Beberapa salah tanggapan yang terurai dengan gejolak politik terkini ini.



1. Mereka yang menganggap bahawa Tun Mahathir tak mahu serahkan kuasa kepada DS Anwar (termasuk aku) adalah silap. Buktinya Tun Mahathir letak jawatan hari ini untuk memberikan laluan kepada DS Anwar untuk menjadi PM.

2. Mereka yang menganggap DS Anwar gelojoh dan tamakkan kuasa juga silap. Buktinya hari ini DS Anwar sendiri merayu supaya Tun Mahathir kekal PM demi PH. Ternyata DS Anwar lebih mementingkan kestabilan negara dan parti dari kepentingan diri.

3. Dakwaan yang mengatakan Tun Mahathir akan berpaling dari PH dan kembali kepada Umno juga ternyata meleset. Buktinya Tun Mahathir berasa kecewa dan meninggalkan partinya kerana Ahli Majlis Tertinggi Bersatu mahu bekerjasama dengan Umno.

4. Dakwaan yang mengatakan Keadilan takut dengan pengaruh Azmin sehingga enggan memecat dia dan sekutunya Zuraida juga ternyata silap. Keduanya telah dipecat serta merta. Ini menunjukkan selama ini mereka cuma masih berfikiran positif memberi peluang mereka kembali ke landasan.

5. Muhyiddin adalah pelakon terbaik. Tak ramai dapat menghidu kecurangannya. Bahkan ramai penyokong PH yang berharap Muhyiddin akan menjadi TPM apabila DS Anwar menjadi PM kelak.

Cuma kini timbul persoalan tentang kerajaan negeri. Johor, Perak dan Kedah misalnya, MB adalah dari Bersatu. Memandangkan Bersatu bukan lagi dalam PH, maka sewajarnya MB-MB ini dibersarakan.

Ok. Sekarang jelas bahawa Tun Mahathir dan DS Anwar keduanya benar-benar berkhidmat untuk rakyat. Pengkhianat sebenar adalah Azmin, Zuraida dan Muhyiddin. Maka selepas ini, mari kita buangkan prasangka buruk dan rapatkan saf serta kukuhkan perpaduan.

Jangan lagi ada kata-kata nista dilemparkan buat dua insan hebat ini yang niatnya hanya untuk memperbaiki negara ini. Benar, dalam politik kita tak boleh 100% yakin. Tapi tak perlu sampai menghujat secara terbuka hingga melukakan pihak lain dan kemudian dibalas dengan hujatan yang sama.

Tun Mahathir kekal PM tapi tanpa parti maka kini kekuatannya terhad. Majlis Presiden PH juga akan lebih bersiap siaga kali ini setelah belajar dari kesilapan yang baru berlaku.

Setinggi penghargaan buat Sdr. Mohamed Sabu bersama Amanah dan Sdr. Lim Guan Eng bersama DAP yang kekal utuh mempertahankan PH dan tidak menambah hiruk pikuk ketika suasana tegang kelmarin.

Menjunjung kasih buat Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong kerana kebijaksanaan baginda, negara ini terselamat dari kudeta tak bermaruah kelmarin.
A
Masanya untuk bekerja. Diharap dapat dilantik Menteri Dalam Negeri yang baharu secepat mungkin supaya video kabur boleh di-HD-kan dengan segera.

Pesan aku, tak salah berhati-hati cuma jangan sampai memaki. Ingat, negara yang makmur hanya dapat dicapai melalui kerajaan yang utuh. Dan jika negara tidak dapat dimakmurkan maka PH takkan lagi jadi pilihan.

~Ruzaihan Junit


No comments: