Sejak tahun-tahun kebelakangan ini, antara kekerapan yang selalu hadir dalam hidup saya ialah mendapat berita mengenai kawan-kawan yang tiba-tiba ditimpa kesakitan dan sesetengahnya meninggal dunia.
Di waktu yang sama, sentiasa pula disampaikan perkhabaran daripada kampung halaman tentang saudara-mara atau kawan sebaya semasa kecil dan zaman remaja dahulu yang juga ditimpa perkara yang sama.
Mana-mana yang berkesempatan atau saya ada kelapangan, seboleh mungkin saya memang cuba menziarahi mereka yang ditimpa kesakitan atau kematian itu.
Kenapa ramai kawan-kawan sebaya kita yang ditimpa sakit dan meninggal dunia sekarang ini?
Mengapa sepuluh atau lima belas tahun dahulu, perkara ini tidak kerap berlaku?
Soalan yang sama baru-baru ini ditanyakan kepada saya oleh salah seorang ahli keluarga saya.
Sebenarnya apabila ramai kawan-kawan kita ditimpa kesakitan, terbaring di katil hospital atau neninggal dunia, ia adalah suatu peringatan yang baik kepada kita.
Ia secara langsung mengingatkan bahawa sebagaimana kebanyakan kawan-kawan atau saudara mara kita yang sakit dan meninggal dunia itu disebabkan kerana sudah tua, ia dengan sendirinya menandakan kita pun bukan lagi muda.
Sebab itu, ketika sepuluh atau lima belas tahun sebelum ini, jarang-jarang sekali perkhabaran tentang kawan sakit dan meninggal dunia singgah ke telinga kita.
Kita sendiri pun ketika itu turut masih segar, aktif dan tiada apa-apa penyakit.
Kita bernasib baik masih mendapat khabar mengenai kawan-kawan yang sakit dan meninggal dunia kerana Tuhan masih memanjangkan usia kita.
Jika kita terlebih dahulu yang sakit atau meninggal dunia, pastilah ketika ini kawan-kawan kita yang diberi khabar mengenai keadaan kita.
Begitu pun, suatu hari nanti yang entah bila waktujya, kawan-kawan dan saudara mara kita yang masih bernafas pasti akan diberi khabar sama ada mengenai kesakitan atau kematian kita sebagaimana kita diberikan berita mengenai mereka.
Begitulah lumrah kehidupan dan putaram alam yang sudah ditentukan Tuhan.
Masing-masing menerima ketentuan yang berbeza dalam kehidupan dan segalanya tersimpan sebagai rahsia Yang Maha Esa.
Apa pun, hanya dengan kematian kita akan dapat bertemu dengan Tuhan.- ShahbudinHusin 17/12/2023.
https://shahbudindotcom.net/2023/12/17/kenapa-ramai-kawan-kawan-kita-meninggal-dunia.html