Beberapa hari lalu, kita semua tersentak bila melihat video Safiudeen Pakkeer Mohamed disiram air dan dihalau ketika dia sedang tidur di luar sebuah bank.
Ramai yang menyalahkan dia, kononnya mesti ada sebab sampai jadi begitu.
Sekarang kita dah tahu kebenarannya. Semalam, ada perkembangan penting yang patut kita tahu bersama.
Safiudeen akhirnya akan pulang ke India hari ini.
Selepas laporan demi laporan dibuat, dan selepas tekanan orang ramai yang mahukan keadilan, pasport beliau yang ditahan sejak hari pertama dia tiba di Malaysia akhirnya dipulangkan oleh bekas majikan.
Penyerahan itu dibuat di hadapan pegawai Suruhanjaya Tinggi India dalam satu pertemuan rasmi yang turut dihadiri sukarelawan kemanusiaan, Tony Lian, pegawai Presma, Prisma, dan wakil bekas majikan.
Dalam pertemuan itu, beberapa perkara diselesaikan:
• Pasport Safiudeen dipulangkan.
• Tunggakan gaji diselesaikan.
• Tiket penerbangan pulang ke Tamil Nadu dibayar oleh bekas majikan.
• Denda “tinggal lebih masa” juga ditanggung oleh pihak majikan.
Sejak video dia tular, hidup Safiudeen jadi satu minggu yang sangat panjang. Rumah tak ada. Duit tak ada. Identiti pun tak ada.
Dia hanya bergantung pada belas ihsan orang ramai sehingga Tony Lian membawanya keluar dari jalanan dan ditempatkan sementara di pusat perlindungan.
Pagi semalam, pegawai Jabatan Tenaga Kerja juga datang membuat pemeriksaan mengejut ke tempat dia berlindung. Siasatan sedang berjalan. Itu satu permulaan yang baik.
Safiudeen hanya ada satu permintaan sejak awal. Dia cuma nak balik jumpa isteri dan dua anaknya di Tamil Nadu. Itu saja. Bukan nak kaya, bukan nak cari gaduh, bukan nak tuntut lebih. Dia hanya nak pulang dengan maruah.
Tony Lian sebut satu perkara yang sangat dalam maknanya:
“Kemaafan dan belas kasihan lebih kuat daripada dendam. Hadiah terbesar yang kita boleh beri sesama manusia adalah kebaikan.”
Namun, kebaikan tidak boleh dijadikan pengganti kepada keadilan. Kes seperti ini bukan kali pertama berlaku.
Kita sudah banyak kali dengar kisah pekerja asing yang dipaksa bekerja, pasport ditahan, gaji tidak dibayar, dan akhirnya disalahkan bila kesudahannya mereka hidup merempat.
Safiudeen hanyalah satu wajah dalam ribuan yang senyap.
Semoga selepas ini, tindakan undang-undang tidak hanya berhenti pada sesi permohonan maaf, tetapi ada ketegasan yang memastikan tiada lagi pekerja datang ke negara kita dengan harapan, lalu pulang dengan trauma.
Hari ini kita lega Safiudeen akan pulang. Moga dimasa akan datang, tiada lagi kisah seperti Safiudeen terjadi pada orang lain.
Afiq Noordin



No comments:
Post a Comment