22 Februari 2026
DAP dijadual akan mengadakan kongres khas pada 12 Julai depan untuk memutuskan sama ada parti itu perlu terus memegang jawatan dalam kerajaan atau meletakkan jawatan.
Penganjuran kongres khas itu susulan kenyataan Setiausana Agung DAP, Anthony Loke pada 9 Disember lalu yang memberi tempoh enam bulan kepada Perdana Menteri untuk melaksanakan reformasi yang lebih bermakna.
Tuntutan itu berikutan DAP mengalami kekalahan teruk pada PRN Sabah di mana parti itu tewas semua lapan kerusi yang ditandinginya.
Kekalahan buruk itu difahami sebagai isyarat penolakan pengundi Cina kepada DAP setelah tiga tahun parti itu berada dalam kerajaan dan DAP memikirkan mereka perlu berbuat sesuatu.
Anthony Loke ketika itu dipetik sebagai berkata, jika Anwar Ibrahim gagal melaksanakan reformasi bermakna dalam tempoh enam bulan akan datang, DAP akan menilai semula peranannya dalam kerajaan.
Berkaitan kongres khas 12 Julai depan, Menteri Pengangkutan itu berkata, jika perwakilan memutuskan untuk menarik diri daripada jawatan eksekutif, 40 Ahli Parlimen DAP tetap akan menyokong kerajaan pimpinan Anwar sehingga PRU akan datang.
“40 Ahli Parlimen DAP akan memastikan kestabilan kerajaan, tetapi peranan kami dalam kerajaan, sama ada untuk terus menjadi menteri dan timbalan menteri atau meletak jawatan daripada semua jawatan rasmi, terpulang untuk diputuskan oleh perwakilan,” katanya.
Sementara itu difahamkan juga, sebelum kongres khas itu diadakan, DAP akan menjelajah ke seluruh negara untuk bertemu ahli-ahlinya.
Persoalan paling penting ialah beranikah DAP keluar kerajaan dan melepaskan semua jawatan yang memberi nikmat lumayan kepada kehidupan?
Setelah berjuang puluhan tahun untuk menjadi kerajaan, adalah sukar membayangkan DAP sanggup semudah itu melepaskannya.
Lagi pula, dengan melepaskan jawatan menteri dan timbalan menteri, ia tidak memberi jaminan DAP mampu menang dengan cemerlang pada PRU16 akan datang.
Silap-silap daripada 40 kerusi Parlimen dimenanginya sekarang, banyak kerusi akan hilang?
Selain itu, DAP sekarang memegang lima jawatan menteri dan tujuh timbalan menteri dalam kerajaan madani dan jika semua mereka mengundur diri, kerajaan akan tempang dan lebih menyukarkan DAP berperanan dengan berkesan membantu ahli-ahlinya.
Malah, beberapa perancangan di bawah kementerian yang diterajui DAP seperti pilihan raya bagi memilih Datuk Bandar KL dan pilihanraya PBT lain di seluruh negara akan tergendala begitu saja.
Adakah DAP sanggup membiarkan ia berlaku?
Dengan itu, DAP dijangka akan berjuang habis-habisan bagi memastikan reformasi itu dapat dijayakan kerana jika ia berjaya dilaksanakan, nikmat berpanjangan lebih dinikmati parti tersebut.
Sebelum kongres khas diadakan, tidak mungkin pilihan raya Datuk Bandar KL dan pilihan raya PBT di seluruh negara dapat dilaksanakan.
Anwar sendiri pun sebagai Perdana Menteri pasti tidak membenarkan kekosongan begitu besar dalam kabinet yang akan menyukarkannya lagi menguruskan kerajaan.
Dalam hal ini, Anwar dijangka akan mengadakan perbincangan dengan Anthony Loke bagi memastikan keputusan kongres khas nanti tidak sampai kepada ketetapan melepaskan jawatan kabinet.
Sebagai timbal balik, beberapa perkara akan cuba dilaksanakan untuk menunjukkan seolah-olah reformasi digerakkan atau dijanjikan dengan bersungguh-sungguh dalam beberapa bulan akan datang.
Yang boleh dijangka akhirnya ialah DAP tidak akan semudahnya untuk melepaskan jawatan menteri dan timbalan menteri yang sedang dinilmatinya. -ShahbudinHusin 22Februari2026.
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1221159706673813&id=100063393840098
No comments:
Post a Comment