Shafee : Penjawat Awam Harus

KLANG 29 JUN: Tugas penjawat awam adalah "jihad" dalam menentukan keberkesanan kerajaan yang memerintah, menurut bekas Ketua Pengarah Badan Pencegahan Rasuah Datuk Shafee Yahya.

Malah beliau menyifatkan penjawat awam sebagai benteng utama kerajaan memperlihatkan imej profesional di samping memberi perkhidmatan kepada rakyat.

Justeru, jika kakitangan awam mengabaikan aspek integriti dalam melaksanakan tanggungjawab, maka seluruh negara akan menyaksikan “kehancuran tamadun yang dibina.”

"Memang peranan kita penting tapi kita perlu tegas kerana benar kerana pada akhirnya kalau menteri atau ADUN minta kita buat satu perkara yang tidak betul, kita perlu bertegas untuk kata tidak," ujar Shafee ketika berucap pada majlis Wacana Ekonomi Selangor: Integriti Penjawat Awam di sini, pagi tadi.

Shafee berkata meskipun kerajaan cuba menambahbaik mutu pentadbiran, dan urusan kewangan, namun masih banyak kelemahan yang wujud.

Kelemahan itu berpunca kepada kurangnya pegangan kepada prinsip integriti untuk memastikan sistem negara berada di landasan yang betul.

Shafee diakui sebagai tokoh utama memerangi rasuah di negara ini semasa memimpin BPR dan beliau kerap dipuji kerana sanggup bertindak terhadap pemimpin-pemimpin berpengaruh dalam kerajaan.

Di akhir kerjayanya beliau sebagai Ketua Pengarah BPR, Shafee terbabit dalam serbuan keatas pejabat Pengarah Besar EPU ketika itu, Tan Sri Abul Hassan dan dilaporkan menjumpai sejumlah besar wang.

Susulan serbuan itu, beliau kemudian dipecat oleh mantan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad.

Awal tahun ini Shafee menerbitkan buku berjudul 'Cerita Shafee Yahya: Budak Lelaki estet kepada Ketua BPR' menceritakan pengalaman beliau menentang amalan rasuah melibatkan kepimpinan tertinggi kerajaan.

Berucap di hadapan kira-kira 500 kakitangan awam Majlis Perbandaran Klang (MPK), Shafee berkata tugas yang dipikul oleh penjawat awam adalah ujian ke atas jati diri mereka.

Memikul tugas penjawat awam bukan sahaja bertujuan mencari nafkah semata-mata tetapi sebagai satu amanah yang harus digalas sebaik mungkin.

Beliau kemudian mengariskan faktor-faktor yang mengakibatkan integriti individu atau syarikat terjejas termasuk disiplin diri yang lemah serta etika kerja yang tersasar.

Dalam ucapannya beliau turut memetik kenyataan ahli parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang menjulang sifat tegas demi mempertahankan tata kelola baik.

"Kita perlu taat setia tapi tidak boleh taat membuta tuli yang akan membawa kerosakan," katanya.

Justeru beliau menasihatkan kepada penjawat-penjawat awam untuk memastikan setiap arahan diterima dalam bentuk hitam putih.

Katanya amalan ini bertujuan mempersiapkan diri sekiranya ada pihak yang cuba untuk menjatuhkan mana-mana individu melalui tuduhan atau fitnah.

"Apa sahaja yang anda mahu buat, mesti ada hitam putih, failkan seperti dokumen rasmi. Jadi kalau lepas bersara pun boleh tidur lena," ujar Shafee.
Turut hadir di program anjuran kerajaan negeri Selangor dengan kerjasama MPK ialah Penasihat Negeri Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ahli parlimen Gombak Azmin Ali dan exco-exco negeri.

No comments: