Pengumuman Rafizi Ramli untuk kembali aktif dalam politik, seterusnya mengesahkan bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan Mei ini, rata-ratanya disambut gembira dan positif oleh ahli serta penyokong parti itu di seluruh negara.
Berdasarkan komen dan mereka yang berkongsi kenyataan Rafizi berkenaan pengumuman tersebut dalam pelbagai medium media sosial semalam adalah bukti nyata bagaimana kembalinya beliau memang sangat-sangat dinantikan.
Ada seorang pengguna media sosial menulis rasa gembira yang dialaminya dengan pengumuman Rafizi itu seumpana Rita Rudani setuju menerima lamarannya.
Memang tidak dapat dinafikan, kembali aktifnya Rafizi dan kemudian sedia bertanding jawatan nombor dua dalam PKR adalah pemulih semangat kepada parti itu yang terlibat lesu sejak kekalahan demi kekalahan dialami dalam PRN kebelakangan ini.
Dengan bertanding jawatan Timbalan Presiden, Rafizi kini dilihat sebagai pendamping dan pembawa obor paling sesuai untuk membantu Anwar Ibrahim meletakkan kembali PKR di tempat yang sewajarnya di hati rakyat sebagaimana ketika beliau memegang jawatan Pengarah Strategik sebelum ini.
Ketika itu, selain mendedahkan banyak hal berkaitan 1MDB, nama beliau juga meniti di hati rakyat dengan siri pendedahannya tentang skandal lembu NFC yang melibatkan keluarga bekas Ketua Wanita UMNO, Shahrizat Jalil.
Sebab itu, bersama pengumumannya bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR, Rafizi dipercayai tiada masalah untuk memenangi pertandingan itu nanti.
Jawatan nombor dua PKR memang selayaknya dan sesuai dipegang beliau berbanding calon-calon lain yang turut diwar-warkan mahu bertanding jawatan yang sama.
Calon-calon lain itu, maaf cakaplah, belum cukup berkelayakan untuk memegang jawatan Timbalan Presiden serta untuk membantu Anwar memperkukuh PKR.
Dengan demikian, eloklah mereka terbabit mencermin diri dan sebaiknya membatalkan saja hasrat mahu bertanding itu.
Tidak ke mana pun jika diteruskan juga hasrat ingin bertanding itu kerana asas yang paling penting ialah kemampuan dan kewibawaan untuk membantu Anwar serta PKR.
Mampukah mereka selain Rafizi itu?
Begitu pun, dalam usaha memperkukuh semula PKR dan membantu Anwar, keberadaan Rafizi akan lebih bererti dan menarik hati jika Nurul Izzah turut sama dalam pasukannya sebagai calon Naib Presiden.
Anwar, Rafizi dan Nurul Izzah – ketiga-tiganya adalah wajah bakal pemimpin masa depan dan mempunyai karisma serta kewibawaan sebagai “PM Materials” yang tidak perlu diragui lagi
Jika pun Anwar akhirnya ditakdirkan tidak berjaya menjadi Perdana Menteri, dua pelapisnya itu mungkin mampu sampai ke Bangunan Perdana Putra pada suatu hari nanti berdasarkan penerimaan, wibawa dan bagaimana mereka begitu disukai.
Lantaran demikian, langkah menuju hari esok itu mesti dimulakan hari ini dengan usaha menggabungkan ketiga-tiganya dalam satu pasukan tidak harus dilengah-lengahkan lagi. – ShahbudinHusin 16/03/2022.