Perihal agamawan dalam ‘senik’


Ada orang bertanyakan aku, apakah Rumi pernah membicarakan sesuatu mengenai seorang agamawan palsu, berserban besar sehingga menujah langit dan berjubah labuh sehingga menyapu tahi kambing?
Ya. Kataku, akan tetapi kata-kata guru Rumi iaitu Shams-i Tabrizi jauh lebih seru.
Katanya begini: “Setiap kerosakan yang terjadi di dunia ini berlaku kerana seseorang percaya kepada seseorang yang lain atas dasar taksub, atau dia menafikan sesuatu kebenaran juga atas dasar taksub”.
Jadi tidaklah menghairankan jika ada agamawan yang cakapnya berbolak-balik, menganjurkan menipu atau mengkhianat, dan mempertahankan korupsi atau kerosakan di muka bumi, tetapi masih ada pengikut yang ramai membuntutinya.
Ini kerana akar kerosakan di dunia ini terjadi oleh sebab taksub.
Hal ketaksuban seseorang pengikut kepada agamawan tertentu akan membuatkan mereka buta, mabuk, bebal, dan hanya menjadi tukang buntut.
Taksub berlaku kerana tiada lagi penggunaan akal dan penaakulan, atau perenungan. Otak mereka menjadi otak loceng. Yang tatkala bunyi genta bergema, mereka akan dengan tanpa segan silu menyembah agamawan itu.
Maka tidaklah hairan jika ada seseorang yang menciptakan kerosakan, akan ada 11 yang lain misalnya ikut sama menurut kerosakan itu kerana semua sudah taksub. Kita sebagai orang luar menyaksikan semua kegilaan dan kerosakan ini dengan tercengang. Tetapi mereka mencipta-cipta pelbagai alasan konon pintar.
Padahal mereka sedang melakukan kerosakan kerana taksub.
Ada orang bertanyakan aku, apakah Rumi pernah membicarakan sesuatu mengenai seorang agamawan palsu, berserban besar sehingga menujah langit dan berjubah labuh sehingga menyapu tahi kambing?
Ya, kataku. Rumi sebetulnya lebih banyak berbicara tentang pengikut agamawan seperti ini. Kerana mereka tidak berpelajaran, tidak menggunakan akal fikiran dan berotak loceng.
Rumi melihat pengikut agamawan korup seperti ini sebagai kaum Badwi yang perasan benar. Aku kutipkan satu wacana yang disebut Rumi untuk pertimbangan:
‘Rumi berkata: Seorang laki-laki sedang memimpin shalat, dan mengutip dari al-Quran: “Orang-orang Badwi keras kepala dalam kekafiran dan kemunafikan.” Tanpa sengaja seorang kepala suku Badwi hadir. Dia menempeleng telinga sang imam.
Pada rakaat kedua, imam itu mengutip ayat yang berbeza dari al-Quran: “Sebahagian dari orang-orang Badwi beriman kepada Allah dan Hari Akhir.” Orang Badwi itu berteriak, “Ha! Tamparan itu telah mengajari kamu bersikap lebih baik!”
Sedemikian bebalnya pengikut agamawan palsu yang menganjurkan penipuan sebagai maslahah. Masalahnya bukan sangat pada tampang dirinya, akan tetapi kepada pengikutnya yang taksub, dan tidak terpelajar. Seiibarat Badwi yang perasan.
Duhai sekarang, bayangkan jika si agamawan jahat ini diangkat menjadi pemimpin? Kemudian agamawan ini pula mengangkat mereka yang bebal seumpama Badwi sebagai pemimpin di peringkat lebih rendah?
Maka kita akan beroleh kegagalan dan kerosakan berganda.
Ada orang bertanyakan aku, apakah Rumi pernah membicarakan sesuatu mengenai seorang agamawan palsu, berserban besar sehingga menujah langit dan berjubah labuh sehingga menyapu tahi kambing?
Ini kerana kata orang itu, masakan seorang agamawan palsu tidak mengenali apa yang benar, dan apa pula yang palsu? Sedangkan dia agamawan, dan dia banyak ilmu?
Rumi pernah membicarakan perihal pemimpin-agamawan sebegini. Ia tidak melihat kehancingan pada dirinya. Ia hanya melihat kehancingan orang. Sedangkan kita orang yang tidak bergelumang dengan kekencingan sentiasa sedia melihat.
Kata Rumi begini:
“Semua sifat jahat – penindasan, kebencian, kecemburuan, ketamakan, kekejaman, kesombongan – ketika mereka ada dalam dirimu, mereka tidak membawa luka. Ketika kamu melihatnya dalam diri orang lain, maka kamu menghindar dan merasa sakit.
“Kita tidak berasa jijik pada koreng dan bisul kita sendiri. Kita akan mencelupkan tangan kita yang terjangkiti ke dalam makanan dan menjilati jemari kita tanpa pilih-pilih, tetapi ketika kita melihat sedikit bisul kecil atau sesetengah bilur di tangan orang lain, kita menghindar dari makanan orang itu dan tidak memiliki nafsu makan.
“Sifat-sifat setan seperti koreng dan bisul; ketika sifat-sifat itu berada dalam diri kita. Mereka tidak menyebabkan rasa sakit, tetapi ketika kita melihatnya bahkan pada tingkatan kecil dalam diri orang lain, maka kita berasa sakit dan jijik.”
Jadi agamawan akan berasa dirinya benar dengan jubah kepalsuan itu, kerana ia dibalut kain, benang dan seluruh busana atau jubah yang dibuat dari kepalsuan; padahal orang melihat dengan rasa jijik dan menyampah.
Akan tetapi agamawan tidak sedar, kerana kepalsuan itu ibarat sakit kulit yang ia berasa senang dengannya. Ia malah menjilat nanah bisul sendiri. Manakala pengikutnya pula dibutakan oleh rasa taksub. Atau sebahagian lagi seperti Badwi yang bodoh.
Bagaimana pula kita melihat keadaan masyarakat Islam yang diam, berkecuali atau tidak mempedulikan kesemberonoan sang agamawan dan pengikut-pengikutnya ini?
Bagaimana kita bersikap dengan orang yang rasa diri mereka lebih baik kerana konon tidak mencampuri kebejatan dan kebobrokan ini akan lebih bersih?
Kata Rumi, merekalah sebenarnya orang kafir (meskipun mereka orang Islam). Kerana mereka diam, tidak mahu menyebelah. Kekafiran itu ada dalam diri mereka tidak dapat dicuci. Malah tidak dapat diracuni, apatah lagi diberikan penawar. Kekafiran itu abadi dalam jiwa raga mereka membusuk, dan akan dihakimi kelak di hari pengadilan.
Rumi memetik perihal kekafiran dalam diri ini menerusi kisah Saidina Umar dan orang yang mengujinya dengan racun.
Aku petik begini dari teks “Fihi ma Fihi”:
“Sebuah bejana racun dibawa sebagai hadiah untuk Umar. “Apa gunanya ini?” tanyanya.
Mereka berkata, “Ketika tidak diperbolehkan masyarakat untuk membunuh seseorang secara terbuka, kamu dapat memberi mereka sedikit saja racun itu. Maka mereka akan mati diam-diam. Jika seorang musuh tidak dapat dibunuh di dunia ini, dengan sedikit racun saja dia akan terbunuh dengan tenang.”
“Kamu telah membawakanku sesuatu yang sangat berharga,” katanya, “Berikan kepadaku agar aku meminumnya, kerana dalam diriku ada seorang musuh besar yang tidak dapat dijangkau pedang. Aku tidak punya musuh lebih besar lagi selain dia.”
“Tidak perlu meneguk semuanya dalam satu tegukan,” mereka berkata. “Cukup satu cicipan saja. Bejana ini cukup untuk seratus ribu orang.”
“Musuhku juga bukan hanya satu orang,” kata Umar. “Dia seribu lebih kuat, dan telah menjerumuskan seratus ribu orang.”
Kemudian dia merampas cangkir itu dan meminumnya sekali gus. Seketika orang-orang yang berkerumun di sana menjadi beriman, seraya berkata, “Agamamu adalah benar!”
“Kamu semua telah menjadi beriman,” kata Umar, “Akan tetapi seorang kafir dalam diriku belum menjadi seorang yang beriman.”
Sungguh, demikian dahsyat sekali jiwa yang gagal ditundukkan jika tidak bersikap. Itu baru kekafiran dalam diri seorang Umar. Padahal itu Umar.
Bagaimana kalau kekafiran (padahal dia Islam) pada seseorang agamawan palsu yang berserban besar menujah langit dan berjubah labuh santak menyapu tahi kambing?
Demikianlah kita melihat agamawan, dan pengikutnya; dan mereka yang diam enggan mengatakan apa-apa ketika krisis.
Mereka percaya mereka akan selamat, sedangkan Rumi pernah mengingatkan;
“Nafsu paling hina dina dalam diri kita akan memperdayakan kita dengan ungkapan ‘Tuhan Itu Maha Pengampun.’ Yakni berbuatlah apa-apa pun, kerana Tuhan itu kan Maha Pengampun.
Jadi mereka menjadi Qabil dengan sengaja. Mereka terpedaya dengan sudut, atau perspektif. Padahal perspektif ‘Tuhan kan Maha Pengampun’ itu meletakkan mereka dalam kemusnahan.
Oleh kerana itu mereka terus-terusan bergelumang dalam kepalsuan, dan bersorak gembira. Mereka memandang kita yang berada di luar pusaran kepalsuan dan kerosakan itu bagaikan kita yang cuai, salah, atau bodoh sembari mengucapkan kata kasihan.
Mereka duduk dalam “senik”. Kata “senik” dalam bahasa Melayu arkaik (kuno) bermaksud bakul atau raga mengisi yang kotor-kotor tercela. Jadi mereka seronok bergumpal dalam senik. Mereka dalam senik itu perasan diri mereka digeruni.
Sedangkan kita yang berada di luar lingkungan kebejatan itulah yang berasa kasihan kepada mereka. Kita melihat mereka dalam senik itu dengan rasa jengkel dan terkejut.
Semoga kita berada di jalan benar. Semoga kita terpelihara daripada agamawan, pengikut dan mereka yang diam; kerana semua mereka itu membinasakan.
Binasa perlahan.