Para pemimpin peringkat bawahan Pas mula risau dengan perpecahan di dalam parti itu sekarang yang dilihat semakin ketara.
Mereka bukan sahaja membincangkannya di dalam mesyuarat tertutup bahkan menulisnya di dalam media sosial khasnya facebook menerusi akaun masing-masing.
Ini berikutan pertemuan Presiden Bersatu Tan Sri Mahiaddin Md Yassin dan rombongan dengan Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin dan pemimpin ulama Pas di Perlis.
Turut serta dalam pertemuan itu adalah tiga Adun Pas yang dipecat iaitu ADUN Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim, ADUN Bintong, Fakhrul Anwar Ismail dan ADUN Chuping Saad Seman serta Yang Dipertua Pas Kawasan dalam negeri Perlis di samping MB Perlis yang baharu dari Bersatu.
Ia berlaku ketika para pemimpin kanan Pas yang lain sangat tidak senang dengan sikap Hashim Jasin dan pimpinan ulama dalam krisis di Perlis sehingga timbul ura-ura mereka akan dipecat dari Pas.
Namun, usaha untuk memecat Hashim dan Ketua Dewan Ulama Pas Perlis, Ustaz Ahmad Adnan Fadzil tidak kesampaian.
Yang tidak disenangi oleh sesetengah pemimpin Pas adalah apabila Hashim dikatakan berkata kemelut kepimpinan kerajaan negeri Perlis telah selesai sedangkan kepimpinan kerajaan negeri itu itu jatuh ke tangan Bersatu walaupun Adun Pas lebih ramai.
“Kemelut politik di Perlis telah diselesaikan dengan baik termasuk dalam urusan pemilihan Menteri Besar yang diserahkan sepenuhnya mengikut perkenan Raja Perlis.
“Ujar beliau, Pas menyokong sesiapa sahaja yang dipilih baginda,” tulis Ketua Penerangan Bersatu Tun Faisal Ismail Aziz.
“Memang kita dah mengaku depan Tuanku Raja Perlis siapa nama-nama calon Menteri Besar dikemukakan dan dipilih Tuanku, kita akan sokong.”
“Jadi Tuanku telah pilih Abu Bakar Hamzah, maka kita pun minta bolehlah bekerjasama dengan dia,” kata Hashim sebagaimana dipetik Tun Faisal.
Ekoran itulah, ramai pemimpin dan penyokong Pas melahirkan secara terbuka kerisauan mereka.
“Nampaknya ada bibik-bibik pertembungan baharu dalam Pas. Maka kami sebagai ahli peringkat bawahan mengharapkan satu titik nokhtah perlu dicari dan disegerakan.
“Kami percaya kepada kepimpinan utama Pas Pusat mampu menanganinya dengan baik,” tulis seorang pemimpin pertengahan Pas di Terengganu, Naraza Muda menerusi facebook beliau.
Tulisan Naraza, pemimpin Pas dari Dungun ini sangat tidak disenangi kerana ia seolah-olah membuka pekung di dada atau menyimbahkan minyak di api yang sedang marak.
Ismadi Ismail II menulis, “takyah kebe sgt laaa….biar kocok kuat lagu mane pun….pegang kemah je memasing.” yang bermaksud “Jangan besarkan cerita inilah, biar kecoh macamana pun.”
Seorang lagi akan Naraza, Shaikh Salmin Mohamad Al-kathiri menulis, “Bakpe nye kebe dalam ni?🫢”
Namun ada penyokong Pas yang bosan dengan apa yang berlaku.
Hamdan Ahmad menulis, “Baik aku gi Turkiye tengok pertunjukan peluru berpandu antara Iran dan US.”Ada sesetengah penyokong Pas melihat, apa yang berlaku di Perlis adalah ekoran kegagalan Pas menguruskan permintaan dari Istana Perlis yang tidak mahu lagi MB dari Pas, Mohd Syukri Ramli kekal.
Pas diminta menamakan pemimpin lain untuk dilantik sebagai MB terutama selepas kes rasuah oleh anak Syukri yang juga menantu Tan Sri Abdul Hadi Awang sendiri yang melibatkan istana.
Dilaporkan, sekurang-kurangnya Istana Perlis telah dua kali memanggil Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyudin Hassan ke Istana bagi memaklumkan kehendak itu, namun ia tidak dilaksanakan oleh Pas.
Bagi pemimpin Umno, Datuk Puad Zarkashi pula, kunjungan hormat Muhyiddin ke pejabat MB Perlis membuktikan dia merestui tindakan tebuk atap oleh Adun Bersatu.
“Bahkan kunjungan hormat ke rumah Datuk Hashim Jasin juga jadi bukti, wujud dua kem dalam Pas. Hashim Jasin semakin tersisih dalam Pas,” tulis Puad, Speaker DUN Johor itu.
No comments:
Post a Comment