Pengkhianatan dalam pasukan keselamatan adalah sesuatu yang sukar diterima, apatah lagi apabila ia mengorbankan nyawa rakan sepasukan sendiri.
Jika pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu pada tahun 2013 dianggap sebagai tragedi besar yang memalukan dan menyayat hati, masih ramai yang belum mengetahui kisah pengkhianatan dari dalam yang didedahkan melalui transkrip mahkamah rayuan.
Ini adalah kisah sebenar mengenai seorang anggota Cawangan Khas yang mengkhianati amanah negara.
Siapakah Hassan bin Hj Ali Basari?
Hassan bin Hj Ali Basari bukanlah individu biasa. Beliau merupakan seorang anggota Polis Diraja Malaysia berpangkat Korporal dan berkhidmat di bawah Cawangan Khas (Special Branch, SB) PDRM di Lahad Datu, Sabah sejak tahun 1990.
Sebagai anggota SB, tugas utama Hassan ialah mengumpul maklumat perisikan berkaitan Kesultanan Sulu serta sebarang ancaman yang berpotensi menjejaskan keselamatan dan kedaulatan Sabah. Semua maklumat risikan tersebut sepatutnya dilaporkan terus kepada Ketua Cawangan Khas Lahad Datu.
Hassan dipilih ke posisi ini kerana kelebihannya — beliau fasih berbahasa Suluk dan Bajau, serta mempunyai hubungan rapat dengan komuniti Sulu di Lahad Datu. Faktor inilah yang sepatutnya menjadi aset kepada keselamatan negara, namun akhirnya menjadi senjata yang menikam dari belakang.
Maklumat Awal Pencerobohan Yang Disembunyikan
Walaupun pencerobohan Lahad Datu secara rasmi berlaku pada 11 Februari 2013, Hassan sebenarnya telah menerima maklumat ancaman lebih awal, seawal Januari 2013.
Dalam satu pertemuan dengan seorang pemberi maklumat di sebuah kedai ais krim di Lahad Datu, Hassan dimaklumkan bahawa seramai 1,500 lelaki setia kepada Datu Esmail Kiram telah berkumpul di Pulau Simunul berhampiran Bungao, Filipina. Kumpulan ini dilaporkan bersenjata dan mempunyai niat jelas untuk menceroboh Sabah.
Maklumat tersebut direkodkan sendiri oleh Hassan di atas kertas. Seramai 1,500 orang telah berkumpul di Pulau Simunul dan mereka merancang untuk menceroboh serta menuntut Sabah
Namun, maklumat yang amat kritikal ini langsung tidak dilaporkan kepada Unit Cawangan Khas.
Tiga hari kemudian, pemberi maklumat yang sama sekali lagi menghubungi Hassan dan memaklumkan bahawa empat buah ‘pintel’ (bot kecil) telah tiba di Bangkuran, Lahad Datu. Sekali lagi, maklumat ini disenyapkan.
Pada 2 Mac 2013, Hassan menerima satu lagi laporan penting — 400 lelaki bersenjata tambahan dari Mindanao National Liberation Front (MNLF) dan tentera Sultan Sulu bersiap sedia memasuki Sabah sebagai pasukan sokongan kepada kumpulan bersenjata di Kampung Tanduo. Maklumat ini juga tidak disampaikan kepada pihak atasan.
Niat Sebenar Hassan Terbongkar
Pengkhianatan Hassan akhirnya terbongkar melalui pintasan komunikasi telefon oleh Unit Cawangan Khas. Pada 25 Februari 2013, perbualan antara Datu Amir Bahar dan Raja Muda Agbimudin — dua tokoh utama pencerobohan Lahad Datu — telah dipintas.
Dalam perbualan tersebut, Datu Amir Bahar menyatakan bahawa beliau mendapat maklumat daripada Hassan, seorang anggota polis Malaysia, mengenai pergerakan pasukan keselamatan yang dijadualkan masuk pada jam 12 tengah malam. Raja Muda Agbimudin memaklumkan bahawa pihak mereka telah bersedia menghadapi serangan tersebut.
Lebih mengejutkan, Hassan disebut sebagai “ahli keluarga sendiri”, membuktikan hubungan rapat dan kepercayaan antara pengganas Sulu dan seorang anggota polis Malaysia.
Pengkhianatan Yang Meragut Nyawa
Rakaman pintasan komunikasi ini menjadi bukti kukuh bahawa Hassan bukan sahaja menyembunyikan maklumat, malah secara aktif membocorkan pergerakan pasukan keselamatan kepada musuh.
Perbuatan ini dipercayai membawa kepada pertempuran sengit antara pasukan VAT69 dan pengganas Kiram pada 1 Mac 2013, yang mengorbankan Inspektor Zulkifli bin Mamat dan Korporal Sabaruddin bin Daud.
Mereka gugur akibat pengkhianatan seorang rakan sepasukan yang sepatutnya melindungi negara, bukan menjual rahsia kepada musuh.
Wira Negara Tidak Dilupakan
Pengorbanan pegawai dan anggota keselamatan dalam Ops Daulat tidak akan dilupakan oleh rakyat Malaysia. Antara wira negara yang terkorban ialah:
1. ASP Zulkifli bin Mamat
2. Superintendan Ibrahim Lebar (Cawangan Khas Bukit Aman)
3. Asisten Superintendan Michael Padel, 36 (Ketua Cawangan Khas IPD Semporna)
4. Sarjan Sabaruddin bin Daud
5. Sarjan Baharin Hamid, 49 (Cawangan Khas IPK Sabah)
6. Sarjan Abdul Azis Sakirun, 48 (Batalion 14 PGA)
7. Koperal Salam Togiran, 42 (Cawangan Pengangkutan IPD Tawau)
8. Lans Koperal Mohd Azrul Tukiran, 27 (PGA)
9. Koperal Ahmad Hurairah Ismail (RAMD Batalion 7)
10. Koperal Ahmad Farhan Ruslan (RAMD Batalion 3), yang terkorban dalam kemalangan ketika menghantar makanan kepada anggota operasi
Mereka gugur demi mempertahankan kedaulatan negara.
Pengkhianatan mungkin boleh disembunyikan sementara, tetapi pengorbanan wira akan dikenang selama-lamanya.
Al-Fatihah buat semua pahlawan negara.




No comments:
Post a Comment