BERNIAGA DEPAN KAABAH

 




Berniaga Depan Kaabah

Seolah-olah sudah menjadi trend dalam kalangan segelintir usahawan dan peniaga melayu-muslim mempromosikan produk mereka di hadapan kaabah. Tidak pastilah apa motifnya, namun ia berkemungkinan dianggap sebagai salah satu ikhtiar untuk melariskan produk mereka.

Tidak ketinggalan, ada segelintir ustaz/ustazah selebriti (usleb) dan ada juga dalam kalangan mereka yang menjadi duta sesuatu produk mempromosikan produk di hadapan kaabah sama ada menerusi video ataupun bergambar dengan produk tersebut di hadapan kaabah. Ada yang mempromosikan produk suplemen, minyak atar dan seumpamanya, malahan ada individu yang beperwatakan ustaz tergamak memfatwakan “kehalalan” forex trading di hadapan kaabah yang suci lagi mulia.

Saya tak pasti sejauh mana mujarabnya tindakan segelintir mereka yang mempromosikan kegiatan perniagaan mereka di hadapan kaabah, namun setakat pengetahuan saya sebarang urusan perniagaan yang dilakukan di dalam rumah Allah (secara umumnya masjid) jika tidak haram sekalipun, majoriti ulama menganggapnya makruh.

Hal ini kerana, antara maqsad (tujuan) kita berada di dalam rumah Allah adalah untuk berzikir, mengingati dan mengagungkan Allah. Perkara ini dapat kita fahami menerusi ayat:

فِی بُیُوتٍ أَذِنَ ٱللَّهُ أَن تُرۡفَعَ وَیُذۡكَرَ فِیهَا ٱسۡمُهُۥ یُسَبِّحُ لَهُۥ فِیهَا بِٱلۡغُدُوِّ وَٱلۡـَٔاصَالِ﴿ ٣٦

“Di rumah-rumah ibadat yang diperintahkan oleh Allah supaya dimuliakan keadaannya dan disebut serta diperingat nama Allah padanya; di situ juga dikerjakan ibadat mensuci dan memuji Allah pada waktu pagi dan petang.”

Ayat ini disusuli dengan pernyataan yang menegaskan perbezaan antara individu yang benar-benar memenuhi maksud keberadaan di rumah Allah dengan mereka yang dilalaikan dengan urusan lain:

رِجَالࣱ لَّا تُلۡهِیهِمۡ تِجَـٰرَةࣱ وَلَا بَیۡعٌ عَن ذِكۡرِ ٱللَّهِ وَإِقَامِ ٱلصَّلَوٰةِ وَإِیتَاۤءِ ٱلزَّكَوٰةِ یَخَافُونَ یَوۡمࣰا تَتَقَلَّبُ فِیهِ ٱلۡقُلُوبُ وَٱلۡأَبۡصَـٰرُ﴿ ٣٧

“(Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat; mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan.”

Di samping itu, hadis-hadis Nabi SAW turut menegaskan dengan nada yang sama, umpamanya yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi daripada Abu Hurairah:

إذا رأيتم من يبيع أو يبتاع في المسجد فقولوا لا أربح الله تجارتك

Jika sekiranya kamu melihat seseorang yang berjual beli di dalam masjid, maka katakan kepadanya: Semoga Allah tidak memberikan keuntungan kepada perniagaan kamu.

Justeru, meskipun sebahagian ulama menyatakan menerusi hadis ini, akad jual beli dianggap sah, akan tetapi disebabkan ia mengandungi amaran keras Nabi SAW maka ia dihukum makruh dan fasid. Oleh yang demikian, sebarang perbuatan yang mengandungi elemen jual beli ataupun medium yang menyampaikan kepada maksud jual beli termasuklah promosi, iklan dan seumpamanya yang dilakukan di dalam masjid turut mengambil hukum yang sama.

Perkara ini berbeza dengan pengumuman yang dilakukan oleh pihak masjid yang menyatakan ada jualan di perkarangan masjid ataupun di ruangan parkir (atau ruangan khas selain ruang solat utama), maka ia tidak termasuk dalam konteks larangan/amaran ini. Buku Fiqah Pengurusan Masjid turut memuatkan tatacara aktiviti perniagaan di masjid yang wajar dijadikan panduan oleh semua.

Nota: Boleh baca resensi ringkas saya berkenaan buku Fiqah Pengurusan Masjid menerusi pautan berikut:

https://www.facebook.com/100001041377127/posts/5400703586640967/?d=n

Furqan Abdullah