NASIHAT PRO BONO BUAT PEMIMPIN – HATI-HATILAH DALAM TINGKAH LAKU KERANA KAMERA SENTIASA ADA DI SETIAP PENJURU

 

Sejak pagi tadi tular satu klip video yang menampakkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim seolah-olah melanggar atau barangkali terlanggar belakang seorang artis wanita dalam satu majlis berbuka puasa bersama pengamal media dan penggiat seni yang diadakan malam semalam.

Artis tersebut pada mulanya kelihatan sedikit terkejut dengan insiden perlanggaran berkenaan, tetapi kemudian tersenyum dan sempat berselfie dengan Anwar.

Klip video lain yang menunjukkan Anwar sama-sama menyanyi dengan dua artis wanita turut tersebar bersama video di atas tadi.

Video perlanggaran itu jelas disebarkan untuk mengaibkan Anwar, tambahan lagi caption atau keterangan yang ditulis pula memang dilihat menjurus ke arah itu.

Dengan video tersebut, laskar maya blok pembangkang seolah-olah kenduri sejak pagi tadi dengan menulis pelbagai hantaran dan tafsiran mengenainya bagi tujuan tidak lain untuk memperlekeh dan merendah-rendahkan keperibadian Anwar.

Sebagai kesimpulannya, dalam semua tafsiran itu, Anwar digambarkan sebagai lelaki yang tidak boleh melihat perempuan berdahi licin.

Dalam waktu yang sama, laskar maya pro kerajaan pula seolah-olah terkedu dan tidak mampu untuk mewajarkan ada sisi baik dalam insiden tersebut.

Seorang dua yang dilihat cuba membela Anwar berkaitan video itu, tetapi ia ternampak terlalu longgar dan hampir tiada markah.

Saya sendiri berkali-kali menonton video itu untuk cuba membaca reaksi wajah mereka yang terkait di dalamnya.

Apa juga tafsiran yang ada dalam fikiran saya, biarlah saya simpan saja.

Pengajarannya, baik kepada Anwar dan lain-lain pemimpin, mereka hendaklah berhati-hati selalu dalam semua tingkah laku kerana di era media sosial ini, lensa kamera sentiasa ada di setiap penjuru.

Selain semua pergerakan pemimpin diperhatikan rakyat, lebih bahaya lagi jika ia dirakam kamera dan kemudian disebarkan.

Ini kerana rakaman itu boleh dimanipulasi dengan pelbagai tujuan dan ditafsirkan dengan macam-macam makna.

Tersilap sedikit langkah atau kata-kata dan ia kemudian diviralkan, beban yang akhirnya terpaksa difanggung bukan kepalang kesannya, bukan saja kepada diri sendiri, tetapi juga keluarga.

Selain pemimpin, orang biasa pun tidak terkecuali terdedah kepada perkara yang sama di mana setiap hari ada saja diviralkan di media sosial video mengenai buli jalanraya, perlakuan kasar, pergaduhan dan macam-macam lagi yang kebanyakannya, selain memberi malu kepada pelakunya, selalunya juga berakhir dengan tindakan oleh pihak berkuasa.

Lebih-lebih lagi pemimpin seperti Anwar yang musuh politiknya lebih ramai daripada kawan sejati, keperluan untuk berhati-hati itu harus lebih tinggi lagi.

Tidak boleh ambil mudah dan pandang rendah semua perkara semata-mata kerana beliau kini sudah menjadi Perdana Menteri.

Hakikatnya, setelah menjadi Perdana Menteri inilah semua tingkah laku itu mesti lebih dijaga, terutama dalam pergaulan yang melibatkan artis wanita dan golongan perempuan berdahi licin.

Apa lagi Anwar itu terlalu kuat imejnya sebagai pejuang Islam dan pemimpin yang suka menganjurkan program-program agama sejak dulu lagi.

Yang mudahnya begini sajalah, tambahan lagi sekarang cuaca tidak menentu, hujan lebat serta ribut puting beliung boleh berlaku bila-bila masa tanpa dijangka, maka langkah paling selamat ialah Kak Wan atau Dr Wan Azizah Wan Ismail sebaiknya mesti menemani Anwar dalam semua majlis seperti semalam itu.

Bila ada Kak Wan sentiasa berpimpin tangan dengan Anwar – percayalah – yang gatal dan gedik semuanya akan automatik tampil bersopan. – ShahbudinHusin 12/04/2023.