Oleh : Dr Nazmi Airil Osidea
1. Seramai 14 menteri dan
timbalan menteri menerima darjah kebesaran sempena sambutan Hari Wilayah
Persekutuan tahun ini.
2. Belum pun panas kerusi
menteri dan timbalan menteri mereka duduki, gelaran 'Datuk' dengan mudahnya
singgah ke dada mereka.
3. Tidak sukar mendapat 'Datuk'
semasa zaman Muhyiddin. Isilah borang anugerah pingat dan masukkan sajalah di
bahagian 'sumbangan' sebagai menteri atau timbalan menteri. Tidak masuk
perkiraan yang mereka semua menjadi menteri tidak pun sampai setahun jagung. Oh
jangan lupa, sudahlah tidak sampai setahun jagung, tiada kerja pun - dengan
adanya perintah kawalan pergerakan dan darurat hingga ke bulan Ogos, mereka
boleh duduk goyang kaki dan setiap bulan puluhan gaji masuk hinggalah ke
pencen. Tidak masuk perkiraan yang jawatan mereka adalah rasuah politik dari
'scheme of things' Muhyiddin.
4. Rakyat berhak untuk rasa
intelek mereka terhina. Dengan Perdana Menteri yang kerjanya rata-rata
dikhabarkan tidak sampai 4 jam sehari, tiada sidang akhbar, tidak perlu
mempengerusikan jawatankuasa kerja yang berat dan yang perlu hanya merasuahkan
jawatan atau gelaran untuk kekal berkuasa. Tidak ada berkatnya semua ini.
5. Rakyat rasa semua kesusahan
dan kepayahan mereka sepanjang pandemik ini dihina dan diperkecilkan apabila
mereka yang goyang kaki dan makan gaji buta mendapat puluhan ribu gaji dan kini
gelaran Datuk diselerakkan untuk mereka. Bagaimana rakyat akan hormat kepada
mereka? Kepada Menteri? Kepada Timbalan Menteri? Kepada Muhyiddin?
6. Ditambah lagi garam ke luka
rakyat apabila seseorang yang berkelakuan gangster dan dengan mudah menyerang
orang secara fizikal juga dapat pingat? Exco Pemuda Umno, Wan Muhammad Azri Wan
Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo menerima Darjah Kebesaran Pangkat
Keempat Johan Mahkota Wilayah (JMW). Bukankah itu satu jenaka dan satu tamparan
yang menjatuhkan maruah Tuanku Agong? Malah seseorang seperti Ustaz Ebit Liew
telah melakukan jauh lebih banyak budi dan secara konsisten untuk masyarakat.
7. Rakyat sudah hilang hormat
dan segala baki keyakinan terhadap kerajaan sudah hilang dengan tindakan yang
tidak berakal sebegini. Mereka kini berharap Agong dan Sultan bijak menilai
kerana jika mereka yang goyang kaki, makan gaji buta malah gangster diberi
pingat, tentu ia menjadi satu tragedi kepada institusi Di-Raja. Semoga Majlis
Raja-Raja memiliki hikmah untuk memahami apa yang ada dalam hati rakyat dan bukannya
apa yang disogok atau disua oleh pemimpin politik yang korupnya tidak
terbendung lagi.
8. Apakah ertinya gelaran jika
mereka yang menerimanya tidak berhak dan hasilnya hanyalah 'Datuk' yang hanya
wujud secara hiasan tetapi kosong isinya?