Walaupun Ahli MT UMNO merangkap Ketua Bahagian Pulai, Nur Jazlan Mohamed tidak bertanding dalam PRK kawasan tersebut yang kempennya sedang berjalan sekarang, beliau nampaknya begitu bimbang dengan sokongan pengundi Melayu kepada DAP.
Lantas itu, beliau menyarankan agar DAP berubah menjadi parti yang sederhana dengan menggugurkan dua slogannya iaitu negara sekular dan Malaysian Malaysia yang selama ini diperjuangkan parti itu.
Menurut Timbalan Speaker Dewan Negara itu lagi, bagi sebahagian besar orang Melayu, cara politik DAP masih terikat sebagai parti totok orang Cina.
“Sebab itulah orang Melayu macam letak batu sempadan besar nak terima atau sokong DAP walaupun sudah bekerjasama dengan UMNO dalam kerajaan perpaduan,” tambahnya..
Justeru, Nur Jazlan berkata, jika betul DAP mengharapkan sokongan orang Melayu melalui kerjasama dengan UMNO, mereka perlu berani membuat dua perubahan tersebut bagi mencapai kejayaan besar pada pada PRU16 akan datang.
Sekali baca, nampak macam betul dan tepat saranan beliau ini, tetapi jika diteliti kembali, ada beberapa persoalan perlu dijawab terlebih dahulu oleh Nur Jazlan sebelum kita hendak bersetuju dengannya.
Pertama, siapa yang kehilangan sokongan atau perlu sokongan Melayu sekarang ini – DAP atau UMNO?
Kedua, siapa yang menang lebih banyak kerusi dan siapa pula yang hilang banyak kerusi?
Menjadi kemusykilan, kenapa beliau begitu risau tentang sokongan orang Melayu kepada DAP, walhal yang lebih kehilangan sokongan orang Melayu ialah UMNO itu sendiri.
DAP tidak bertanding di kawasan Melayu dan lawannya ialah sama ada MCA, Gerakan atau MIC di kerusi-kerusi bandar.
Di samping tidak perlu kepada sokongan Melayu, bahkan sama ada disokong atau tidak oleh orang Melayu, DAP tetap mendapat tempat dihati orang Cina dengan berjaya memenangi lebih 40 kerusi Parlimen pada PRU15 lalu.
Seterusnya, pada PRN baru-baru ini, DAP menang semua kerusi yang ditandinginya.
Tetapi, berapa kerusi UMNO menang pada PRU15 dan PRN baru-baru ini?
Jadi, apa isunya orang Melayu perlu menyokong DAP?
Kenapa parti yang menang cemerlang dan tidak memerlukan sokongan Melayu yang disuruh berubah, sedangkan UMNO yang kalah teruk, sehingga sekarang masih belum ternampak ada difikirkan formula untuk memulihkan sokongan orang Melayu kepadanya?
Dalam hal ini, jika Nur Jazlan menyebut DAP perlu menggugurkan dua slogan untuk membolehkan DAP mendapat sokongan orang Melayu, apa pula syaratnya untuk UMNO kembali mendapat sokongan Melayu?
Bolehkah beliau menyebutnya dalam tulisannya yang akan datang?
Selain itu, tidak perlu untuk Nur Jazlan terlalu risau jika Melayu tidak menyokong DAP kerana sebagai parti yang statusnya mirip seperti MCA, Gerakan atau MIC, yang penting ialah asalkan parti itu sedia menerima kedudukan orang Melayu, kedudukan agama Islam, kedudukan Raja-Raja Melayu, akur kepada Perlembagaan Negara dan seterusnya sanggup bekerjasama dengan mana-mana parti Melayu demi kepentingan negara.
Adakah selama ini DAP menentang semua itu atau degil enggan bekerjasama dengan sesiapa?
Lebih daripada itu, DAP sebagai parti bukan Melayu hanya bertanding tidak lebih 60 daripada 222 kerusi Parlimen yang ada di negara ini, manakala selebihnya adalah kerusi untuk ditandingi oleh parti Melayu dan Bumiputera.
Pendeknya, jumlah kerusi DAP, kalau pun mereka menang semua kerusi yang ditandingi, kedudukannya hanya minoriti saja.
Tidakkah dalam hal ini Nur Jazlan sewajarnya lebih bimbang tentang sokongan kaum majoriti negara ini iaitu Melayu kepada parti-parti Melayu, khususnya UMNO dan bagaimana untuk menguasai kerusi-kerusi Melayu yang jumlahnya juga adalah majoriti?
Nampak tak kena sangat dengan saranannya agar DAP berubah demi untuk mendapatkan sokongan orang Melayu.
Tambahan lagi, UMNO bukan bekerjasama dengan DAP secara langsung, tetapi cuma dengan PH yang ada DAP di dalamnya.
Rumah sendiri kurang beras, kenapa nak sibuk untuk menambah beras di rumah jiran sebelah yang makanan utamanya bukan pun nasi? – ShahbudinHusin 30/08/2023.