PAS KENA TIPU NGAN YIDDIN

 


JANGAN MAIN-MAIN DENGAN MUHYIDDIN


28 Januari 2026


Sama ada secara sedar atau dalam keadaan mamai, semua orang dalam PN kini harus mengakui kehebatan Muhyiddin Yassin sebagai ahli politik yang bijak dan licik.


Ertinya, jangan main-main dengan beliau dan jangan cuba-cuba untuk menyingkirkannya.


Pada 2020 lalu, ketika berkrisis dengan Tun Mahathir Mohamad setelah secara tidak sengaja termenjadi sebagai Perdana Menteri, beliau telah memansuhkan jawatan Pengerusi Bersatu dan kemudian memecat keahlian bekas Perdana Menteri dua kali itu.


Dengan tindakan itu, Muhyiddin berjaya menguasai Bersatu sepenuhnya tanpa dibayangi lagi oleh pengaruh Tun Mahathir.


Jangan main-main dengan Muhyiddin.


Hari ini, beliau telah berjaya pula memansuhkan jawatan Pengerusi PN, jawatan yang disandangnya sebelum ini dan beliau telah pun meletakkan jawatan pada 1 Januari lalu.


Tujuan pemansuhan itu tidak lain ialah agar jawatan Pengerusi PN tidak jatuh kepada mana-mana pemimpin lain sama ada daripada PAS atau Bersatu.


Sebagai ganti jawatan Pengerusi PN yang akan dimansuhkan, diwujudkan Majlis Presiden dan Jawatankuasa Eksekutif.


Majlis Presiden yang akan  diterajui Bersatu adalah  badan tertinggi dalam membuat keputusan berkaitan dasar PN, sementara Jawatankuasa Eksekutif yang diterajui PAS bertanggungjawab menguruskan aspek pentadbiran.


Dalam keadaan Muhyiddin masih Presiden Bersatu, sudah tentulah beliau yang akan mengetuai badan tertinggi PN yang dinamakan Majlis Presiden PN itu.


Untuk mudah faham, meskipun telah meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN dan setelah jawatan itu kini dimansuhkan, melalui kedudukannya sebagai Pengerusi Majlis Presiden yang dipegangnya selepas ini, PN secara hakikinya kembali ke dalam genggaman rapat Muhyiddin.


Sekali lagi, jangan main-main dengan Muhyiddin.


Jika kita imbas semula,  keputusan Muhyiddin meletak jawatan sebagai pengerusi gabungan itu adalah berikutan serangan PAS terhadapnya terkait krisis perlantikan Menteri Besar Perlis sehingga jatuhnya jawatan itu daripada PAS kepada Bersatu dianggap sebagai pengkhianatan oleh pimpinan PAS sendiri.


Betapa marahnya pimpinan PAS kepada Muhyiddin sehingga ada terkeluar ungkapan “berambus” yang ditujukan kepada Presiden Bersatu itu.


Selepas Muhyiddin meletak jawatan, kecenderungan yang tertonjol dalam PAS ialah parti itu harus mengetuai PN selepas ini.


Malah Haji Hadi sendiri dua hari lalu berkata, keputusan untuk PAS menerajui PN adalah ketetapan Muktamar Agung parti itu.


Tetapi dengan pengumuman Muhyiddin bahawa berikutan pemansuhan jawatan Pengerusi PN dan Majlis Presiden yang akan ditubuhkan bakal diketuai Bersatu (hampir pasti calonnya ialah Muhyiddin sendiri), sudahlah jawatan Menteri Besar Perlis jatuh ke tangan Bersatu, kedudukan mengetuai badan tertinggi PN juga kembali ke pangkuan Bersatu.


Semuanya wal hasil balik asal dan pengumuman Muhyiddin meletak jawatan sebagai Pengerusi PN sebelum ini tidak mengubah apa-apa.


Hakikatnya, jangan main-main dengan Muhyiddin.


Menurut pengakuan Muhyiddin lagi, penubuhan dua badan untuk menggantikan jawatan Pengerusi PN itu  sudah dipersetujui PAS dalam pertemuan pada 16 Januari lalu.


Perjumpaan dengan Presiden PAS, Presiden Gerakan dan Presiden MIPP di kediamannya malam esok adalah bertujuan memuktamadkannya sebelum mesyuarat PN yang sepatutnya malam esok diadakan semula pada tarikh lain.


Senang cerita, kiranya persetujuan mengenai penubuhan dua badan itu dimuktamadkan malam esok, PN selepas ini tiada bezanya pun dengan PN sebelum ini.


Ia tetap diketuai oleh Muhyiddin yang mempengerusikan badan tertinggi gabungan itu.


Oleh kerana PAS hanya mengetuai Jawatankuasa Eksekutif berkaitan hal-hal pentadbiran, manakala Majlis Presiden yang merupakan  badan tertinggi dan pembuat keputusan dalam soal dasar, sesuai dengan Muhyiddin telah dinamakan oleh Bersatu sebagai  calon PM, maka tiada halangan lagi untuk menamakan beliau sebagai calon PM bagi PN pula dan “poster boy” untuk PRU16 akan datang.


Sebenarnya banyak nak ditulis lagi, antara tidakkah PAS rasa diperdaya dan patutkah parti itu terus kekal dalam PN, tapi rasanya cukuplah setakat ini dulu.


Cuma, satu pesanan saja - jangan main-main dengan Muhyiddin dan jangan cuba-cuba acah beliau kalau ilmu politik tak cukup tinggi. - ShahbudinHusin 28Januari2026.


https://shahbudindotcom.net/2026/01/jangan-main-main-dengan-muhyiddin/




No comments: