Ramai antara kita sekarang ini sedang marah.
Kita dibelenggu rasa marah atas pelbagai perkara.
Kita marah kerana PKP bersambung-sambung tapi kes baru Covid19 tidak juga menurun.
Kita marah, meski sudah ada PKP, ditambah lagi dengan darurat, malangnya kes tetap bertambah juga.
Kita marah kerana ada PKP, tapi dilaksanakan dengan longgar dan ternampak sia-sia.
Kita marah dengan PKP kerana ada perniagaan boleh buka dan ada yang disuruh tutup.
Kita marah dengan PKP kerana sementara banyak masa kita duduk di rumah, tapi kedai mamak untuk minum kopi dan bersembang semuanya diarah menterbalikkan kerusi serta meja.
Kita marah kerana walau ada SOP PKP, masih ada menteri bebas potong pulut kuning, beriadah bertiga, sambut Thaipusam dan merentas negeri sesuka hati dia.
Kita marah dengan PKP kerana yang dijaga nampaknya hanya ekonomi taikun dan tauke besar, tetapi ekonomi rakyat marhaen terus dibiar terhimpit dan terseksa.
Kita marah kerana PKP bersambung-sambung, namun moratorium tidak pula mahu disambung.
Kita marah kerana sementara pekerja biasa hilang kerja dan dipotong gaji, tapi menteri dan duta duduk rumah tetap dapat gaji penuh.
Kita marah kerana PKP menyebabkan ekonomi suram dan ramai marhaen lebih derita.
Kita marah kerana sudahlah rakyat makin tiada wang, kadar kompaun langgar SOP mahu diperketatkan lagi.
Kita marah kerana menteri tak boleh beza antara perbuatan derhaka kepada Raja dengan merayu memohon ihsan serta pertimbangan baginda.
Kita marah kerana ada Perdana Menteri yang bisu dalam banyak isu, tetapi sangat suka bercakap sendirian di depan kamera melalui teks yang telah disediakan.
Kita marah kerana kerajaan dan Perdana Menteri buat tak tak peduli tentang keabsahan, walaupun seorang demi seorang sudah menarik sokongan.
Kita marah kerana dalam PKP dan darurat pun boleh diluluskan pembinaan dewan, sambil dapat kontrak meniaga berbilion-bilion.
Kita marah kerana sebab yang bermacam-macam, tapi apakah sebab paling besar selain adanya Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri yang menyebabkan kita jadi marah?
Jawabnya tidak ada – Muhyiddin adalah satu-satunya sebab kita jadi marah sekarang ini.
Tiada lagi Muhyiddin, kalau pun semua marah kita tidak hilang, rasa-rasanya banyak kemarahan dapat diketepikan.
Tanpa Muhyiddin – PKP dan SOP mungkin berbeza kaedah dan pendekatannya.
Tanpa Muhyiddin – mungkin darurat tiada lagi.
Tanpa Muhyiddin – menteri-menteri yang tak berguna dan duta duduk rumah saja mungkin tidak diperlukan lagi.
Tanpa Muhyiddin – dunia dan pelabur antarabangsa mungkin lebih memandang dengan senyum kepada negara kita.
Tanpa Muhyiddin – kita mungkin ada pengganti yang tidak lagi bisu, malah berani berdepan setiap hari dengan dengan media.
Tanpa Muhyiddin – soal keabsahan dan kerajaan minoriti pasti tak berbangkit lagi.
Tanpa Muhyiddin – rakyat mungkin lebih banyak gembira kehidupannya dan tidak akan marah-marah lagi.
Akhirnya, kenapa kita masih mahu simpan lagi orang yang menyebabkan kita hari-hari jadi marah? (Shahbudindotcom 03/02/2021)