SUARA RUNGUTAN YANG MULA MEMBAKAR SEKAM

 

Baru sahaja melepasi 100 hari Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri dengan jalan perjuangan penuh berliku selama hampir 25 tahun untuk menggapai kejayaan itu, tempoh sekarang sepatutnya adalah bulan madu yang penuh dengan keceriaan dan bunga-bunga keindahan.

Tetapi, tidak begitu nampaknya dengan PKR yang sedang mengetuai kerajaan perpaduan ini.

Di media sosial, beberapa ahli PKR yang dulunya dikenali sebagai pejuang tegar dengan jiwa kental bersemangat lawan tetap lawan, kini ternampak mula berlainan nada setelah berjaya menjadi kerajaan.

Kenapa jadi begini?

Apa masalah mereka – tidak ditolong atau pemimpin yang sudah berjawatan enggan menolong?

Siapa yang membuatkan mereka kecewa?

Anwar sendiri atau menteri-menteri tertentu?

Berikut adalah antara luahan itu yang tentunya mengundang pelbagai persoalan:-

Di samping itu, melalui komunikasi langsung, sama ada bertemu sendiri dan berbual melalui telefon dengan sejumlah ahli dan pemimpin PKR sendiri, saya sendiri dapati nada mereka juga tidak jauh bezanya.

Mereka kini berterus-terang kecewa dan tawar hati terhadap Anwar serta tidak segan silu lagi bersuara, walhal dulunya dikenali sebagai penyokong tegar Presiden PKR itu.

Kenapa rungutan sedemikian tidak begitu terdengar di kalangan ahli parti lain, misalnya Amanah dan DAP, yang kini sama-sama berada dalam kerajaan?

Malah, ketika Pas menjadi kerajaan sebelum ini, rungutan kecewa dan tidak puas seperti itu hampir tiada sama sekali.

UMNO pula jangan kiralah, ia boleh dianggap parti yang berpijak di bumi nyata di mana bila ada kuasa, ahli parti, rakan seperjuangan dan mereka yang pernah berjasalah biasanya akan didahulukan untuk dipandang dan diberi keselesaan.

Memanglah bila menjadi kerajaan, pegang jawatan Perdana Menteri atau menteri, keutamaannya ialah memberi kesejahteraan kepada rakyat.

Namun, ahli dan pemimpin parti yang selalu basah kuyup dan berada di barisan depan, jangan sesekali diabaikan.

Mengabaikan mereka bererti dengan sengaja menjemput ketempangan dalam gerakan perjuangan.

Kalau boleh ditolong melalui kuasa yang ada, asalkan bukan dengan cara salah guna kuasa, apa salahnya?

Melihat dan mendengar pelbagai rungutan itu yang makin ketara sejak kebelakangan ini, ternampak api dalam sekam sudah mula membakar perlahan-laham daripada dalam timbunan.

Jika ini tidak segera ditangani, bimbang nanti ada yang terkena api atau rumah yang dibina musnah terbakar sama sekali.

Entahlah…kenapa sehingga kini tiada siapa yang dilihat peduli atau mahu menangani rungutan itu, seterusnya berusaha menyelesaikannya?

Apakah mereka sudah cukup berpuas hati sekadar berjaya meletakkan PKR sebagai kerajaan, Anwar sebagai Perdana Menteri dan tidak peduli lagi kelangsungan selepas ini? – ShahbudinHusin 23/03/2023.


No comments: