Pak Samad Kutuk Pengharaman Pakaian "Kuning"

SHAH ALAM 30 JUN : Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said mengutuk keras tindakan pengharaman pakaian kuning yang diumumkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) semata-mata mahu menggagalkan Perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai depan.

Malah, beliau menyifatkan tindakan itu merupakan ketakutan kerajaan Umno-Barisan Nasional(BN) untuk berdepan dengan kebangkitan rakyat pada perhimpunan itu nanti.

“Itulah, saya fikir ini ketakutan (kerajaan) yang amat menakutkan (mereka),” katanya pada sidang media khas anjuran Seniman Paksi Rakyat (Paksi) di Pesta Buku Selangor di sini, lewat petang semalam.

Pada sidang media itu, Paksi menggunakan kertas kuning sebagai kenyataan medianya.

Selain itu, A Samad Said yang juga dikenali sebagai Pak Samad mengulangi komitmen untuk turun menyertai Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini di ibu negara.

“Saya akan turun. Saya tidak hanya bersuara tapi bertindak. Suara tanpa tindak, itu bukan suara,” tegasnya.

Pak Samad yang terkenal dengan karya berjudul Salina, Hujan Pagi, Lantai T Pinkie, Al-Amin, juga mempertahan tindakannya yang berpihak dengan menunjukkan sokongan terhadap penganjuran Himpunan Bersih 2.0.

“Seseorang seniman mesti dan ada hak untuk berpihak. (Jika tidak) Itu bukan sasterawan, itu kuasawan. Kalau kuasawan itu bobrok, seniman tidak jadi seniman jika tidak menegur. Tidak ada salah menegur untuk sesuatu yang baik,” katanya.

Katanya lagi dengan nada sinis, beliau tidak menolak kemungkinan sasterawan lain enggan ‘tampil ke depan’ kerana mahu menjaga periuk nasi.

Dalam pada itu, Setiausaha Paksi, Hasni Abas turut mengecam tindakan polis yang sebegitu hina dan biadap apabila bertanyakan soalan tentang bayaran yang diterima Pak Samad untuk bersajak pada majlis pelancaran Bersih.

“Mereka tanya berapa Pak samad dibayar untuk baca sajak. Mereka ini, ingat semua orang ini ayam daging? Tunggu diberi dedak,” soalnya.

Tambahnya lagi, beliau turut menyifatkan sasterawan yang tidak berani menegur kemungkaran yang dilakukan penguasa sebagai ‘bukan sasterawan sebalinya cendawan’

No comments: