Ramai penyokong dan pendokong kerajaan madani terlihat marah-marah serta kurang senang dengan gurauan Khairy Jamaluddin atau KJ yang dikatakan memperli Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dalam satu segmen radio Hotfm yang disiarkan semalam.
Selain ada yang mengecam KJ dan Hotfm, terdapat juga mereka yang mahu kerajaan mengambil tindakan terhadap stesen radio berkenaan atas gurauan yang dianggap tidak wajar terhadap seorang Perdana Menteri.
Gurauan KJ itu adalah suatu segmen menjelang pertandingan ABPHB2024 yang akan berlangsung tidak lama lagi.
KJ akan mempertaruhkan dirinya untuk merebut anugerah penyampai radio popular atas kapasitinya sebagai DJ radio Hotfm.
Dalam segmen itu, dengan wajah dan nada bergurau, KJ menyebut – Hari ini saya menang, esok kita makan ramai-ramai…
Kemudian beliau menyebut pula perkataan – Saya ulang….
DJ-DJ yang lain kemudian ketawa dengan lagak KJ itu.
Video KJ itu boleh ditonton di sini –
Memang tidak dinafikan ungkapan KJ itu adalah meniru gaya ucapan Anwar berkaitan janji menurunkan harga minyak sebelum beliau bergelar Perdana Menteri sebelum ini.
Untuk tujuan hiburan dan keceriaan, beliau meniru gaya ucapan Anwar itu sebagai gurauan menjelang pertandingan ABPBH yang akan disertainya.
Kalau kita teliti sambil bersikap berjiwa positif dan terbuka, kita pasti mendapati apa yang dilakukan KJ itu hanyalah sekadar gurauan dan bertujuan untuk keceriaan semata-mata.
Ia tidak pun terlihat menghina Perdana Menteri.
Di Parlimen, beberapa Ahli Parlimen, antaranya Hamzah Zainuddin dan Radzi Jidin pun pernah meniru gaya dan kata-kata Anwar berkaitan janji menurunkan harga minyak itu dalam ucapan mereka.
Tidak pula ada sesiapa yang marah dan mengecam Hamzah dan Radzi?
Kenapa bila KJ melakukannya, ramai yang jadi sensitif?
Pleaselah jangan sensitif sangat…takkan gurau sikit-sikit mengusik Perdana Menteri tak boleh di era madani ini?
Lagi pula, PH dan PKR adalah parti perjuangan yang berteraskan semangat “Lawan Tetap Lawan” dan penyokongnya yang sudah berjaya melihat Anwar duduk sebagai Perdana Menteri sepatutnya tidak harus mudah sensitif dan lembut jiwa berdepan liku-liku kehidupan yang sudah gemilang.
Sebagai Perdana Menteri, siapa pun berada di situ, memang kebiasaannya akan dijadikan sasaran kecaman, hentaman, serangan, termasuk gurauan serta sindiran.
Ketika orang lain jadi Perdana Menteri sebelum ini, penyokong PH kerap juga bergurau dan bersenda dengan mereka.
Anwar pun diyakini tidak akan terkesan, jauh sekali untuk marah dengan gurauan KJ itu.
Paling tidak, beliau hanya senyum saja menontonnya, mungkin dengan gurauan KJ itu membuatkan Anwar segera teringat bahawa menantu Tun Abdullah Badawi itulah yang menghantar passport ke rumahnya selepas beliau dibebaskan daripada penjara pada 2004 dahulu untuk mendapatkan rawatan tulang belakang di Jerman.
Lagi pun, lebih baik menjadi Perdana Menteri yang sentiasa diingati dan dijadikan gurauan oleh rakyat daripada tidak dipedulikan langsung kewujudannya.
Setidak-tidaknya dengan KJ bergurau sedemikian, dalam hatinya sentiasa ada Anwar berbanding semua Perdana Menteri yang lain.
Lantaran gurauan KJ itu, janganlah juga sampai kerajaan bertindak terhadap Hotfm atau hingga membuatkan Kementerian Komunikasi mengeluarkan surat amaran kepada Hotfm.
Kerajaan madani harus terbuka dan menunjukkan ia berbeza berbanding semua kerajaan sebelum ini, bergurau dan mengusik malah dapat menambah cerianya kehidupan ini.
Sekurang-kurangnya Anwar sendiri kalau menonton gurauan KJ itu akan turut terhibur dan terlega seketika jiwanya. – ShahbudinHusin 10September2024.
https://shahbudindotcom.net/2024/09/10/janganlah-terlalu-sensitif-gurauan-kj-bukan-pun-penghinaan-kepada-anwar.html