Dari Tapak Projek ke Mahkamah: Apabila Yakin Akan Kalah...


Zainuddin Hj Omar





Semasa bertugas sebagai Jurutera Daerah di JKR Daerah Pulau Pinang pada awal 1990-an, saya diarahkan oleh KKM untuk membina dan renovasi sebuah klinik pergigian di tingkat bawah sebuah apartmen.


Ketika itu, JKR Daerah Pulau Pinang masih menjaga keseluruhan pulau dan belum lagi dipecahkan kepada Daerah Timur Laut dan Barat Daya seperti hari ini.


Di Pulau Pinang, harga tanah amat tinggi. Justeru, pihak KKM telah membeli beberapa unit rumah kedai di bawah apartmen tersebut untuk dijadikan klinik pergigian.


Ketika projek sedang berjalan, kami menerima surat bantahan daripada persatuan penduduk yang meminta projek itu dipindahkan atas alasan ia akan menyebabkan kesesakan lalu lintas di kawasan mereka dan menyebabkan nilai property mereka turun. 


Memandangkan tiada arahan rasmi daripada KKM untuk menghentikan kerja, saya meneruskan projek sehingga siap. 


Semua surat-menyurat saya simpan dengan teratur dan saya catatkan kronologi bantahan secara terperinci di dalam fail projek.


Akhirnya, projek tersebut berjaya diserahkan kepada KKM.


Beberapa bulan kemudian, saya menerima kenaikan pangkat ke Gred 48 dan dipindahkan ke Ibu Pejabat.


Setahun berlalu. 


Suatu hari saya menerima panggilan telefon daripada seorang yang memperkenalkan dirinya sebagai peguam persekutuan dari Pejabat Peguam Negara Cawangan Pulau Pinang.


“Tuan diminta hadir ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang lusa untuk satu perbicaraan berkaitan projek Klinik Pergigian yang tuan uruskan, sebagai saksi kerajaan,” katanya.


Keesokan harinya saya bergegas ke pejabat lama di Pulau Pinang dan meminta kerjasama Jurutera Daerah yang baharu untuk mencari fail projek tersebut.


Alhamdulillah, semua dokumen dan kronologi peristiwa masih tersusun rapi. Ia sangat membantu saya mengimbas kembali setiap detik yang berlaku dua tahun sebelumnya.


Pada malam itu saya bertemu peguam persekutuan tersebut dan berbincang panjang mengenai kes berkenaan. 


Beliau seorang peguam muda, kelihatan seperti masih baharu dalam perkhidmatan.


Keesokan harinya saya hadir ke mahkamah. Persatuan penduduk telah menyaman kerajaan agar projek tersebut dipindahkan walaupun klinik telah siap dan beroperasi.


Sebagai saksi Kerajaan, memang diasak bertalu-talu oleh peguam pihak plaintif, khususnya berhubung isu Akta Hakmilik Strata. Peguam persekutuan pula berhujah mempertahankan projek tersebut atas dasar kepentingan awam.


Hakim yang kelihatan serius hanya mendengar hujah peguam-peguam dan mencatit nota. 


Di akhir perbicaraan, secara jujur saya merasakan kerajaan mungkin tewas. Hujah peguam persatuan penduduk sangat mantap, manakala peguam persekutuan pula masih muda dan masih kurang pengalaman.


Seminggu kemudian saya menerima panggilan telefon dari peguam persekutuan tersebut. 


“Tuan Haji, alhamdulillah kita menang. Hakim memutuskan bahawa projek untuk kepentingan rakyat awam mengatasi kepentingan segelintir penduduk,” ujar peguam itu dengan nada lega.


Hakim yang membuat keputusan tersebut ialah Tun Abdul Hamid Mohamad, yang kemudiannya dilantik sebagai Ketua Hakim Negara.


Beliau telah kembali ke rahmatullah pada tengah hari, 19 Februari 2026.


Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat, diampunkan segala dosanya, dan ditempatkan dalam kalangan para solihin.


Wallahua'llam.  


Ir. Hj. Zainuddin bin Hj. Omar

FB: Zainuddin Omar



No comments: