Norman Daud.
Sejujurnya saya agak kecewa dengan keadaan hari ini.
Di sebalik kemelut besar yang sedang melanda Parti Pribumi Bersatu Malaysia dan juga tekanan dalam Perikatan Nasional, fokus sebahagian ahli Keadilan pula masih lagi untuk bergocoh sesama sendiri.
Disaat musuh kelihatan lemah, kita tidak mengambil peluang ini untuk memperkukuhkan sokongan akar umbi. Sepatutnya inilah masa untuk merapatkan saf, memperkemas jentera dan menawan keyakinan pengundi atas pagar.
Sebaliknya, kemelut Team Hiruk dan Team Damai masih belum menunjukkan tanda reda.
Masing-masing terus melancarkan serangan, seolah-olah kemenangan peribadi lebih penting daripada kestabilan parti. Sedangkan yang sebenarnya terluka ialah Presiden kita dan parti sendiri.
Apa sebenarnya keutamaan kita?
Jika parti bukan lagi keutamaan, maka berundur itu lebih terhormat. Jangan menabur garam ke luka yang sedang cuba kita sembuhkan.
Sebelah pihak lain pula tidak perlulah melayan setiap provokasi. Setiap respons yang emosional hanya membesarkan isu dan memberi kesan kepada pandangan umum terhadap parti kita.
Politik ini bukan pertandingan ego. Ia amanah.
Kita bukan parti kecil yang boleh bergaduh tanpa implikasi. Kita adalah tunjang kerajaan hari ini. Presiden kita ialah Perdana Menteri Malaysia. Serangan terhadap DS Anwar Ibrahim tidak pernah berhenti. Isu ekonomi diputar. Isu institusi diprovokasi. Isu kaum dan agama dimainkan tanpa henti. Lawan faham satu perkara..jika Presiden kukuh, kerajaan stabil.
Sebab itu mereka menyerang bertali arus.
Namun ketika mereka menyusun peluru politik, kita pula sibuk membuka ruang dari dalam. Lihat apa yang berlaku kepada Bersatu sebelum ini. Pergolakan dalaman melemahkan struktur. Keyakinan akar umbi merosot. Kita mahu ulang kesilapan yang sama?
PRU semakin hampir. Ini bukan masa mengira siapa lebih dominan dalam mesyuarat cabang atau siapa lebih kuat di media sosial. Ini masa untuk kita perkukuhkan parti.
Parti ini perlukan fokus. Perlukan kekuatan. Perlukan kesepaduan.
Apabila kita bercakaran, yang bertepuk tangan bukan ahli sendiri. Yang tersenyum ialah lawan.
Akar umbi memerhati. Pengundi atas pagar menilai. Mereka tidak peduli siapa menang dalam konflik dalaman. Mereka mahu lihat kestabilan, disiplin dan hala tuju yang jelas.
Jika benar parti ini rumah perjuangan kita, letakkan parti di atas kepentingan peribadi. Jika benar kita mempertahankan Presiden, hentikan tindakan yang hanya melemahkan kedudukannya.
Musuh tidak akan menunggu kita selesai bergaduh.
Soalnya sekarang, kita mahu jadi benteng atau beban?

No comments:
Post a Comment