KERJA SIAPA PERTAHAN PM - JKOM, UNIT MEDIA PMO ATAU KEMENTERIAN KOMUNIKASI?



Sejak akhir-akhir ini, hampir tidak ada hari yang berlalu tanpa Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri tidak dihentam, tidak diserang dan tidak dibalun dalam pelbagai platform media sosial.


Isu-isu semasa yang dijadikan modal menghentamnya datang silih berganti sepertimana bertukarnya siang dengan malam dan ia berlaku boleh dikata tanpa rehat sejak enam bulan yang lalu.


Ada saja isu ditimbulkan untuk menjadikannya sebagai sasaran dan kadang-kadang oleh kerana tiada benda baru untuk menghentamnya, maka video-video lama beliau diulang siar semula, dicantum dengan ucapan semasa untuk memperlihatkan seolah-olah Anwar mempunyai dua wajah yang berbeza – dulu cakap lain tapi kini buat lain bila sudah beroleh kuasa.


Kalau mahu dihitung, terlalu banyak sebenarnya isu yang dijaja dan diguna untuk menyerang beliau sejak tertubuhnya kerajaan perpaduan ini.


Dalam semua isu yang menjadikan Perdana Menteri sebagai sasaran itu, boleh dikata 80 peratus daripadanya terus bergentayangan sebagai modal perbualan ramai dan meresap menjadi makanan fikiran rakyat, tanpa ada penafian, serangan balas, jawapan serta penjelasan yang meyakinkan.


Kerap kali pula, setelah beberapa hari berlalu, akhirnya Anwar sendiri yang terpaksa tampil membela dirinya atas segala serangan itu, persis dirinya seorang kena tuduh di mahkamah yang tidak mampu membayar yuran peguam bagi membela dirinya.


Soalnya, di mana segala macam jentera di sekeliling Anwar yang sepatutnya menjadi perisai utama kepadanya?


Meskipun banyak pihak lain yang turut berperanan membela dan mempertahankan Perdana Menteri seperti pemimpin parti dan para menteri, tetapi tumpuan khusus dalam hal ini tentunya ialah Jkom, unit media PMO serta Kementerian Komunikasi dan Digital yang diketuai menterinya, Fahmi Fadzil.


Di mana Jkom?


Di mana unit media PMO?


Dan di mana Fahmi yang mengetuai Kementerian Komunikasi dan Digital yang khabarnya sejak Ramadan dulu lagi telah mengumpulkan ratusan laskar maya untuk menunjukkan kekuatan menangkis serangan di pelbagai platform media sosial, selain atas kapasitinya sebagai menteri juga seharusnya mampu menangani isu-isu yang dikaitkan dengan Anwar melalui saluran media cetak dan elektronik?


Kenapa sejak kebelakangan ini, semakin Anwar dihentam dan dibalun, semakin sunyi sepi dan seolah-olah tidak berperanan semua jentera di atas itu?


Kesian Perdana Menteri kita ini, sudahlah bekerja siang malam tanpa kecukupan tidur, kemudian tidak pula dibela bila kena hentam dan balun di sini sana.


Peranan Jkom mula menjadi bualan ramai sebaik saja Prof Dr Agus Yusof, bekas pensyarah UKM dilantik sebagai Ketua Pengarah jabatan itu yang ketika era BN dulu dikenali sebagai Jasa.


Pada mulanya, harapan tinggi diletakkan kepada Dr Agus, mungkin atas faktor popularitinya, agar beliau mampu menjadikan Jkom sebagai benteng yang berwibawa untuk membela, mempertahan dan menangkis serangan terhadap Anwar, selain jabatan itu turut berperanan memasar, menyebarluas serta memberi kefahaman mengenai dasar-dasar kerajaan, terutama konsep Malaysia Madani.


Tetapi, dengan peredaran masa, Jkom dilihat seperti hilang punca dan tidak mampu berperanan dengan sebaiknya dalam menjawab segala serangan itu sehingga ia menjadi kritikan yang bukan lagi rahsia, baik dalam PH atau mereka yang dekat dengan Anwar sendiri, lalu kemudiannya, seorang pemimpin PKR yang agak dikenali ramai, Ismail Yusof atau Tok Abah dibawa masuk sebagai Timbalan Ketua Pengarah jabatan itu.


Membawa masuk Tok Abah, kunci utamanya adalah lantaran disedari bahawa jabatan itu harus ada seseorang di kalangan penerajunya yang faham sepak terajang politik, malah lebih berkesan jika pernah merasa “kena sepak dan terajang” dalam pengalaman bermain politik dan bukan seperti Dr Agus yang hanya biasa bergelumang dengan buku semata-mata.


Apalagi, ketika era BN di mana Jkom dikenali sebagai Jasa, dua peneraju terakhirnya – arwah Fuad Hassan dan Dr Puad Zarkashi – adalah tokoh politik UMNO yang memang dikenali ramai dan faham tentang dunia politik berparti yang sebenar.


Untuk itu membawa Tok Abah adalah dengan harapan ada perubahan dalam gerak kerja Jkom, tetapi tak dipastikan sama ada beliau sudah memulakan tugas secara rasmi atau kedudukannya masih tersangkut dek karenah birokrasi, yang pasti jabatan itu dan Dr Agus ketika ini dilihat semakin tiada peranan dalam membela serta mempertahankan Perdana Menteri, di sebalik satu demi satu isu terus muncul silih berganti hampir setiap hari.


Jkom sebaliknya kebelakangan ini hanya sibuk berkelana dari universiti ke universiti untuk mempromosi dan memberi kefahaman mengenai Malaysia Madani, tetapi dalam masa yang sama membiarkan Anwar seperti pahlawan tanpa tentera yang tidak dilindungi dan tidak diserang balas apabila ditembak musuh.


Memang memasar dan memberi kefahaman mengenai Malaysia Madani dan dasar-dasar kerajaan yang lain adalah penting, tetapi Jkom juga tidak boleh lari daripada peranan membela, mempertahan dan menangkis serangan terhadap Perdana Menteri.


Tidak guna Malaysia Madani misalnya dipromosi ke sana sini, tetapi di ketika yang sama, Anwar selaku Perdana Menteri dilihat lunyai dibelasah dan dibalun tanpa pembelaan.


Prinsip mudahnya ialah mempertahankan Perdana Menteri adalah juga mempertahankan kerajaan dan mempertahankan kerajaan tidak akan bermakna tanpa Perdana Menteri paling utama dipertahankan.


Apa pun, ramai mengharapkan Jkom dan Tok Abah yang baru dimasukkan segera berperanan dengan sebaiknya dan mula menetapkan fokus khusus beberapa keutamaan yang perlu dilakukan agar Anwar sekurang-kurangnya berasa ada “pasukan tentera” di belakangnya.


Unit Media dan Komunikasi Strategik PMO, kalau tidak kerana berita pengarahnya sebelum ini, Wan Nurzila Wan Abd Rahman dilaporkan meletakkan jawatan dengan notis 24 jam, tiada siapa tahu unit tersebut wujud dan ada ketuanya sejak Anwar menduduki Bangunan Perdana Putra.


Unit tersebut selama ini semacam tidak berperanan dalam menjawab pelbagai isu yang timbul berkaitan Perdana Menteri dan dengan kemasukan pengarah baru, Rozaid Abdul Rahman, pemain media yang berpengalaman luas dan tidak asing lagi, ia benar-benar mampu bukan saja menyebarkan kebaikan dan mempromosi aktiviti yang dilakukan Anwar, malah tangkas menjawab atau menangkis apa juga isu yang timbul.


Oleh kerana Rozaid baru kira-kira seminggu memulakan tugasnya, ruang secukupnya harus diberi kepada beliau sebelum kita mahu menilai prestasinya.


Kementerian Komunikasi dan Digital atau sebelumnya dikenali sebagai Kementerian Penerangan, memang peranan utamanya ialah sebagai benteng utama melindungi Perdana Menteri dan kerajaan dalam konteks promosi serta serangan media.


Melalui kuasa, ada saluran media elektronik dan agensi seperti SKMM dibawahnya, di samping tentunya menterinya perlu mempunyai hubungan baik dengan pelbagai saluran media, Fahmi yang mengetuai KKD mesti sentiasa proaktif dan cekap dalam peranannya.


Tak usahlah lagi berwatak kebudak-budakan dengan berbasikal di dalam pejabat dan memuatnaik video aksi seperti itu di media sosial.


Kalau dalam tentera, KKD ini umpama Rejimen Semboyan yang jika ia gagal berfungsi dengan cekap, maka akan kalah peranglah alamatnya seluruh pasukan.


Sesuai dengan media sosial sudah menjadi media arus perdana, bahkan alat penerima maklumat berada dalam genggaman hampir setiap orang, Fahmi mesti memastikan beliau mempunyai pasukan laskar maya yang cekap, mahir dan berkemampuan, bahkan sepatutnya sudah pun berperanan ketika ini.


Akhirnya, siapa di antara Jkom, unit media PMO dan KKD yang lebih penting dan utama dalam mempertahankan Perdana Menteri?


Sebelum kita mahu jawapannya, setelah enam bulan kerajaan perpaduan ini terbentuk, pernahkah ketiga-tiga entiti itu mengadakan mesyuarat bersama untuk menyelaras tugas dan mempererat kerjasama sesama mereka? – ShahbudinHusin 30/05/2023.


https://shahbudindotcom.net/



No comments: