Mohd Hasni Izuwan
1- Nama Rafizi Ramli menjadi tumpuan apabila beliau dilaporkan bakal menyaman beberapa individu termasuk Caprice, yang mendedahkan isu projek tertentu dikaitkan dengannya. Dari sudut rakyat biasa, tindakan ini menimbulkan persoalan, adakah wajar seorang bekas menteri menggugat individu yang menyoal dasar dan projek kerajaan yang melibatkan kepentingan awam?
2- Persoalan awam bukan serangan peribadi, ia hak dan tanggungjawab sivik. Jika tiada salah laku, jawapan profesional sudah cukup. Kenyataan saman hanya dilihat sebagai cubaan membungkam suara yang berani bertanya, bukannya menjelaskan fakta.
3- Isu yang dihebahkan menunjukkan bahawa Rafizi pernah menjadi pemegang saham dalam syarikat Invoke, bersama individu bernama Lee Choo Boo. Syarikat yang berkaitan dengan Lee Choo Boo ini kemudian menerima projek dari Kementerian Ekonomi semasa era Rafizi menjadi menteri. Corak ini cukup menimbulkan keraguan dalam persepsi awam.
4- Rakyat berhak bertanya, apabila seseorang pemimpin pernah mempunyai kaitan terdahulu dengan pihak tertentu, bagaimana dasar dan projek dijalankan? Perkara ini juga pernah dipersoalkan Rafizi terhadap Farhash selaku bekas setiausaha politik Anwar. Persoalan ini bukan tuduhan, tetapi hak untuk memahami ketelusan dan integriti keputusan kerajaan.
5- Rafizi sebelum ini menyatakan di platform X bahawa beliau masih miskin dan tiada saham juta-juta Namun, pengisytiharan saham Involve menunjukkan nilai jutaan. Semasa pemilihan parti lalu, beliau juga pernah menyatakan kekurangan dana untuk membiayai yuran pencalonan. Ketidakselarasan ini menimbulkan banyak persoalan rakyat tentang konsistensi naratif politik.
6- Persoalan rakyat bukan soal iri hati atau politik peribadi. Ia soal integriti, transparensi, dan konsistensi seorang bekas menteri. Rakyat wajar menilai bagaimana dasar dilaksanakan, projek diberikan, dan sama ada terdapat kepentingan peribadi yang berpotensi mempengaruhi keputusan atau tidak???
7- Tindakan saman, walaupun dibenarkan dari segi undang-undang, namun dari sudut kemenangan belum tentu lagi. Ada yang menggunakan perintah saman sebagai cara menutup perbincangan dan menakutkan pengkritik. Demokrasi yang matang tidak takut kepada soalan, ia menjawab dengan fakta dan dokumen.
8- Sejarah politik Malaysia mengajar kita, tokoh besar seperti Tun Mahathir Mohamad, pernah berkata "Saya tak dak duit" dan menegaskan hidup sederhana, tetapi keluarga memiliki kekayaan besar. Rakyat bertanya, dari mana hasil itu diperoleh? Persoalan yang sama wajar diajukan kepada mereka yang pernah memegang kuasa dan mempengaruhi dasar negara.
9- Isu yang melibatkan kepentingan awam dan dana rakyat memang harus dijalankan dengan telus dan teliti. Tindakan saman ini, walaupun kelihatan seperti ugutan, sebenarnya boleh menjadi peluang untuk membentangkan fakta sebenar di mahkamah. Semua pihak yang berkaitan akan dipanggil sebagai saksi, dokumen akan diperiksa, dan proses ini membolehkan kebenaran terserlah secara profesional.
10- Dari sudut psikologi, tindakan saman tidak menakutkan pengkritik sejati. Mereka yang disaman sudah tentu bersiap sedia dengan barisan peguam untuk mempertahankan hak masing-masing. Sebarang dakwaan atau tuduhan boleh dikupas satu per satu di mahkamah, memastikan tiada ruang untuk spekulasi atau fitnah tanpa asas.
11- Sekiranya wujud sebarang penyelewengan atau salah laku terhadap projek tertentu, tindakan yang terbaik adalah dengan membuat laporan polis dan segera menyalurkan maklumat kepada pihak SPRM. Mahkamah, polis, dan SPRM merupakan institusi yang diiktiraf untuk memastikan integriti dan keadilan ditegakkan, bukannya untuk menakut-nakutkan rakyat yang ingin bertanya.
12- Jadi, kepada sesiapa sahaja yang mempertimbangkan tindakan saman, ingat lah bahawa pengkritik bukan lemah. Mereka mempunyai hak, sokongan undang-undang, dan prosedur mahkamah yang adil. Setiap fakta akan dibentangkan satu per satu di mahkamah. Jika benar tiada salah laku, tiada apa yang perlu ditakutkan, jika sebaliknya, laporan polis dan SPRM sedia untuk bertindak. Sikap telus adalah asas demokrasi yang kukuh.

No comments:
Post a Comment