KLUANG, 4 OKT: Kenyataan Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad yang menzahirkan hasrat untuk berdepan dengan nama-nama besar dari Pakatan Harapan di Johor pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) memberi gambaran UMNO Johor semakin ‘goyang’.
Lebih-lebih lagi apabila pemimpin veteran UMNO tersebut dikatakan ramai pihak memilih untuk bersara dari menyertai pilihan raya umum akan datang.
“Shahrir merupakan veteren UMNO, yang dikhabarkan oleh banyak pihak memilih untuk bersara dari menyertai pilihanraya umum yang akan datang.
“Namun saya melihat, disebabkan panik dengan perkembangan positif sokongan orang Melayu untuk lakukan perubahan di Johor, Shahrir terpaksa membuat ‘u-turn’ dan mahu kekal bertarung dalam PRU ke-14,” kata Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor, Sheikh Omar Ali dalam kenyataan.
Menurutnya, pendirian yang dizahirkan pemimpin UMNO itu sama sekali tidak akan mengganggu segala usaha yang sedang dirangka Pakatan Harapan sebaliknya hanya memberi gambaran buruk terhadap UMNO negeri ini.
Berbeza dengan pemimpin UMNO Johor lain, Shahir dilihat lebih intim dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang terpalit dengan skandal 1MDB dan mendapat julukan sebagai kleptokrat.
“Lihat sahaja bagaimana reaksi beliau tatkala dikaitkan dengan isu penerimaan wang RM1 juta sewaktu skandal 2.6b dan 1MDB mula hangat diperkatakan awal-awal dahulu.
“Ini agak kontra dengan pendekatan Menteri Besar Khaled Nordin yang dilihat sering menjarakkan UMNO Johor pimpinannya dari imej rasuah pimpinan Najib diperingkat pusat,” katanya.
Justeru, penyertaan Shahrir dalam PRU14 jelasnya akan memudahkan lagi rakyat di negeri ini untuk menilai antara dua pilihan.
“Pilihan sama ada calon-calon HARAPAN yang berkerja keras untuk agenda perubahan atau calon-calon UMNO Johor yang kononnya tidak mahu dikaitkan dengan kleptokrasi namun hakikatnya terus bersekongkol dengan mengangkat ‘kawan istimewa Najib’ untuk berpencak dalam PRU14 nanti,” katanya lagi