BINTULU (8 Jan) – Nasib 36 jemaah umrah yang terkandas di Madinah mengejutkan ramai apabila mereka ditinggalkan tanpa penginapan dan tiket pulang, selepas agensi pelancongan yang dipercayai menguruskan mereka gagal menunaikan janji.
Dato’ Sri Tiong King Sing, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, berkata beliau telah mengarahkan pelaksanaan segera jaminan bank bagi semua agensi pelancongan yang menawarkan pakej umrah – langkah tegas untuk melindungi rakyat yang menunaikan ibadah suci ini.
“Bayangkan, ada yang warga emas, ada yang kanak-kanak. Mereka telah membayar RM7,600 seorang, tetapi ditinggalkan sendiri, terpaksa memohon sumbangan awam hanya untuk pulang ke tanah air. Ini sangat menyedihkan dan tidak boleh dibiarkan,” kata Tiong.
Beliau menegaskan, insiden ini bukan sahaja menimbulkan kerugian wang, tetapi juga luka emosi yang mendalam kepada jemaah dan keluarga mereka. Ia sekali lagi menegaskan betapa pentingnya jaminan bank sebagai syarat lesen wajib di bawah Akta Industri Pelancongan 1992.
“Tindakan ini bukan beban kepada pengendali yang jujur. Sebaliknya, ia adalah perlindungan rakyat, memastikan wang mereka selamat, dan pampasan diberikan jika berlaku penipuan atau kecuaian. Kita mahu ibadah rakyat dihormati, bukan dipersenda,” tegasnya.
Kesemua 36 jemaah kini telah selamat tiba di KLIA Terminal 2, hasil bantuan segera yang diatur melalui Kedutaan Malaysia di Riyadh. Namun, siasatan awal mendapati pejabat agensi itu sudah tidak beroperasi dan terdapat pelanggaran serius peraturan pelancongan.
Tiong menambah, kementerian sedang memuktamadkan cadangan untuk membatalkan lesen syarikat tersebut, sebagai pengajaran kepada pengendali lain yang mengambil ringan tanggungjawab mereka.
Beliau juga mengingatkan rakyat agar selalu menyemak status lesen agensi sebelum membuat bayaran, dan segera melaporkan sebarang penipuan.
“Motac tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menipu jemaah atau merosakkan nama baik negara. Tindakan tegas akan terus diambil supaya rakyat tidak lagi menjadi mangsa,” ujarnya penuh emosi.

No comments:
Post a Comment