Ahmad Mursi
1. Al-Quran dan hadis digunakan untuk menghalalkan keputusan politik dan menjadi perisai moral PAS, bukan sebagai sumber hikmah yang membimbing masyarakat.
2. Benar atau salah tidak lagi diukur dengan ilmu atau maqasid syariah, tetapi ditentukan mengikut keperluan strategi politik PAS.
3. Akibatnya, yang benar boleh dikata salah, yang salah boleh dikata benar — asalkan PAS dapat undi.
4. Tajuk tulisan Haji Hadi (19 Januari 2026), “PAS bersama tali Allah, bukan tali ciptaan manusia”, dengan sendirinya sudah mendedahkan cara PAS memanipulasi simbol agama.
𝗗𝗢𝗞𝗧𝗥𝗜𝗡 𝗔𝗚𝗔𝗠𝗔 𝗣𝗔𝗦: 𝗛𝗜𝗧𝗔𝗠 𝘃𝘀 𝗣𝗨𝗧𝗜𝗛
5. PAS cuba membina doktrin agama yang sempit: dalam Islam kononnya hanya ada dua pilihan — Hitam atau Putih, Islam atau Kafir, PAS atau Lawan PAS, Bersama Islam atau Menentang Islam.
6. Sebab itu perpaduan dalam Islam didoktrinkan hanya ada dua bentuk: Perpaduan Tali Allah (PAS) — wajib, Perpaduan Ciptaan Manusia (lawan PAS) — haram.
7. Hakikatnya, dalam siasah syariyyah, spektrum kerjasama politik sangat luas. Ada kerjasama darurat, ta‘awun sementara, dan pakatan untuk menolak mudarat yang lebih besar — semuanya diiktiraf ulama sejak berabad-abad.
8. Politik ialah wilayah ijtihad, bukan isu akidah. Namun PAS memaksa politik menjadi isu iman: siapa bersama PAS dianggap bersama Islam, siapa tidak dianggap menentang Islam.
𝗡𝗔𝗠𝗣𝗔𝗞 𝗜𝗟𝗠𝗜𝗔𝗛, 𝗛𝗔𝗞𝗜𝗞𝗔𝗧𝗡𝗬𝗔 𝗣𝗥𝗢𝗣𝗔𝗚𝗔𝗡𝗗𝗔
9. Apa yang PAS lakukan bukan fiqh — ini propaganda politik yang dibungkus dengan istilah agama.
10. Tulisan Haji Hadi sarat dengan petikan al-Quran dan hadis. Bagi orang awam, ia kelihatan seperti ulasan ilmiah — cukup untuk walaun ‘like’, bukan untuk difahami.
11. Namun bagi sesiapa yang memahami usul fiqh, kelemahannya jelas. Dalil dipaksa agar selari dengan pendirian PAS.
12. Tiada penjelasan asbab nuzul atau wurud, konteks diabaikan, nas digunakan secara literal tanpa menilai waqi‘ (realiti semasa), aplikasi dalil sering tidak tepat, dan khilaf ulama — khususnya dalam isu kerjasama politik dengan bukan Islam — disenyapkan secara selektif dan tidak telus.
13. Sesiapa yang belajar agama melalui kacamata PAS akan terbentuk dengan bias politik, bukan dengan keluasan tradisi keilmuan Islam.
14. Gaya bahasa Haji Hadi yang keras, suka melabel dan menghukum juga asing daripada tradisi ulama muktabar yang berbeza pendapat dengan adab dan hikmah. Pendekatan sebegini kita tidak ditemui dalam karya ulama besar.
15. Lebih membimbangkan, fiqh yang lahir dalam konteks Daulah Umawiyah, Abbasiyah dan Uthmaniyyah sering dipetik secara buta, tanpa mengambil kira perbezaan asas antara struktur empayar Islam klasik dengan realiti negara bangsa moden hari ini.
𝗠𝗢𝗡𝗢𝗣𝗢𝗟𝗜 𝗦𝗜𝗠𝗕𝗢𝗟 𝗔𝗚𝗔𝗠𝗔: ‘𝗛𝗔𝗕𝗟 𝗔𝗟𝗟𝗔𝗛’
16. Naratif PAS mudah: Perpaduan PAS = Tali Allah. Selain PAS = Ciptaan Manusia.
17. Sejak bila Habl Allah diberi hak milik mutlak kepada sebuah parti politik?
18. Dalam tafsiran ulama, Habl Allah merujuk kepada wahyu, nilai agama, keadilan, amanah dan prinsip kesatuan umat — bukan ketaatan kepada parti tertentu.
19. Ayat “Dan berpeganglah kamu semua kepada tali Allah, dan janganlah kamu berpecah-belah” tidak pernah bermaksud “berpegang kepada PAS, jangan bersama lawan PAS”.
20. Namun itulah makna yang PAS cuba tanamkan — agama dikecilkan menjadi slogan kempen.
21. Bukan itu sahaja, perintah “kembalikan kepada Allah dan Rasul” apabila berlaku perselisihan sepatutnya difahami melalui kerangka ijtihad ulama, maqasid syariah, qiyas dan realiti semasa, bukan tafsiran literal sempit yang mesti selari dengan pendirian politik PAS yang berubah-ubah.
𝗦𝗔𝗛𝗜𝗙𝗔𝗛 𝗠𝗔𝗗𝗜𝗡𝗔𝗛: 𝗗𝗜𝗣𝗘𝗧𝗜𝗞, 𝗧𝗔𝗣𝗜 𝗗𝗜𝗞𝗢𝗦𝗢𝗡𝗚𝗞𝗔𝗡 𝗠𝗔𝗞𝗡𝗔
22. Haji Hadi merujuk Sahifah Madinah, tetapi versi yang dipetik telah dimanipulasi dan disesuaikan dengan pendirian PAS dalam isu kerjasama politik dengan bukan Islam.
23. Hakikatnya, Sahifah Madinah ialah kontrak politik dan sosial antara Muslim dan bukan Muslim yang membentuk kesatuan masyarakat (ummatan wahidah) atas dasar keadilan dan keselamatan bersama.
24. Namun PAS memetiknya untuk membenarkan penolakan terhadap Kerajaan Perpaduan, sambil melabel pihak lain sebagai “syaitan bisu”, pluralis dan liberal — seolah-olah kesolehan hanya wujud dalam PAS.
25. Ini bukan pembacaan sirah yang jujur, tetapi sirah yang dipilih dan ditafsir mengikut selera politik.
𝗕𝗨𝗔𝗧 𝗞𝗘𝗣𝗨𝗧𝗨𝗦𝗔𝗡 𝗗𝗨𝗟𝗨, 𝗕𝗔𝗥𝗨 𝗖𝗔𝗥𝗜 𝗗𝗔𝗟𝗜𝗟
26. Inilah pola “fatwa” politik PAS: keputusan dibuat dahulu, dalil dicari kemudian.
27. Tulisan Haji Hadi tentang perpaduan kelihatan ilmiah, tetapi hakikatnya ialah justifikasi mengapa PAS menolak Kerajaan Perpaduan. Semuanya dibungkus dengan bahasa suci: “kami bersama tali Allah, mereka bersama tali manusia”.
28. Pendekatan ini berbahaya. Ia melahirkan imej agama yang suka menghukum, memecahkan umat atas nama iman, dan mematikan adab berbeza pendapat.
29. Tradisi ulama besar berbeza pandangan tanpa menafikan keislaman pihak lain.
30. Islam tidak pernah mewajibkan ketaatan kepada mana-mana parti politik.
31. Yang Islam tuntut ialah keadilan, amanah dan hikmah, khususnya dalam masyarakat majmuk.
32. Apabila agama dijadikan senjata politik, yang rosak bukan sekadar politik — iman orang awam dan akhlak beragama umat Islam turut hancur.
No comments:
Post a Comment