26 January 2026
Perkara paling penting dalam politik ialah kerusi dan kerusi juga menjadi sebab paling banyak berlakunya perebutan serta perbalahan.
Baik perebutan sesama dalam parti atau antara parti, yang kerap direbutkan ialah kerusi.
Bahkan tujuan diadakan PRU juga adalah untuk berebut kerusi.
Oleh kerana sifat kerusi dalam politik ialah ia mesti direbut, maka janganlah cuba meminta-minta atau mengharapkan ada orang sanggup memberinya secara percuma.
Lebih-lebih lagi jika kerusi itu sudah sedia diduduki, menjadi punca bergaduh saja kalau ada pihak cuba memintanya.
Kadang-kadang dengan orang politik, minta duit lebih senang daripada minta kerusi.
Sebabnya ialah melalui kerusi akan menyusul peluang untuk dapat jawatan dan menimba kekayaan.
Kalau tanpa kerusi, duduk tepi perigi sajalah layaknya.
Lantaran itu, dalam konteks Amanah yang meminta diberi kerusi yang adil (kononnya) dalam PRN Melaka dan Johor yang bakal menjelang tidak lama lagi, ini adalah kerja paling buang masa dan memalukan diri sendiri saja.
Jangan meminta-minta kerana BN yang sudah sedia menang dua pertiga di kedua-dua negeri itu tidak mungkin sedia melepaskan walau satu kerusi.
Hakikatnya, kerusi yang sudah dimenang BN tidak patut diserahkan kepada pihak lain.
Macam juga Amanah, ia juga pastinya tidak sedia menyerahkan mana-mana kerusi dimenanginya kepada parti lain.
Janganlah Amanah cuba meminta-minta kerusi itu dengan menggunakan alasan kerajaan perpaduan, kononnya oleh sebab BN dan PH sama-sama dalam kerajaan perpaduan, maka kerusi juga patut dikongsi.
Ingatlah bahawa kerajaan di dua negeri berkenaan dibentuk sebelum terbentuknya lagi kerajaan perpaduan di pusat.
Tak laku alasan kerajaan perpaduan untuk minta kerusi.
Lagi pun, seperti mana kata Zahid Hamidi dalam PAU baru-baru ini, kerusi mereka yang 30 itulah yang menjadikan 82 kerusi dapat jadi Perdana Menteri.
Mudah kata, UMNO/BN tidak terhutang apa-apa budi kepada PH, lalu jangan harap untuk mereka menyerahkan mana-mana kerusi kepada mana-mana komponen PH.
Sebaiknya, PH khususnya Amanah, hentikanlah kerja meminta-minta kerusi mulai sekarang ini.
Apa yang Amanah sepatutnya buat sejak dulu lagi ialah mengukuhkan parti, menambah ahli dan menjadikan parti itu benar-benar dekat di hati rakyat supaya pengundi lebih suka dan sayang kepada mereka.
Bila tiba masa pilihan raya, tunjukkan kekuatan dan kemampuan untuk menang.
Ini tidak, belum apa-apa sudah nak meminta.
Ahli dah bertambah ke dan parti makin kuat ke?
Dalam konteks Melaka dan Johor, tiada pilihan lain yang wajar bagi PH, terutamanya Amanah, melainkan sekali lagi harus bertanding atas kekuatan sendiri seperti mana PRN sebelum ini.
Lawanlah di mana-mana kerusi yang dikehendaki dan buktikan PH mampu menang lebih banyak kerusi berbanding BN.
Kalau tak mampu nak lawan, duduk saja diam-diam, tetapi amatlah memalukan jika meminta-minta.
Kerusi tidak pernah kenal kawan, ia hanya kenal erti berlawan. – ShahbudinHusin 26Januari2026.
https://shahbudindotcom.net/2026/01/kerusi-bukan-perkara-yang-boleh-diminta-minta/
No comments:
Post a Comment