
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatuni pelbagai pihak dalam sidang media dan di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul di hari terakhir lawatan rasmi ke Turkiye pada 8 Januari 2026. Foto PMO
ISTANBUL, 8 Jan – Sasaran perdagangan dua hala bernilai US$10 bilion (US$1 = RM4.05) antara Malaysia-Turkiye dapat dicapai berdasarkan program dan pelaburan yang sedang berjalan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata keyakinan itu disuarakan berasaskan pelaksanaan program yang berkesan serta pelaburan yang mula menunjukkan pertumbuhan positif.

Untuk itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani akan memperincikan program perdagangan dan pelaburan yang telah dan yang mula berkembang.
“Itu (akan) menunjukkan keupayaan kita mencapai jumlah perdagangan US$10 bilion berbanding jangkaan awal,” kata beliau dalam sidang media sebelum berlepas pulang ke tanah air selepas mengadakan lawatan rasmi selama tiga hari di Turkiye, di sini hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Turkiye mempunyai ekonomi yang kukuh dan berdaya tahan manakala Malaysia walaupun mempunyai saiz ekonom lebih kecil namun, berkembang pesat dan muncul sebagai destinasi menarik untuk pelaburan bernilai tinggi terutama dalam semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), pusat data, teknologi baharu serta industri nadir bumi.
“Saya berpendapat kerjasama ini akan lebih bermakna bukan sahaja dari segi tahap perdagangan tradisional malah juga dalam disiplin baharu yang akan diperkukuhkan menerusi kerjasama pendidikan dan penyelidikan antara kedua-dua negara,” ujarnya.

Jumlah perdagangan Malaysia dengan Turkiye dari Januari hingga November 2025 mencecah RM21.2 bilion (US$4.92 bilion), menjadikan republik ini sebagai rakan ekonomi penting Malaysia.
Pada 2024, Turkiye merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia, destinasi eksport terbesar dan sumber import keempat terbesar dalam kalangan negara Asia Barat, dengan jumlah perdagangan bernilai RM24.15 bilion (US$5.28 bilion).

No comments:
Post a Comment