkan, apa yang disuarakan oleh Ku Li adalah kebimbangan umum yang boleh didengari serta dipekatakan di mana-mana.

Soal GST baik untuk negara dan mampu menambah sumber kewangan negara bukanlah soal utama tetapi yang menjadi kerisauan ialah sejauh mana ia bakal menambahkan lagi beban kewangan rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah.

Dalam keadaan ekonomi tidak menentu, ringgit menjunam dan kos sara hidup kian meningkat, kebimbangan Ku Li tentunya ialah perlaksanaan GST akan merobekkan lagi poket rakyat.

Ini kerana sudah kedengaran beberapa perkhidmatan dan barangan akan meningkat harganya apabila GST dilaksanakan seperti bil utiliti, tuisyen, ubat-ubatan, hiburan dan sebagainya dan semua ini mampu meningkatkan lagi suhu badan mereka yang berpendapatan rendah.

Sebagai bekas Menteri Kewangan, Pengerusi Bank Dunia, IMF, Bank Pembangunan Asia, Pengasas Petronas dan puluhan jawatan lain di peringkat antarabangsa dan dalam negara, mengatakan kritikan dan saranannya agar ditanggguhkan perlaksanaan GST seolah-olah beliau tidak faham mengenai GST barangkali amat keterlaluan dan tidak masuk akal sama-sekali.

Hanya kerana pandangannya sedikit berbeza dengan kerajaan, cemuhan tidak sewajarnya dilontarkan kerana Ku Li sekurang-kurangnya sudah memberi peringatan mengenai kesan tidak baik yang bakal dihadapi nanti.

Selebihnya terpulanglah kepada kerajaan menilainya, terutama kemungkinan kemuncak kesan GST itu kepada rakyat bertembung dengan tarikh pilihanraya umum akan datang. (SH 18/03/2015)

No comments: